Ada beberapa orang bertanyakan kepada aku, kenapa lama tak tulis blog. Ni aku bagi ulasan sikit berkenaan itu. Sebenarnya, kita hidup di dunia ini makin lama makin tua, bila makin tua, kita takde banyak masa untuk melakukan perkara berfaedah seperti menulis, membaca buku, berborak bersama keluarga, menonton Raja Lawak, mengundi Imam Muda, mengunjungi shopping mall dan bermain Candy Crush. Maka, setiap yang nak kita lakukan haruslah senang, cepat, mudah dan ringkas. Maka dalam hal sosial ini, yang paling kacip dengan slogan senang, cepat, mudah dan ringkas adalah menulis dan membaca fesbuk.
Okaylah. Sebenarnya, Cik Nora pun dah bising kenapa aku dah tak tulis blog. *Oh, kenapakah kau mencintai aku kerana tulisanku??* Kakaka!!!
Sebenarnya, aku takde masa. Tu je. *Semasa aku menulis perenggan ini, aku tengah interview orang mintak kerja. Dan student datang nak mintak tolong. Serius.
Okaylah, untuk mengubati kerinduan anda semua, aku ingin menulis sebuah cerita yang happy ending. Ceritanya berbunyi begini:
Pada zaman dahulu ada seorang pemuda kacak yang bernama Hamdan. Beliau mempunyai hobi mengembara dan melancong. Tidak hairanlah dalam akaun fesbuk milik Hamdan mempunyai banyak gambar-gambar pemandangan, gambar perempuan dan gambar ikan. Oleh kerana usia Hamdan hampir mencecah 40 tahun dan masih belum berkahwin, dan maknya hari-hari membebel suruh kerja malas, kahwin tak mahu, maka Hamdan nekad untuk keluar dari kampungnya untuk mengembara mencari bini.
Pada hari Hamdan mahu keluar mengembara seorang diri itu, maknya membekalkan 2 potong sandwich perisa ikan sadin dan bawang risau kalau-kalau Hamdan kelaparan di tengah jalan. Maka Hamdan pun menjawab kepada maknya, "Kalau risau lapar tengah jalan, Hamdan lalu lah tepi jalan, mak...", sebelum kuali bersaiz 20 inci hinggap di tengah belakang Hamdan. Mujur sipi.
Pepatah daripada rakan-rakan Hamdan ada berbunyi,
Jika mahu bini pandai masak, carilah di Kelantan,
Jika mahu bini pandai jaga anak, carilah di Indonesia,
Jika mahu bini cantik, carilah di Kuala Lipis,
Jika mahu bini pandai main henpon, carilah di Kolumpo,
Jika mahu bini pandai bercinta, carilah di Selatan.
Maka Hamdan memutuskan untuk ke Selatan mencari bini yang pandai bercinta. Bagi Hamdan, cinta itu penting untuk hidup sehingga ke hari tua sungguhpun duit dalam akaun ASB takde.
Dalam perjalanan ke selatan, setelah meredah hutan dan bertembung beberapa ekor gajah dan harimau bintang, Hamdan memasuki satu negeri yang disebut Jambu Darul Takzim atau ringkasnya JDT. Penduduk JDT terdiri daripada orang melayu, cina, india dan sedikit warga Argentina. Tersebutlah kisah penduduk JDT amatlah meminati bola sepak sehingga tiap kali ada perlawanan bola sepak melibatkan pasokan mereka, maka jalan raya, shopping complex, rumah urut, kedai gambar dan sebagainya menjadi lengang ibarat pekan zombie kerana semua pergi stadium dan menonton Astro di rumah. Kebetulan ketika Hamdan datang, satu perlawanan bola sepak pasokan JDT menentang musuh tradisi mereka iaitu Tampin Wanderers FC. Maka tiadalah seorang umat pun kelihatan di pekan kecuali beberapa ekor lembu di padang sekolah.
Hamdan jadi stress, lalu Hamdan terus berjalan kaki menuju ke Kuala Lipis dan terjumpa seorang pemudi yang bernama Siti Norhalinda. Maka mereka pun sama-sama suka dan berkahwin. Bahagia sehingga ke akhir hayat.
Demikianlah cerita aku. Terima kasih.