Saturday, December 31, 2011

Tahun baru

Tahun baru?

Heh.

Aku dah buat azam masa Awal Muharam lepas.

Sebagai pelengkap jadual, aku ucapkan Selamat Tahun Baru, baby!


Okay, aku migrain.

Wednesday, December 28, 2011

Kita

Kiranya engkau mengejar cita-cita,
aku pula memeluk mimpi-mimpi,
lalu antara kita,
siapakah akan tertinggal di belakang?

Saturday, December 24, 2011

Keluar

Sesiapa, tolong bawa aku keluar dari bilik ini. Dan bolehkah kau berikan aku bahagia untuk hari ini saja?

Kalau tak boleh diam-diam saja. Biar aku usaha sendiri.

Friday, December 23, 2011

Jumaat yang tak berapa nak solid

Sebenarnya hari ni, mood aku tak berapa baik. Daripada bangun tidur pagi tadi, sampai lah ke malam ni, banyak benda yang cepat membuat aku naik darah. Banyak juga benda yang aku rancang tak menjadi. Tapi aku sorok di sebalik muka yang takde watak ini.

Betullah, kita takkan dapat mengikut sangat apa kehendak orang lain terutama orang yang rapat dengan kita. Oleh kerana aku dilahirkan cool, bermakna aku boleh muhasabah diri untuk terima keadaan yang tidak memihak diri aku. Bersabar se-power mungkin. Alhamdulillah, aku dilahirkan sabar walaupun keturunan aku bukanlah dari keturunan sebegitu.

Kawan sekerja aku cakap tadi, mungkin ini pembelajaran bagiku untuk mengharungi dunia rumahtangga kelak. Ermm...rasa macam lama pulak guna perkataan 'kelak' tu. Jadi aku guna 'nanti'. Okay, mungkin ini pembelajaran bagiku untuk mengharungi dunia rumahtangga nanti. Ye, memang aku dah gatal nak kahwin. Ada masalah? Hee...

Dulu, aku selalu nasihat dekat orang lain termasuk Cik Nora, supaya jangan terlalu berusaha keras sangat dalam mencapai sesuatu sehingga minda terlalu fokus kepada satu perkara sahaja. Biarlah apa yang kita rancang itu kita usaha secara biasa-biasa saja dan selebihnya Tuhan akan menunjukkan arahnya. Kita hanya follow the flow. Maksud aku beserta dengan doa dan sedikit usaha la. Faham kan? Bukan takde usaha. Kalau takde usaha, baik kau jadi pokok manggis. Jangan jadi orang.

Sekarang ni, entah apa yang aku merepek pun aku tak tau la... yang korang baca je apahal? Bagi la kata-kata semangat sikit kat aku ni.


Out!

Tak kena

"Eh, Sani, kunci opis kau nape dah longgar?" tanya Kak Zai.

"Dia tak kena Kopi Janda lagi, memang la..."jawab aku mantap sambil buat kerja.

Wednesday, December 21, 2011

Kucing

Minggu lepas masa dekat kampung, sepupu aku, Amir, yang kecik darjah 1 sorang ni tiba-tiba tanya aku.

"Along Ayush, nak teka-teki tak?" soalnya time aku tengah tengok tv cerita binatang.

"Erm, apa dia?"

"Kalau Along terer, kucing apa yang warna warni?"

"Erm? Warna warni? Puss in Boots?"

"Salah..."

"Kucing parsi, kucing siam, kucing Syafiq(kat kampung aku ada sekor kucing nama Syafiq)?"

"Salah..." katanya selamba sambil makan coklat.

"Oggy and the cochroaches?"

"Hihihihi...salah..."

"Abis apa?"

"Jawapannya ialah...."











"Kucing pakai baju pelangi..." jawabnya sambil suap coklat dalam mulut.


"Kelakar la kau ni...kecik-kecik dah kelakar..." kata aku sambil genggam buku lima dengan padu.

Tuesday, December 20, 2011

Kau menang

Kau yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku
tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku,
Kau yang dari hujung rambut ke hujung kaki
bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan,

Tapi kau hadir ironi sebuah kisah fiksyen cinta
sehinggakan aku tidak tegar lagi untuk menolak rasa sayang
dengan insan secomelmu.

Kau menang, Sayang...

Aku yang kalah, akan terus tersenyum
tersenyum untukmu...
Itu janji aku.


-en.sani-




Monday, December 19, 2011

Pengalaman saya kelepet sedozen polis - 3

Belum sempat aku jawab, polis sarjan merujuk hal tersebut ke sorang lagi polis pakai uniform lengkap yang betul punya pangkat 2 paku atas bahu. Setelah berbincang beberapa ketika, polis 2 paku datang ke aku.

"Kenapa tak renew roadtax? Lama dah mati ni..." tanya polis 2 paku sedikit lembut.

"Sebenarnya, saya ada masalah nak renew roadtax tu..." jawab aku gagap.

"Masalah apa?"

"Err...saya dah renew lama dah, tapi kedai motor yang tempat saya renew tu dia dah tahan roadtax saya sebab tak bayar hutang...duit tak cukup," kata aku slow dengan muka dramatik.

"Student ke?"tanya polis 2 paku.

"Ye, student kat Kolej *tuuuuttt*. Motor ni je lah yang harap saya pergi study hari-hari," jawab aku buat muka ekstra kesian.

"Bahaya bawak motor takde roadtax ni," kata polis 2 paku macam bapak-bapak.

Aku ejas muka jadi muka kucing.

"Saya tahu. Dalam masa yang sama, saya kena kerja sebab saya tanggung diri sendiri belajar...bapak saya takde," kata aku sambil ingat babak-babak menipu dalam cerekarama.

Polis yang lain tadi turut berkumpul macam takde kerja lain nak buat. 1, 2, 3, 4, 5...12 orang kesemuanya. Semua nak dengar aku punya cerita india.

Member muka myanmar berdiri senyap-senyap belakang aku. Rapat betul dia berdiri. Mulut dah la bau bangang.


BERSAMBUNG...

Saturday, December 17, 2011

Sabtu ini sebenarnya kosong...

If the world makes you confused
And your senses you seem to lose
If the storm doesn't want to diffuse
And you just don't know what to do
Look around, I am here
Doesn't count far or near
I am by your side.

***


Aku terpaksa berlagak okay bila kamu jauh. Sedangkan ia tidak begitu.

Sabtu ini sebenarnya kosong tanpa kamu. Melayan karenahmu. Mendengar bebelmu. Menyapa gelak ketawamu. Memujuk cemburumu. Membalas kata cintamu. Ya, Sabtu ini sebenarnya kosong tanpa kamu.

Cepat pulang sayang. Rindu.

Friday, December 16, 2011

Gula-gula

Minggu lepas, sorang member pompuan tengah berborak dengan bos, dan melihat bos aku makan gula-gula. Lalu dia pun teringin satu gula-gula jugak dari bos aku. Bos aku suruh ambil gula-gula kat aku.



"Sani, do you have sweets? Can I get one?" kata member pompuan.

"Yup, ada... Kiss me..." jawab aku.

"Wuuu~" katanya.







Aku bagi gula-gula Kiss Me perisa ceri.

Gedik.

Thursday, December 15, 2011

Rebecca (kadang-kadang meluat pulak letak nama kereta Rebecca)

Kereta aku(Rebecca) ada masalah pintu dekat sebelah penumpang hadapan sejak aku tinggalkan Rebecca kat mak aku masa pergi Langkawi hari tu. Kena buka pintu dari luar. Kalau daripada dalam tak boleh buka. Aku saja tak pergi betul. Bukan apa, malas nak pergi singgah pomen, aku pantang pergi kedai kereta. Mesti nafsu membuak-buak nak tukar barang yang takde kena mengena. Membazir tahu tak? Baik salurkan duit tu kepada hal-hal yang berfaedah seperti membeli mekdi dan helikopter.

Keril Samad naik kereta aku hari tu. Sampai lokasi, dia buka pintu tak boleh.


"Apasal pintu ko ni? Tak boleh bukak..."

"Ko bukak tingkap dulu, pastu bukak pintu tu daripada luar..."

"Aik, macam tu plak?"

"Biasa la, tak bagi makwe lari..."

"Peh, power...power..."


***

Tempat duduk Rebecca dah tukar kepada seat yang lebih best. Yang mana seat belakangnya hanya untuk kuota 2 orang penumpang sahaja. Penumpang ketiga di belakang kalau nak duduk boleh jugak, tapi terpaksa bertindak lucah di tengah-tengah seat yang berbonggol.

Kat opis. Masa nak pergi makan tengahari bersama 2 orang member.


"Aik, tempat duduk belakang ko memang 2 orang je ke boleh duduk?"

"Ha'ah...biasa la...itu kita namakan sebagai perancangan keluarga..."

"Hahaha...bongok!"

Tuesday, December 13, 2011

Ong-Bak Rindu

"Sayang, jom tengok wayang, Ombak Rindu..."

