Friday, June 21, 2013

Ulasan saya mengenai cuaca dan kata orang tua-tua.

Entah mengapa beberapa hari ini aku rasa sangat panas bila tidur malam. Bila aku mengadu kepada kawan-kawan bahawa cuaca sangat panas sekarang ini terutama waktu malam, mereka kerap menjawab yang neraka itu lagi panas. Yang mereka yakin sangat aku akan masuk neraka ni kenapa? Okay, jangan jawab.

Malam tadi rasanya, 4 kali aku bangun awal pagi hanya untuk mandi sejukkan badan kerana terlalu panas. Walaupun dah on kipas speed paling tinggi, tetapi masih panas. Berbahang. Ahh... Aku rindukan musim sejuk di Kanada.

Tapi menurut kata orang tua-tua, kalau panas berpanjangan ni, bermakna musim sejuk dah nak tiba. Mungkin betul juga kata orang tua-tua, kerana bila aku pergi kerja keesokan harinya, aku masuk ofis aku rasa sejuk sangat sebab kuat betul air-cond. Menyesal pula tak bawa baju sejuk.

Betul lah kata orang tua-tua. Jangan melawan cakap. Paham?


**Sejuk betul di Kanada dulu.

Wednesday, June 19, 2013

Ulasan saya mengenai ekonomi.

Semalam aku ke Pasar Borong Selangor. Banyak barang memasak di rumah yang telah kehabisan stok.

Ah. Pelik sangat bunyinya. Mungkin sudah lama tak menulis. Baiklah, aku start balik.

Semalam aku ke Pasar Borong Selangor untuk membeli barang masak seperti bawang, cili, asam jawa, rempah, ayam dan syaitan. Huh... Tak banyak perubahan suasana di pasar borong ini kecuali muka pekerja myanmar saja mungkin akibat polis membuat operasi pendatang asing beberapa kali sebelum ini. Sebelum ini aku lebih selesa membeli barang yang berkuantiti sedikit di pasar runcit biasa sahaja. Baiklah, ini bukan cerita pasal suasana di pasar borong. Kalau nak cerita suasana, baik aku pegi tulis kat majalah Dekorasi.

Dipendekkan cerita, semasa aku bertanya harga cili merah pada seorang myanmar dagu lekuk, aku terkejut bahawa harga cili tersebut adalah RM17.50 sekilo! Aku jadi baran tiba-tiba dan tak pasal-pasal myanmar itu aku tikam. Okay, itu tipu.

Bagi aku, adalah tidak patut harga cili yang tak perlu diberi makan dedak dan vitamin itu naik begitu tinggi. Aku membuat kesimpulan bahawa ini semua adalah kerana sikap orang kita sendiri (melayu) yang lupa bahawa ekonomi negara ini telah dikawal oleh bukan melayu. Bila menjelang perayaan, lazimnya harga sesetengah barang keperluan akan dinaikkan sesuka hati dan kita sebagai orang melayu akan merungut tak sudah semasa membelek cili yang akhirnya aku fikir pembelian cili tadi menjadi tidak ikhlas jika dimasak untuk keluarga. Bila tidak ikhlas, maka makanan yang dimasak akan kurang kasih sayang lalu ini salah satu penyebab ikatan kekeluargaan makin renggang lalu mengakibatkan masalah sosial di kalangan remaja seperti mat rempit, lepak simpang, gwiyomi, k-pop dan rambut kuning. Tapi seperti biasa, melayu standard seperti kita ni akan cepat lupa dengan hal harga barang naik di pasar tadi. Lazimnya kita akan marah-marah di pasar dan dalam perjalanan pulang ke rumah saja. Sebaik tiba di rumah, buka tv, tengok drama Rozita Che Wan tengah main, maka kemarahan tadi akan hilang serta merta. Itulah orang kita.

Maka itulah sedikit sebanyak ulasan aku mengenai ekonomi.