"Jom. Nak sangat. Tapi, abang tahu tak, novel Ombak Rindu lagi best daripada filem?"


"Dalam novel takde Maya Karin..." dalam hati je la.


***


Last aku tengok wayang dah lebih 4 bulan lepas kot(gila tak campur masyarakat sungguh...busy tau). Cerita Larry Crowne aku tengok sorang-sorang. Kalau diberi pilihan untuk tengok wayang cerita-cerita lama dengan Cik Nora, aku nak tengok filem Inception, A Beautiful Mind, Forrest Gump, The Reader, Life Is Beautiful dan Saving Private Ryan dengan dia. Hee...

Nak sayang?

Sos

Sos BBQ Domino's Pizza rasa sungguh india.

Tobat tak nak makan lagi aih...

Saturday, December 10, 2011

Ranggi minum petang

Satu petang yang redup dan angin tak berapa nak meniup, aku bertiga bersama kawan-kawan pergi minum dekat satu kedai mamak area Cyberjaya.


"Minum apa?" kata brader mamak.

"Nescafe tarik..." jawab member pertama.

"Ermmm...Milo panas..." jawab member kedua.


"Abang minum apa?" tanya mamak ke aku sebab aku senyap.


"Aaaaaaaa..." aku.


Mamak angkat kening tunggu aku. Ambik order pun muka nak serius. Biasa biasa sudah la.



"Aaaaa....aab, aab laut chalennnn....woooo....aab, aab laut chalennn...." jawab aku.



Bebulu je beliau.



Hey! Customers is always right, tahu?


***




Toksah nak hipokrit sangat cakap korang tak tahu ini lagu apa. Best okay lagu ni. Kahkahkah!

Wednesday, December 7, 2011

Siri berborak dengan makwe - Edisi Disember

Aku : Sayang...

Dia : Ye...

Aku : I wanna say something...

Dia : Emmm...apa? Cakaplah.

Aku : SOMETHING

Dia : (icon hangin satu badan) Abang nak kena gigit?



***
Jangan biar hambar
setelah kau harungi bersama
satu lebuhraya yang panjang
yang lurus
yang bosan.
Hiasilah dengan bunga gurauan
di setiap sudutnya
agar dia tidak berhenti
di persimpangan.

Monday, December 5, 2011

Pengalaman saya kelepet sedozen polis - 2

Aku panik. Berderau darah tu jangan cakap la. Dalam kepala otak aku dah fikir tolak motor ke balai lepas tu kena tidur lokap. Lepas tu satu hal lagi, aku menumpangkan kawan aku yang muka dia memang myanmar habis. Walaupun dia bukan myanmar, tapi dia adalah warga Malaysia jugak. Cuma dia ni asal Sarawak. Bangsa Kelabit. Muka takde melayu punya. Rupa paras nak gangster. Dia pernah cerita yang dulu masa dekat Miri, dia ada join satu kongsi gelap. Aku risau mana la tahu kawan aku ni bawak senjata seperti kerambit ke, revolver ke, pisau rambo ke dalam poket kang, naya je kena soal siasat dalam bilik gelap.

"Berhenti, berhenti! Mana nak pergi tu? Stop!" sound seorang prebet dengan keras dan sombong setelah melihat aku macam nak buat U-turn.

Aku jadi kaget. Lalu aku stopkan motor aku setelah tiba-tiba beberapa lagi anggota polis datang mengelilingi motor aku. Di pinggang setiap daripada mereka ada tersisip sepucuk pistol. Adalah tidak molek kalau aku melawan dengan tangan kosong.


"Tunjuk lesen, IC, dengan roadtax..." kata polis prebet tadi dengan muka berlagak baru keluar akademi. Tengah semangat nak cari saman.

Aku senyum payau. Keluarkan lesen dengan IC tangan menggigil.

Polis prebet check. Dia angguk. Semua okay.

"Roadtax mana?" tanya polis prebet lagi.

Slow je aku buka seat motor tempat letak roadtax.



"Ermm...bulan bila mati ni? Nak 3 bulan dah mati ni??" polis prebet tiba-tiba melenting.

Yang kawan-kawan polis prebet yang lain berkerumun kat motor aku. Yang sorang tu check IC member aku yang muka myanmar tu. Budak muka myanmar tersengih-sengih macam la gigi dia indah sangat.

Aku dah panik.

"Bos, budak ni ada masalah..." kata polis prebet ke seorang polis lagi pakai preman tapi nampak gaya macam pangkat sarjan.

Polis sarjan check. Kening berkerut. Ejas spek mata.

"Ni apahal roadtax tak renew ni?" kata polis sarjan.

"Err...sebenarnya, saya...saya..."

"Saya apa?!"


Tangan dia buat-buat pegang pistol.



BERSAMBUNG...

Sunday, December 4, 2011

Untuk 12 tengah malam ini


Sayang, please grow old with me, I know I will...I know that I will never leave you. I want to tell you that I saw the world in you, you mean everything to me, and all I want is for us to be together until our last birthdays, for forever and a day.

Hadirmu 21 tahun lalu, sebenarnya untuk memberitahu bahawa dunia ini tidak mustahil menemukan keajaiban.

Dan aku adalah manusia bertuah yang menyedari
bahawa sesungguhnya asal indah lengkung pelangi,
terbias datang dari sinar matamu yang jeli.


***

Darah ini akan pertahankan...

Friday, December 2, 2011

Panggilan nusantara

Kurang 2 bulan lepas, aku ada beli satu nombor telefon prabayar baru cap Digi. Nombor ni aku kategorikan sebagai nombor peribadi yang tak ramai yang tahu. Yang tahu ada la dalam 5-6 orang je. Khususnya untuk Cik Nora sendiri, sebab memang aku beli nombor ni untuk dia. Senang nak sms dan call.

Pada suatu hari yang suam-suam kuku, aku sedang kusyuk membaca fesbuk di opis. Tiba-tiba henpon nombor Digi aku berbunyi minta diangkat.

014-965XXXX

Nombor tidak dikenali.

Aku jadi pelik. Siapakah gerangan nombor itu?

Aku tekan 'Angkat'.


"Helo..." jawab aku sweet.

"Hallo, Wajiman mana?Gue mau bla bla bla(aku tak faham apa dia cakap)..."kata mamat yang sah-sah la Indon dengan suara mintak kena pijak laju-laju.

"Eh, sorry...Wajiman mana? Salah nombor ni beb..." kata aku kat mamat Indon tadi.

"Err...salah ya? Ini siapa ni?" katanya.



"Ini Aaron Aziz," jawab aku tegas.

"Owh...maaf yak..."

"Sokay..."



***


Hai, saya Aaron Aziz.

Thursday, December 1, 2011

Siput

Dia : Abang makan apa tadi?

Aku : Makan siput sedut, sayang...

Dia : Apa tu? Nia tak tahu...

Aku : Errmm...apa eh. In english abang tak tau la nama betul dia, sayang...nanti abang cari eh?


Takkan la aku nak cakap siput sedut tu in english, 'suck snail'? Merepek sungguh. Kan?

Pengalaman saya kelepet sedozen polis - 1

Lebih kurang tahun 2006 dulu, masa aku masih bermastautin di Melaka, aku ni boleh dikatakan seorang remaja yang rebel dan kaki naik motor, berpeleseran tak ingat maghrib dengan rakan-rakan lain. Masa itu, semuanya indah. Tiada rasa bertanggungjawab sangat. Tiada ingat nak buat duit sendiri. Belanja duit PTPTN pergi beli kasut. Tiada komitmen dengan makwe. Ibarat dunia itu tak kejam sangat di kemudian hari.

Masa itu aku ada sebijik motor power iaitu sejenis Yamaha SS 110 kuasa kuda, jenis kalau bawak wheelie sebijik macam Norick Abe. Yamaha SS ni memang power. Kalau dekat Kota Laksamana dan Jalan Ong Kim Wee nyonya-nyonya ramai yang naik darah bila motor ni lalu. Jenis motor makan sumpah. Sebab tu motor tu sekarang status dia ialah tidak dapat diketahui. Mungkin dosa-dosa silam yang menghantui.

Dipendekkan cerita, ada satu masa ni roadtax motor aku dah tamat tempoh nak 3 bulan dah. Tak boleh nak renew sebab ada masalah teknikal. Nak tak nak aku tawakal je bawak ke hulu ke hilir tanpa rasa berdosa.

Satu hari, aku bersama beberapa lagi rakan-rakan lain ke rumah mak angkat aku di area-area Selandar sana. Bersama sorang sebijik motor, dan yang takde motor buat muka tak malu mintak tumpang. Rasa nak siku je.

Balik dari Selandar, kami berkonvoi melalui jalan utama Ayer Keroh. Sampai satu selekoh betul-betul depan Mini Malaysia, tiba-tiba ada roadblock oleh sekumpulan polis. Ini operasi jalanraya yang betul-betul punya operasi jalanraya. Takde main-main punya roadblok macam dalam drama Yusof Haslam tu.

"Astaghfirullah..."



BERSAMBUNG...

Wednesday, November 30, 2011

Bercuti-cuti

Cyberjaya-Seremban-Cyberjaya-Sg Buloh-Kuala Selangor-Tanjung Karang-Sabak Bernam-Teluk Intan-Manjung-Changkat Jering-Pulau Pinang-Gurun-Alor Star-Kuala Perlis.

Naik feri ke Pulau Langkawi.

Dari Pekan Kuah, pusing 2 round Pulau Langkawi naik van.

Naik feri ke Kuala Perlis.

Kuala Perlis-Alor Star-Gurun-Pulau Pinang-Changkat Jering-Ipoh-Simpang Pulai-Cameron Highland-Tapah-Tanjung Malim-Sg Buloh-Damansara-Cyberjaya-Seremban-Tampin.

Dari Tampin naik bas zaman jepun ke Seremban.

Seremban-Cyberjaya.


***


Berikut adalah perjalanan aku bawak kereta sejak masa aku cuti haritu. Kalau tak betul cara, boleh hancur punggung kau.


***

Dalam susur galur keluarga aku, memang majoritinya adalah lelaki. Perempuannya kurang. Tapi bila bab nak pergi berjalan, nak memunah duit, golongan lelaki majoriti tadi tiba-tiba hilang. Makanya, masa pergi Langkawi hari tu, 11 perempuan, lelaki 2 orang, yang tak berapa nak lelaki 2 orang.

Thursday, November 24, 2011

From Soraya With Love

Aku rindu kat Soraya. Seriesli rindu. Berbulan jugak aku mogok naik motor sejak Soraya dekat kampung.


Takpe sayang. Nanti aku bawak kau turun Cyberjaya balik ye.

Nak jual ke tak nak?

Nak jual ke tak nak?

Nak jual ke tak nak?

Nak jual ke tak nak?


First time aku rasa sangat dilema sejak dilema nak berkhatan masa darjah 5 dulu.

Tuesday, November 22, 2011

Garuda dicakarin Ayu Raudhah.

Malaysia menang ibu segala pingat emas Sukan SEA 2011 malam tadi. Melenyapkan sorakan garuda (disebut garudada oleh Keril Samad) di Gelora Bung Karno.

Tapi, tahu tak berapa bakul aku maki Fakri Saarani malam tadi? 15 bakul setengah tahu tak? Makcik aku geleng kepala dan kejap-kejap tu darah tinggi naik.

Dah tahu bangang main bola, pergi la main sukan lain. Macam Alex Yoong tu. Dah tahu dia bangang racing kereta, dia luncur air pulak. Menang plak tu. Tak pun suruh dia beratur peraduan menyanyi ke. Kerja ikat batu kat tempat kontrak ke. Receptionist hotel ke.



P/S : Lagi satu, ada ke adik perempuan aku cakap Khairul Fahmi Che Mat tu hensem gila? Hensem gila? Muka jepun tu? Hensem?

Selera kau sungguh aneh.

Monday, November 21, 2011

Bodohnya lelaki

Ada masa,
lelaki akan jadi bodoh tak berguna
bila segala nasihat menjadi sia-sia
dan ambil berat dipermudahi
dengan satu torehan halus tapi dalam
hasil seni seorang perempuan.


Thursday, November 17, 2011

Pengalaman saya menjadi penyanyi power

Tadi secara terpaksa, aku telah ditugaskan untuk menyanyikan 2 buah lagu untuk team aku dalam satu peraduan hiburan di MMU. Peraduan hiburan ini memang bukan calang-calang punya peraduan kerana ia melibatkan kehebatan menyanyi dan menghibur di seluruh pelosok MMU Cyberjaya dan Melaka termasuk anak syarikatnya iaitu Multimedia College. Kalau kalah tu boleh bawak bergaduh sesama department.

Dipendekkan cerita, aku secara bidan terjun telah ditugaskan menjadi penyanyi utama(bersama beberapa orang lagi) untuk lagu Aci-Aci Buka Pintu dan Bunyi Gitar. Buat ala-ala High School Musical la lebih kurang ada nyanyi dan berlakon sikit-sikit.

Peraduan hiburan ini telah diadili oleh dua orang yang cukup power dalam bidang seni iaitu Dia Fadila, seorang penyanyi bersuara malaikat dan bermuka comel, dan seorang lagi brader muka garang dari ASWARA tak silap. Dia Fadila ni dulu masa dia belum kahwin, memang aku minat kat dia. Dah la comel, muka bulat, ada tahi lalat manis kat tepi bibir. Tapi cinta kami putus di persimpangan kerana traffic light rosak. Beriya-iya kau baca. Kah kah kah!

Persaingan 14 kumpulan lain menyaksikan saingan sengit sehingga memaksa juri memberhentikan seketika pertandingan kerana beberapa orang penonton histeria dan tidak dapat mengawal perasaan berahi. Lima buah jentera bomba dipanggil untuk mengawal keadaan. Manakala dua ekor Terminator standby di pintu utama.

Dipendekkan cerita, pasukan kami telah menjuarai saringan ini untuk layak ke final bersama 6 kumpulan lain. Serius aku tak percaya sampai sekarang. Baru sikit je aku main mata dengan Dia Fadila tadi. Takkan dapat ranking pertama terus kot? Grand finale peraduan hiburan ini akan diadakan pada 8hb Disember nanti. Sah-sah la aku kena menyanyi lagi sekali. Gila masak asam!


***

Senyap-senyap, Cik Nora YM aku, "Tahniah abang...."

Aku balas, "Aik, macam mana boleh tahu?"

Dia balas, "Ada lah...rahsia... Sedap jugak suara pakwe Nia ni nyanyi..."


Aku jadi malu. Mana aku nak letak muka ni karang?



Tadi, lepas maghrib Cik Nora suruh aku call dia. Lepas tu dia jadi mengada.

"Kalau abang tak nyanyi satu lagu untuk Nia, Nia taknak letak phone...satu lagu je..."




Tahu tak, aku nyanyi lagu Rindu Bayangan untuk dia. Kalau family aku tahu ni, memang setahun aku tak balik Tampin.


Gila! Sekali tengok macam Slash. Dua kali tengok macam Aidil Zafuan!


Wednesday, November 16, 2011

Best

Tampin. Hari raya haji. Aku suruh makcik aku masak sardin. Gila rare kan hari raya masak sardin? Family aku je boleh buat.


"Ibu, masak sardin apa?" kata adik perempuan aku.

"Sardin Marina..." jawab makcik aku yang dibahasakan 'ibu' itu.

"Alaa...Sardin Marina tak best la..."


Aku sedang memotong bawang. Tak ramai jejaka yang boleh bawak memotong bawang dewasa ini. Yang ada pun, semua berebut nak masuk Masterchef.


"Habis, sardin apa yang best?" aku menyampuk perbualan mereka.

"King Cup la best..." jawab adik aku.

"Salah..." aku membantah.

"Habis tu?"


"Masuk syurga lagi best..." aku jawab setenang air di kali.




Pisau melintang dekat leher aku. Derhaka punya adik.

Tuesday, November 15, 2011

Hidup ini tidak semudah menyelak muka surat belakang novel untuk mengetahui endingnya.

Sedang melalui hari-hari yang sukar. Aku ibarat karektor fiksyen dalam lipatan novel. Memainkan peranan yang menggila sepanjang selakan muka surat. Dihentam kiri dan kanan tanpa belas. Dihujani peluru-peluru kata yang bisa dan tajam. Semua ibarat menguji diri untuk harapan sebuah pengakhiran gembira. Seperti cerita hindustan lebih kurang(hindustan moden tak kot?).

Seriously, aku tak tahu bagaimana aku boleh melepasi semua kegilaan ini dengan tenang(walaupun hampir rebah). Aku tak sabar nak mengukir senyum di ribaanmu saat aku sudah parah mempertahankan seluruh jalan cerita. Jika itulah kemaafan terindah buatmu. Jika ia boleh membayar keseksaanmu sekarang.


Kau akan sedar yang aku sentiasa ada dalam novel hidupmu. Even sehingga Jilid ke-2 dan seterusnya.






Bencinya, takde lawak ke?

Monday, November 14, 2011

Andai ada lagi permintaan fiksyen zaman ini, tolong berikan aku satu sahaja lagi...

Sayang, kita takkan sama seperti hari-hari yang lepas, di mana setiap kesalahan yang kita lakukan itu hanyalah trial and error, atau satu pembelajaran dalam frasa hidup. Sekarang, kesilapan bukan satu opsyen untukmu. Semua benda harus tepat. Hanya yang mutlak, tak ada alternatif. Tiada masa untuk ketawa gembira kerana kesilapan lagi. Kita buat hidup baru, yang lain dari sebelum ini.

Cepat sembuh sayang. Berkali-kali ku katakan bahawa kamu perlu hidup baru. Aku sentiasa bantu. Kamu tahu kan, aku tak rela bintang yang sedia redup itu jatuh sekali lagi?

Hidup ini tidak semudah memasang pencak silat untuk mengelak bala-bala hari muka melindungi kamu. Aku hanya boleh memelukmu, melindungi dari bala fizikal, tapi bukan malaikat yang datang dari kiri dan kananmu.

Aku rindu kamu. Rindu suaramu. Rindu ketawamu.

Ya. Aku serius. Serius untuk cintamu.

Tolong bangun, sayang. Bangun dari katil yang membelenggu dirimu itu.

Saturday, November 12, 2011

Kau menangiskah, November?

Minggu lepas masa aku bertarung dengan sakit demam, kerja aku sehari suntuk ialah berbaring di atas katil mengharap sesuatu yang tak pasti. Ah, melankolik pulak. Okay, aku baring atas katil sambil selimut berbalut dari hujung kaki ke hujung kepala. Sesekali mencapai telefon menjawab sms dari Cik Nora yang risaukan aku sampai nangis-nangis dia. Tapi macam biasa, aku akan cakap aku okay. Walaupun aku tipu, tapi demi kebaikan juga. Aku tak cakap istilah 'tipu sunat' okay. Mana ada tipu sunat dalam islam. Aku cuma tak suka dengar dia menangis. Kalau dia menangis di hadapanku, aku janji akan menghukum diriku. Cewah. Macam novel Ombak Kasih.

Oh Tuhan, itulah masa aku rasa sangat sukar untuk aku berdiri. Perut rasa senak semacam. Pinggang rasa mahu tercabut dari soketnya. Beberapa kali aku mengalami halusinasi seperti ada orang berborak dengan aku.

Petang itu, hujan. Pundakku rasa nak pecah dengan 39 darjah celcius membakar otak. Hujan makin rancak. Dentum guruh seakan mengejek.

Dalam selimut, dalam gigil, demi tiada hiburan, aku berkata sendirian,

"Kau menangiskah, awan? Nak aku nyanyi lagu November Rain?"


Tiba-tiba, sms masuk,


"Abang, I love you..."




You know, hangat 39 darjah celcius tu terus terang aku cakap tak boleh challenge hangat kasih dia.


***

Mummy Cik Nora tak henti-henti sms aku tanya dah sihat ke belum. Aku balas, "Mummy, saya kan lelaki, kena la kuat...mummy pun jaga kesihatan tu..."


Rasa disayangi sangat. Malunya.

Thursday, November 10, 2011

Semalam aku bermimpi...



"Abang."

"Yup."

"Lagu apa tu?" pandang dengan mata paling winner.


Aku cuma senyum.


"There's a piece of you in every song that I sing, sayang..." dalam hati saja.


Aku berpaling kepadanya.

Dia senyum.

Manis.

Aku kenyit mata.

Dia senyum lagi.

Ah... sungguh manis. Tuhan, jangan rentap kemanisan itu sampai bila-bila.

Wednesday, November 9, 2011

Berhenti sebentar

Blog ini akan berhenti beroperasi. Sehingga aku betul-betul dapat lihat kembalinya merah si hati.

Tuesday, November 8, 2011

Tinggi sangatkah mimpi itu?

Sayang,
We all need somebody that we can turn to,
someone who will always understand.
So if you feel that your soul is dying,
and you need a strength to keep trying,
I'll reach out and take your hand.

Friday, November 4, 2011

Seribu

Mungkin ada seribu sebab untuk aku menunggumu sampai bila-bila.

Tapi, antara seribu sebab itu, yang berada di ranking paling atas ialah kerana aku cinta padamu sayang.

Tuesday, November 1, 2011

Happy Ending Setori

Pada zaman dahulu, iaitu zaman selepas zaman Lord of The Ring, hidup seorang pemuda yang kacak walaupun tidak memakai mekap dan minyak rambut. Pemuda ini bekerja sebagai seorang nalayan di sebuah perkampungan yang tiada bekalan elektrik. Thomas Edison juga belum mencipta mentol lampu. Tiap malamnya, cahaya hanya diharap pada jamung dan pelita sumbu. Andai kata hujan hari itu, maka tiadalah cahaya kerana habis semua jamung dan pelita sumbu basah.

Arakian tersebutlah satu peristiwa pada satu musim sotong, pemuda kacak ini ingin mencari rezeki lebih dan ingin ke laut untuk mencandat sotong. Diceritakan bahawa malam itu hujan. Pemuda itu tetap dengan pendirian untuk turun ke laut. Dengan berbekalkan sebiji bot fibre glass dengan enjin jenama Suzuki 20 kuasa kuda, pemuda itu mengajak rakan karibnya, seekor zirafah bernama Eddy.

Sampai ke subuh pemuda kacak dan Eddy keluar mencari rezeki, tidaklah pulang-pulang. Maka menimbulkan kerisauan kepada ahli jemaah kampung. Selepas usai solat subuh di surau kampung itu, maka pak imam mengarahkan orang kampung untuk turun ke laut untuk mencari pemuda kacak tadi. Risau kalau apa-apa terjadi ke pemuda kacak harapan kampung itu. Entah karam di lautan kah, entah diculik lanun Somalia kah, entah ditelan Segitiga Bermuda kah.

Pukul 12 tengahari, tiba-tiba pemuda kacak dan Eddy tiba di jeti dengan sotong lapan belas pikul dan cukup untuk semua penduduk kampung.

Maka demi menghargai jasa pemuda kacak, tok ketua mengubah nama kampung itu menjadi Kampung Sotong Lapan Belas Pikul.

Amacam, happy ending tak? Tak payah la karate meja tu.

Monday, October 31, 2011

Klise sebuah cinta - secara tak langsung, aku tulis untukmu...

Terjerat mimpi yang indah,
pernah sama kita rasakan panasnya mentari,
hanguskan hati,
sampai saat kita nyaris tak percaya
bahawa roda hidup terus berputar.

Aku tak tahu apa akan aku lakukan esok,
tapi percayalah,
apa aku buat hanyalah untuk kita berdua.

***

Sesungguhnya percayalah sayang,
jika kamu cuba belajar untuk mencintai aku,
aku telah lebih jauh mencintai kamu.




Ah...jiwangnya saya. Benci. Benci. Benci.

Friday, October 28, 2011

Kekejaman terhadap pekerja

Selasa hari tu, tengah aku bergelut dengan student arab buat smartcard, telefon opis berbunyi.

Dengan gaya pekerja kolar putih yang sibuk dan dalam poket baju banyak duit lima puluh-lima puluh dan jenis pergi kerja naik Honda City, aku angkat telefon opis dan sangkut antara bahu dan pipi sambil tangan terus buat kerja macam biasa.


"Hello Sani, kau boleh menyanyi tak?Lagu Bunyi Gitar je..."


Apa, kau ingat aku Imran Ajmain?



*Persembahan Teater Musical P. Ramlee, entah macam mana nama aku kena petik masa meeting haritu pun aku tak tau la. Walaupun suara aku sedap, tapi aku takkan tunjuk kat orang lain. Bos aku, nama dia naik kena main gitar dressing Kugiran Panca Sitara. Kah kah kah!

Korang kejam HCM, korang kejam! Kami hanyalah insan yang lemah!

Tuesday, October 25, 2011

Tikek ghupo aluminium ko hok mahaa sangak tu? Osah la korang dikelepet eh dek FAM.

Sekarang tengah kecoh tiket final bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu mahal ya ampun. RM50 di Stadium Shah Alam yang macam ladang kentang tu.

Lantak korang la. Aku kalau ada tiket free baru aku datang. Kalau tak, aku nak duduk depan tv je dengar Haji Hasbullah Awang buat merepek dia tu.


***

Ramalan aku, Negeri Sembilan 3, Terengganu 1.

Selepas itu, FAM dijangka akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai jajahan British sekaligus Negeri Sembilan layak bermain dalam Liga Perdana Inggeris dengan dana yang diperoleh melalui penjualan Pulau Tioman kepada kerajaan Perancis.

Amacam? Rebel tak pendapat aku?

Sepetang di kampung

"Hairus, nape kau makin gemuk pulak ni?" kata mak aku tiba-tiba.

Aku pun jawab tiba-tiba,

"Biar la, Nora yang suruh..."


Nyit. Kena cubit.


***


Mana ada gemuk. Tak pun. Gajah lagi gemuk.

Saturday, October 22, 2011

Friday, October 21, 2011

Kasih sayang

Dah 3 minggu aku makan makanan yang tiada kasih sayang.

Esok aku balik kampung.

Thursday, October 20, 2011

Petang Khamis

Hujan petang ini. Lupa pula, kereta aku tak ada hari ini. Tadi pergi opis pun jalan kaki. Kereta aku berada di satu tempat yang dirahsiakan. Badan tengah sakit-sakit sikit. Tangan cedera. Nak balik jalan kaki ke rumah ni macam bukan satu idea yang bagus. Kalau dah demam karang kena hujan, nak pergi klinik naik apa? Naik zirafah?

Jadi, sementelah aku di opis ni, aku berpegang pada satu kata pepatah english yang terkenal, 'Welcome to Facebook - Log In, Sign Up or Learn More.'

Tuesday, October 18, 2011

Siri berborak dengan makwe

Suatu petang yang hening dan busy...


Aku : Sayang...

Nora : Ye.

Aku : Tanya sikit boleh?

Nora : Apa dia, tanya la?

Aku : Misal kata la kan...

Nora : ...

Aku : Satu hari nanti kan, kalau...

Nora : ...?

Aku : ...kalau abang dilantik jadi Batman, Nia boleh terima abang lagi tak?

Nora : (icon gelak guling) Tanak kawan abang!

Aku : (icon gelak guling gak)

Nora : Saja je nak bagi Nia gelak kan? Gigit kang...

Monday, October 17, 2011

Gadis high maintenance

Tok Tok Tok...


Kelihatan seorang gadis high maintenance berdiri di tepi pintu Smartcard Centre. Dengan sorang lagi kawan dia yang nampak biasa-biasa je malas nak ambil port.

"Saya nak buat id card, bang?" kata gadis high maintenance itu.

"Yup, masuk lah..." kataku sambil senyum.

Seluar legging, baju longgar jenis separa kelawar, spek besar, rambut dwi-kaler, beg tangan pink jenis beli kat KLCC. Wangi.


"So, what can I do to get my smartcard?" kata gadis.

"I need your temporary id," aku balas sambil mata tengok fesbuk. Tangan hulur buat simbol kad.

"That's all?"

"Oh, and your sweet face..." aku buat senyum super sweet, tapi tak ikhlas sangat.

"Excuse me?"

"Ambik gambar la, dik oi..."senyum aku jadi luat.

"Owh...but, alaaa...muka selekeh. Tak cantik," sambil usap rambut. Tangan terus seluk beg tangan keluar bedak asas ke hape jadah entah yang ada cermin tu. Dia lihat cermin sambil ejas bulu mata, pipi.

Aku jeling kat gadis high maintenance tersebut. Geleng kepala sikit. Aku tak tahu nak kategorikan cantik macam mana. Cantik itu terlalu subjektif. Ada ramai wanita cantik di luar sana, yang sebenarnya tidak cantik di mata aku. Cantik kata kau, tidak pada aku. Aku dah bosan lihat wanita cantik masuk opis aku. Mual.


"Okay, adik pegi kat belakang partisyen tu, ada lampu kelip-kelip. Lilit kat muka sampai rasa cantik..."


Kawan dia gelak bagai tak mahu kat tepi pintu.

Sunday, October 16, 2011

Pelangi

Bawakan aku ke langitmu
untuk ku sentuh
tujuh warna pelangi
dari mimpimu.

Friday, October 14, 2011

Random October




Student-student MMU yang dikasihi, bagi abang rehat sehari dua dulu boleh? Tunggu abang kemas opis, hias opis, letak lampu kelip-kelip, bubuh bedak banyak-banyak kasi cantik, baru kita bergelut pasal smartcard, okay? Deal? Abang pun ada perasaan jugak nak pergi dating dengan makwe abang. Korang boleh la hujung minggu lepak depan air pancut KLCC sambil makan aiskrim.

Lempang kang, apa pun tak dapat.


***

Kepada student-student baru October Intake, selamat maju jaya. Kepala otak jangan ingat nak main.

Bak kata pepatah pendekar, selamanya kan gemilang, di persada dunia multimedia.

Wednesday, October 12, 2011

Merpati sejoli

Dah demam-demam macam ni, Jo Qusary ada menulis satu entry tentang Sup Burung Merpati buat manfaat bersama kepada sesiapa yang mengalami sakit dan demam. Perubahan cuaca global mengakibatkan suhu badan manusia mengalami kejutan dan, ah bosan...bosan. Nak fakta, pergi baca blog lain.

Sup burung merpati tersebut memang lah nampak sedap, tapi oleh kerana aku belum lagi ada ilmu menjinakkan burung merpati, maka entah bila tahun aku dapat makan sup merpati. Kita bukan berada di Kota London atau depan Taj Mahal di mana terdapat beribu-ribu burung merpati makan di tengah boulevard. Ditambah pula dapur rumah aku dilengkapi dengan sistem berteknologi hijau iaitu jarang sekali berasap demi sama-sama memelihara bumi daripada pelepasan karbon dioksida.

Kat Cyberjaya ni apa ada? Burung gagak kitai sampah banyak la.

Bak kata pepatah, jinak merpati makan di tangan, bulat manusia kerana Kentaki Fried Ciken.

Kuurrr...kuurrr...kuurrr...(bunyi merpati)



P/s: Terima kasih Kak Nor sebab bagi aku tumpang tidur kat rumah semalam. Terima kasih kat makwe aku jugak kerana tidak henti-henti menangis kerisauan. Hihihi...

Monday, October 10, 2011

Kalau nak tolong pun, tolong masakkan makan malam aku...boleh?

Aku demam panas sekarang. Badan sakit-sakit. Nak bangun pun tak boleh.

Makwe aku offer nak jaga aku.

Hehe. Takpe sayang. Aku cuma tak mahu sesiapa lihat aku sakit. Kalau sesiapa nak lihat aku semasa sakit, tolong jangan sedih dan menangis. Cuba buat aku senyum, ketawa.

Harap-harap esok okay.


P/s : Aku ingat masa aku kecik-kecik, ayam wan aku sakit, wan suapkan ayam tu dengan Panadol setengah bijik. Petang tu, ayam terbabit sihat walafiat siap boleh mengawan. Ketawa time sakit ni lain macam betul kat area-area dada. Nak pecah. Tapi tak boleh tahan ketawa. Ketawa je la. Hahahahahaha!

Wednesday, October 5, 2011

Kadang-kadang, kanak-kanak tu takdelah jujur sangat bila bercakap...


Tahu macam mana nak bagi budak-budak makan banyak? Cakap semua makanan itu adalah ayam.

***

Aku : Danny, papa kerja apa?

Danny : Polish(polis)...

Aku : Mama kerja apa?

Danny : Goget(joget)...

Aku : Uncle(aku) plak kerja apa?

Danny : Ermm... funfair.


Jahanam. Kalau aku dapat siapa mengajar budak ni cakap bukan-bukan, memang aku cepuk mulut dia sampai bengkak. Muka aku macam cina funfair ke?

Okay, tak payah jawab.

Tuesday, October 4, 2011

Pecah

Semalam hati aku pecah,
Maksud aku, dipecahkan.
Aku tunduk bertinggung,
kutip satu-satu
dan perap dalam balang dengan sedikit titisan madu...
Esok-esok baru aku beli gam
dan lekat satu-satu bentuk hati baru.

Cubalah pecahkan lagi hati itu.
Memang aku tempah stainless steel punya satu...

***

Adik-adik. Tahu tak kenapa air mata itu diciptakan masin? Kerana kemasinan itu bisa memedihkan luka. Jadi, hapuslah air mata itu, dik. Kita hipokrit sikit, takpe.

Abang ajar ni, jangan memandai-mandai mengadu kat mak.

Monday, October 3, 2011

Somber serenade

I'll sing this somber serenade,
The past is done.
Kita akan dikhianat
oleh masa depan.

Bersedialah,
Puaskanlah hidupmu dengan senyuman.
Petiklah bintang sebelum bulan hilang
Gelungsur di pelangi sebelum kabus kelam.

Ucaplah sayang,
kerana cinta adalah waktu kita mengaku gila.

:)


-en.sani-

Saturday, October 1, 2011

Shhhyyy...dengar robot-robot itu berbisik tentang cinta dan rasa...


Sehari sekeping hati,

Patah-patahkan cicah dalam kopi.

Pedih, payau, pahit,

Tapi beri tenaga,

hanya untuk melihat kamu...

dan pelukmu sampai pagi.


***


Hati bukan untuk dijual.

Jadi, usah bertanyakan berapakah harganya.

Wednesday, September 28, 2011

Dua puluh lima

"Buat abang yang ku sayang, Nia nak ucapkan happy birthday untuk abang. Semoga hubungan kita kekal selamanya and hope dapat kawin cepat. If Nia bukan orang yang pertama yang wish untuk abang, Nia tak kisah. 'Coz Nia pun tahu, Nia bukan orang pertama dalam hidup abang, kan? Apa pun, sekarang Nia je dalam hati abang, kan? I love you so much..."

25 September 2011, 12:01am.

***

Titipkanlah cahaya terang,
yang tak padam didera goda dan masa.

Aku tersesat menuju hatimu,
beri aku jalan yang indah,
Izinkan aku lepas penatku,
untuk sejenak lelap di bahumu.



*Plink*

Monday, September 26, 2011

Dua puluh lima

"Happy birthday...semoga panjang umur, murah rezeki and dipermudahkan segala urusan. Apa yang penting sekali, moga-moga tahun depan dapat la kawin ek. Akak sayang adik akak yang sengal ni. Esok datang rumah ok...wajib. Esok akak masak untuk kau."

25 September 2011, 12:01am.

***

Keh keh keh. Kau ado?

25 September

Sempena ulang tahun yang ke-25 aku hidup di dunia penuh pancaroba ini, aku nak cerita satu benda kat korang.

Nak tahu tak dari mana asalnya dan idea mak aku menamakan aku sempena nama Mohd Hairussani?

25 tahun yang lalu, lebih kurang pukul 11 pagi, lahirlah seorang bayi lelaki yang comel dan hensem. Tidak banyak soal. Menangis pun beragak-agak saja. Tidak memeningkan kepala. Lantas cepat mendapat pujian dari keluarga, nurse, doktor dan sesiapa saja di sekeliling ketika itu. Bayi itu sangat mirip rupa ibunya dan sedikit wajah datuknya(kini arwah) dan sudah tentulah ada sikit rupa bapaknya yang ganas.

Ibu yang melahirkan bayi itu ternyata gembira kerana itulah pertama kali beliau mendapat zuriatnya sendiri. Dah la comel, hensem, comel, kacak dan comel pulak tu. Ahli keluarga lain tidak melepaskan peluang untuk memegang bayi itu kerana itulah pertama kali dalam susur galur keluarga, terlahirnya seorang bayi yang sangat-sangat la comel *sudah Sani, sudah*.

Namun, si ibu tidaklah ready untuk memberi nama untuk bayi lelakinya. Mungkin semasa mengandung, beliau dan suami tidaklah romantik sangat nak main teka-teka nama bayi lelaki atau perempuan. Maka, semasa lahirnya bayi mereka tadi, terlupalah mereka bahawa bayi itu memerlukan nama untuk dicatit di surat beranak.

Dipendekkan cerita, terdapatlah seorang lagi ibu lain yang baru kematian anak semasa kelahiran dalam hospital yang sama dan berkawan dengan ibu yang baru melahirkan bayi yang comel tadi.

"Kalau anak den laki, teringin den nak lotak namo Hairussani, " kata ibu yang kematian anak tadi sambil mengait alas meja.

Jadi, demi kasihankan ibu yang kematian anak tadi, si ibu yang melahirkan bayi lelaki comel tadi terus memberi nama 'Hairussani' untuk bayi lelakinya. Lalu ditambah pula di pangkal namanya 'Mohd' untuk sesedap sebut dan memanjangkan nama di report card. Si suami ternyata tidaklah membantah dengan nama tersebut kerana banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan. Lagipun, pada zaman itu susah sangat kedai buku nak jual buku panduan nama-nama anak dalam islam. Duduk pulak dekat Felda(si suami ialah Penyelia Felda), celah mana ada kedai buku?

Maka, tercatitlah dekat surat beranak di Hospital Tampin, Mohd Hairussani.

Setahun kemudian, lahir lagi seorang lagi bayi lelaki dari ibu yang sama yang diberi nama Mohd Hairi demi mem-balancekan nama dengan abangnya tadi.


Tapi, Hairussani? Pelik kan? Mufti Perak Harussani Zakaria aku rasa nama dia tak 'up' lagi masa tu.

Habis, kalau dah mak aku letak nama aku Megat Haris Faizal, takde lah korang terhegeh-hegeh nak membaca b l o g . e n . s a n i ni sekarang. Kan?


P/s : Nama aku kerap orang salah sebut semasa zaman sekolah dulu. Hairol-sani la, Harun-sani la, Khairul-sani la, Husaini la, Hugh Jackman la. Haih...dilema betul aku masa tu. Apa pun, terima kasih mak kerana bersusah payah melahirkan aku. Hidup ini memang indah rupanya.

Friday, September 23, 2011

Siri bercakap dengan makwe II

Aku : Nia salah makan ke sayang?

Nora : Semalam ikut mummy pergi rumah kawan dia ada buat bbq. Nia termakan benda yang macam rubber tu semalam. Bentuk dia macam cincin. Bulat-bulat. Tak tahu apa tu. Nak muntah pun ada.

Aku : Itu sotong la sayang...patut la Nia sesak nafas, pengsan. Memang la dia macam rubber.

Nora : Sotong? Apa tu?

Aku : Cuttlefish sayang... Kan Nia tak boleh makan cuttlefish. Nia alergik.

Nora : Owh. Nia lupa sotong tu apa. Sekarang baru tahu. Hihihi...

Aku : Lain kali makan tu hati-hati. Kalau tak tahu, tanya tau.

Nora : Nia tahu sotong tu macam mana, tapi, why bentuk dia lain? Jadi bulat-bulat?

Aku : Hehe, dia potong-potong, memang la jadi bulat-bulat.

Nora : Potong sotong jadi bulat?? Sotong tu bulat ke? Tak faham la Nia.

Aku : Hahaha...sotong tu punya badan kan silinder, bila potong jadi la bulat...

Nora : Oh, macam tu ke? Mana la Nia tahu. Abang jangan la gelak...


***

Tahukah anda, kegagahan seorang lelaki terletak pada sejauh mana dia mampu menahan sabar. Kerana ilmu yang paling susah untuk dikuasai adalah ilmu kesabaran. Sabar, sabar jugak. Yang penting aku gelak. Kah kah kah!

You make my day la sayang. Aku cinta kamu.



P/s : Perbualan tu aku ada edit sikit. Takut korang meluat pulak tengok aku berborak...

Thursday, September 22, 2011

Siri berborak dengan makwe I

(Klik gambar untuk tumbesaran pramatang)

Perhatian pakwe-pakwe di luar sana. Kalau kamu dapat makwe tak reti sangat cakap melayu, jangan la marah dia. Kan benda tu semua boleh bawak bergurau. Sekurang-kurangnya boleh jugak mengundang senyum. Kan?

Usik mengusik kan membawa bahagia? Lain lah korang tu dilahirkan memang untuk mendokong watak antagonis. Bengis sana, bengis sini. Kerut muka sana, kerut muka sinun. Tak boleh ke bersabar sikit? Lempang kang, berpusing.

Monday, September 19, 2011

Berat badan

Selepas musim hari raya yang lepas, aku berusaha untuk menaikkan kembali berat badan. Ini kerana aku sudah tidak kepunyaan wang untuk membeli seluar lain yang bersaiz lebih kecil. Banyak lagi benda lain boleh dibeli dengan duit yang berjuta-juta dalam bank itu, bukan setakat membeli seluar. Membeli helikopter misalnya. Atau membeli rice cooker.

Semasa bulan puasa hari tu, ada beberapa ahli saudara dan rakan-rakan aku membuat beberapa tohmahan apabila melihatkan badan aku yang semakin susut. Ada juga yang mengatakan bahawa badan aku telah di-edit menggunakan photoshop. What the neraka?

Ya tuan-tuan, sesungguhnya kalau aku kurus itu takde la hensem sangat. Sumpah. Jadi, tak payah la brader-brader di luar sana risau sangat berkenaan persaingan, okay?

Jadi, seiring dengan matlamat aku, masa aku balik kampung kelmarin, aku makan 6 kali sehari macam kerajaan bagi makan kat budak-budak PLKN.



P/s : Aku ada satu pantun dua kerat berkenaan duit.

Duit takde duit takde,
Bila yang duit ada?

Jawab la kalau pandai.

Thursday, September 15, 2011

Pemuda, bas merah dan Cinta Astakonah

Sebuah bas warna merah berhenti betul-betul di hadapan pondok bas. Kelihatan seorang pemuda yang berambut panjang mengurai seperti iblis, bermuka bengis turun dari tangga bas tersebut. Beberapa orang bangla pertengahan umur yang sedang berborak di bangku pondok bas serta merta senyap seribu bahasa ibarat malaikat melintas bila pemuda itu menjeling ke arah mereka. Dengan baju putih takde lengan gambar pokok manggis, kaca mata hitam bulat, tangan bersalut gelang berduri, seluar jeans koyak lutut dan kasut koboi sambil menggalas beg lusuh warna cekelat-hitam, beliau melangkah bergaya di kaki lima sambil memegang sekeping kertas.

Pemuda itu ada misi. Sekeping kertas di tangannya adalah penentu segala cita-citanya selama ini. Beliau nekad berhijrah ke Kolumpo dari kampungnya di Kuala Selangor. Beliau tidak tahan dengan bebelan mak dan abahnya yang tak henti-henti mendesaknya mencari kerja. Paling tidak pun menolong abahnya di bendang. Itu pun beliau tak mahu. Bagi pemuda itu, jiwanya bukan dilahirkan untuk membuat kerja-kerja kampung. Beliau menganggap mak dan abahnya tidak faham jiwa mudanya yang rock kapak dan rebel. Pada usia 28 tahun dan hanya mempunyai sijil SRP, pemuda itu bertekad untuk membuktikan bahawa insan sepertinya boleh berdikari sendiri dan hidup di Kolumpo seperti orang lain.


"Kerja bendang mana rock!" terngiang-ngiang ayat terakhir yang diungkapkan pemuda itu saat meninggalkan keluarganya.

Namun, beliau sudah nekad. Mahu mengejar impian yang dibina sejak di bangku sekolah lagi. Mahu menjadi penyanyi rock.


***

"Ada bakat menyanyi terjerit-jerit? Ingin menjadi terkenal? Ingin menjadi ikon rock negara? Datanglah ke ujibakat penyanyi rock, slow rock, rock ballad, rock kapak, rock apak hang..."

UJIBAKAT PENYANYI ROCK MALAYA
Rock Sampai Kapan Sdn. Bhd.
Lorong D/2 , Lot 3007 Tingkat 1,
Wisma Datuk Indera, Jalan Ampang
50450 Kolumpo.


***


"Mungkin inilah tempatnya," kata pemuda itu di hadapan sebuah bangunan lusuh.


Kelihatan beberapa lagi pemuda sepertinya dalam dressing yang lebih kurang sama turut menuju ke bangunan tersebut. Pemuda tadi melangkah menaik tangga. Dari kaca matanya, nampak gaya saingannya hari ini memang mudah. Tak banyak pesaing yang berpotensi berdasarkan pengalamannya menghambakan diri kepada rock selama berbelas tahun. Rakan-rakannya di kampung pernah menggelarkan beliau sebagai Amy Search berdasarkan not tinggi semasa menyanyi yang hampir-hampir menyamai ikon rock negara itu. Salah satu kenangan manis beliau yang kekal menjadi ingatan, Suzila anak Pak Malik telah memberinya nombor telefon semasa beliau menyanyi lagu Cinta Astakonah di majlis kenduri kahwin. Bila telefon, keluar suara india.



"Encik nak ujibakat menyanyi?" kata akak kaunter pendaftaran.

"Yes..." jawab pemuda itu dalam Bahasa Inggeris. The one and only yang dia tahu selain perkataan 'no', 'fuck' dan 'touch n go'.


"Nama encik?"


Pemuda itu diam sebentar.


"Nama encik, please?" ulang akak kaunter pendaftaran sedikit tinggi.


"Kuntum," jawabnya berbisik.




Petang itu jugak pemuda itu pulang ke kampung halaman. Tak patut betul akak kaunter tu gelak sungguh-sungguh sampai terbit air mata.

Tuesday, September 13, 2011

Jarak

Sejak memakai cermin mata ni, selain rasa hensem sikit(sebelum ni hensem banyak), aku juga rasa aku dah mula tak dapat mengagak jarak dengan tepat. Adakah ini serius, tuan-tuan?

Pagi tadi aku sidai kain kat ampaian dalam keadaan tidak memakai cermin mata, tapi tersasar sebab aku ingat penyidai kain tu jauh.

Aku harap, aku masih boleh menganggar jarak dari Cyberjaya ke Tampin dengan baik. Tak perlu bawak kereta laju-laju. Okay? Saman speed trap ni sape nak bayar?


***


Kepada sayangku, kuatlah kamu.

Aku rindu.

Monday, September 12, 2011

Ruang kecilmu

Mimpinya mengalir dalam mimpimu
alihkan lalu diberhentikan
Mengah nafas tertutup di ruang kecilmu
jangan dilemaskan
Sehina mana kau pandang dirimu
kau tetap lebih tinggi di mata aku
Kerana kau disayang Tuhan, justeru kau terima ujian

Kuatlah kamu sayang
Aku ada di sini untuk kamu.

Sunday, September 11, 2011

Prihatin

Stesen tivi di Malaysia adalah antara yang paling prihatin di dunia.

Bila hari raya tiba, maka banyaklah siaran istimewa hari raya berupa cerita hantu dan seram sempena meraikan syaitan dan iblis yang baru bebas daripada dirantai. Paling tidak pun cerita hantu kelakar tertelan kabaid semasa mengacau anak muda main meriam buluh di pinggir kampung.

Thursday, September 8, 2011

Pagi seorang pekerja

Di salah satu lokasi parking kereta di sebuah bangunan di MMU Cyberjaya, kelihatan seorang pemuda berbadan tegap ala Van Damme melencongkan kenderaannya memasuki kotak parking yang muat-muat untuk sebuah kereta. Bagi pemuda itu, hal parking ini adalah hal yang cukup remeh. Tutup mata pun boleh. Namun tiada pula riak di situ.

Selesai menarik brek tangan, beliau menikmati saat terakhir lagu yang berdentam-dentum dari pemain CD JVC. Lagu bertajuk Tak Akan Ada Cinta Yang Lain dari band Dewa 19 itu dibuka volume kuat yang amat jarang dibuat oleh anak melayu sekarang. Sampai tertutup-tutup mata pemuda itu sama-sama sing along itu lagu. Mungkin itulah yang dinamakan menyanyi dari lubuk hati yang paling dalam.

Selesai lagu, beliau terus mengibas-ngibas kemeja merah jambu miliknya. Pagi itu, pemuda itu entah apa gila teringin sangat memakai kemeja merah jambu. Dipadankan dengan seluar slack kain sedap, memang betul-betul maskulin pemuda itu. Mungkin beliau ingin mendapatkan mood untuk bekerja barangkali, selepas cuti raya yang membosankan.

Selesai membetulkan cermin mata yang sedikit senget akibat head banging tadi, beliau mematikan enjin kereta dan mencapai sebuah diari kerja miliknya di kerusi penumpang hadapan. Beliau sempat menyelak diari itu bagi menampakkan gaya seorang pekerja kolar putih yang berjaya.

Pemuda itu berpuas hati. Lantas beliau membuka pintu keretanya dan keluar.



"Gampang!" kata pemuda itu sambil menoleh ke arah selipar jepun yang dipakainya.

Beliau bergegas pulang ke rumah.

Tuesday, September 6, 2011

Rindu

" Zikri (bukan nama tipu) rindu ayam masak hitam ibu..." - Salam Perantauan RTM. Kosmo.



Tak balik pun takpe lah nak, kau makan la kanggaru kat Australia tu sampai bengkak, nak. Leka kat makanan je, sampai lupa nak rindu ibu sendiri.

Monday, September 5, 2011

Boneka terindah

Seperti mendapat boneka terindah
waktu kau mengenaliku.
Kau buat ku buta dengan pesonamu
Tersesat ku kerana silammu.

Kau ajak ku melayang tinggi
Dan kau hempaskan ke bumi
Kau mainkan sesuka hati
Dan kau tertawa melihatku luka
Aku terperuk di kakimu.




Heh...

Sunday, August 28, 2011

Selamat

Selamat Hari Raya Aidilfitri yang ke-25!

Jumpa lagi 2 minggu.

Keh keh keh...

Friday, August 26, 2011

Nora

Sentiasa doakan Nora kuat semangat
Sentiasa doakan Nora cepat sihat
Sentiasa doakan Nora gembira ke akhir hayat
Sentiasa doakan Nora panjang umur dan rezeki yang hebat
Sentiasa doakan Nora dan aku kekal berjabat
Rinduku adalah semangat
Jangan sesekali kata putus asa itu penamat
Dalam hidup selagi tarik udara bersih Tuhan, selagi itu kita boleh senyum hebat
Aku cintakan kamu ketat-ketat.

Nora, aku sedang senyum padamu.
Ambil senyumku, lekat di tulang temulangmu,

Aku hanya berikan kamu tulisan
dan berkeping-keping cinta buatan tangan,
Ambillah sebanyak mana kamu mahu.
Percayalah, itu sangat rare, sayang...
Aku ukir,
khas untuk kamu.


Thursday, August 25, 2011

Pantun raya saya

Kring kring kring itu bunyinya blekberi,
Tekan angkat, say "Hello, sayang..."
Malam raya sibuk tekan kabaid buluh duri,
Raya kedua nurse suap bubur kat Hospital Klang.

Pung pang pung pang itu bunyinya mercun,
Duduk bersila depan speaker lagu rindu.
Ampun maaf raya habis mata basah lencun,
Tiga hari berlalu, tipu bini, tipu laki, tipu abah ibu.

Pin pin pin itu bunyinya proton saga,
Buat loan lima angka semata nak raya,
Lambat sikit drive pun dah tak apa,
Ops Sikap tak kenal kau ayahanda putra, anak tok ketua.

Trang tang tang itu bunyinya vespa,
Makan nasik lauk kuah megi,
Bila tak balik kampung, rindu oh mama, oh papa,
Dah balik kampung, tidur bawah kipas speed tinggi.

Dup dap dup dab itu bunyinya jantung,
Seat honda cub kibas tengah hari panas,
Buat kamu yang asik baca berkunjung,
Selamat Hari Raya Aidilfitri, aku ucap sedikit culas...

-en.sani-


Siapa dapat kad raya daripada aku, korang memang penipu...

Ha Ha Ha!


Wahai...

Bila bulan berubah colour,
mimpi ngeri seperti di atas kepala
bermain-main setiap masa,
tidur pun tak lena,
rasa nak hiris pangkal dada...

Wahai mimpi ngeri,
kalau kau terer, mari kita showdown!

Tuesday, August 23, 2011

Cerita marah saya

Satu perkara luar kawalan yang paling benci untuk aku handle ialah marah. Aku tak suka marah marah. Sebab kalau marah, aku akan hilang sebahagian daripada pertimbangan diri dan potensi menjadi manusia yang bebal dan jenis sepak pintu semasa marah adalah tinggi peratusannya. Malah, marah aku juga ambil masa yang lama untuk reda selagi tidak melibatkan makwe punya shoulder to lay on. Peh, ayat kau macam Maria Sharapova.

Semalam petang, bawak ke hari ini, aku sudah 'ter'marah satu kali. Marah jenis kiri kanan depan belakang punya masalah. Aku marah kepada diri sendiri. Ingin saja aku sepak perut sendiri, apakan daya kaki tak sampai.

Bila aku marah, nafas akan turun naik secara laju dan tidak teratur. Jantung berdegup kencang. Dahi mula berkerut. Muka jadi ketat. Mulut jadi bisu. Kalau bercakap pun not yang amat rendah. Mudah nampak kecik je semua orang yang lalu lalang. Kalau orang buat silap, memang carut meniti di pinggir bibir.





Kemarahan aku yang semalam terbawak-bawak ke hari ini. Nafas laju turun naik tak keruan. Kejap pantas, kejap slow.

Dah nafas turun naik tak keruan, entah mana la datang lalat buah dalam opis aku ni, terbang area hidung.

Tersedut.






Err...korek hidung tak sengaja dengan korek hidung terdesak satu situasi yang sama kan? Tak berdosa kan? Tak batal puasa kan?

Ingat sayang...

Ingat sayang, cinta adalah perkongsian hidup. Daripada mencari kesalahan, kenapa tidak memperbaiki saja keadaan? Percayalah kataku, kalau seratus kesalahan yang ingin kamu cari padaku tika kamu marah, bukan seratus yang akan kamu jumpa, tapi seribu.

Realitinya, banyak sebab untuk kita ketawa dan gembira, tetapi mengapa kamu pilih untuk menangis?

Percayalah kataku, kalau seratus kesalahan yang ingin kamu cari padaku tika kamu marah, bukan seratus yang akan kamu jumpa, tapi seribu. Mungkin sejuta.


***

Aku tidak diberi masa yang cukup di celah-celah sayap malam untuk membuktikan aku juga bawa sinar. Walaupun sinar itu hanya sekecil zarah.

Monday, August 22, 2011

Duit raya

Hari raya dah nak dekat. Gaji tak keluar lagi. Persetankan dengan shopping raya, aku tak 'into' sangat scene shopping raya ni. Orang pergi beli baju, aku masuk kedai buku beli novel. Bongok tak sudah. Untuk rekod, aku hanya beli sehelai seluar untuk raya ini. Baju melayu aku repeat pakai untuk 3 tahun berturut-turut. Aku dah suruh wan kecikkan sikit sebab aku dah kurus *baca dengan nada riak dan not tinggi*.

Tahun ini aku sengkek sikit. Duit raya untuk famili entah aku boleh support ke tak lagi macam tahun-tahun lepas.

Kepada anak-anak buah, sepupu sepapat aku yang kecik-kecik bersusun macam hamster tu, aku mintak maaf. Tahun ni bukan tahun untuk berseronok-seronok dengan duit. Aku bagi duit, korang beli Tora datang lagi la, beli aiskrim Malaysia la, beli kad kuasa Ben 10 la. Cuba lah bawak-bawak menabung. Buat penat tivi tu buat iklan memberi contoh menabung itu adalah amalan yang mulia dan boleh beli rumah banglo kalau dah dewasa kelak.

Jadi, tahun ni, kepada anak-anak buah, sepupu sepapat yang kecik-kecik tu, aku akan bagi sampul di bawah ni saja. Ingat senang ke nak dapat?


Ini sampul aku jumpa masa kemas almari kat kampung hari tu dan terus terfikir niat jahat disampingnya.


Ingat wahai adik-adikku, prosperity lebih penting dari wang ringgit. Ingat tu sampai tua. Kau orang pasti akan menyesal satu hari nanti kalau kau orang tak ambil nasihat aku ni dan simpan serta pateri di lubuk hati yang paling dalam.


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Dah buat silap, ayat kena madu. Kena ingat!

Friday, August 19, 2011

Sekeping cinta yang adil

Otak aku hanya fikir Nora.

Macam mana aku nak tulis blog ni?


***

Sedang membayar dengan harga yg tinggi utk sebuah cinta yg agung. Walaupun otak aku asyik fikir hal-hal positif untuk menyedapkan keadaan, tapi nampak gaya, kita akan buat sesuatu yang gila bila keadaan mendesak.

Kawan-kawan, tolong aku! Aku rasa, beberapa hari mendatang ni, aku akan buat kerja gila untuk sekeping cinta yang adil.

Tuesday, August 16, 2011

MMS

Aku dah agak dah dari mula, mesti benda ni jadi problem kalau dah ramai sangat terlibat. Nak-nak pompuan yang ada perangai MMS ni. Aku dengar pun hangin satu badan. Jenis tak boleh tengok orang senang.

Apa, korang ingat korang ramai beregu MMS, kitorang takut? Hey, ini Roy la. Hati kerassss!



Oh, ya. MMS tu ialah Mulut Macam Sial.

Monday, August 15, 2011

Memori sahur saya

Tahun 2001

Bangun sahur. Pukul 5.40 pagi. Dah terlambat. Aku jadi tak keruan. Sah wan tak kejut aku bangun. Atau dia kejut, tapi aku liat nak bangun. Dan macam-macam spekulasi lagi timbul akibat ketidakbangunan aku untuk bersahur. Mimpi bidadari berada pada ranking paling atas.

Dah lambat bangun, air semua tak sempat nak teguk. Nasik apatah lagi. Wan dan atuk sindir pedas dari dapur. Tapi aku buat muka steady. Masa umur baru nak 'up' masa tu, muka steady aku memang betul-betul punya steady.

Aku masuk bilik, dan karate bantal tanda protes.


Nyit nyit nyit nyit...

Perlahan-lahan aku menoleh ke arah bunyi itu.

Nyit nyit nyit nyit...

Bunyi itu datang dari arah akuarium.

Nyit nyit nyit nyit...


Sayup-sayup dalam samar cahaya lampu tidur aku lihat seekor ikan gapi sedang menjamah dedak warna merah dengan lahap. Kemudian ikan itu membuka mulutnya besar-besar dan menyedut air akuarium dengan muka kerek, seraya memandang ke arahku. Ada riak senyum di muka ikan yang diberi nama Shafiq itu.



Aku?

Aku perlahan-lahan menadah tangan dan berdoa memohon untuk menjadi ikan gapi.

Friday, August 12, 2011

Menumpangkan ustad

Petang Selasa hari tu, pukul 4.30 petang lebih sikit, aku dan En. Azhar turun dari opis untuk pulang ke rumah. Aku menumpangkan En.Azhar yang kebetulan satu perjalanan yang sama. Petang itu panas terik. Jenis kalau keluar opis, mata jadi kecik kecik menahan silau.

Aku memandu kereta di satu jalan yang lengang. Kemudian nampak seorang ustad muda yang berjalan kaki menuju surau. Jauh juga surau kalau nak diikutkan. Berlecak jugak celah kelangkang ustad tu kalau bawak berjalan dalam panas terik ni.

En.Azhar mencadangkan aku untuk menumpangkan ustad muda itu sekali memandangkan surau itu berhadapan dengan rumah En.Azhar. Aku setuju.


"Assalamualaikum, ustad. Mari la sekali saya tumpangkan ke surau," kata aku dengan not rendah dan menantu pilihan.

"Waalaikumsalam, eh, takpe la...saya boleh jalan kaki. Dekat je ni," balas ustad muda lembut.

"Panas ni ustad, mari la sekali, saya pun kebetulan lalu depan surau," ajak aku lagi sambil mem-follow kelajuan ustad muda berjalan.

"Baiklah, terima kasih, alhamdulillah..." jawab ustad muda lembut dan tersenyum. Aku menghulur salam.


Ustad muda membuka pintu belakang dan terus duduk. En. Azhar menghulur tangan ke ustad muda dan bersalam. Mereka kenal antara satu sama lain.




Tanpa warning dan sebarang petanda, tiba-tiba CD player kereta aku berbunyi;

"Baby, baby, baby uuuuu, like baby, baby, baby nooo, baby, baby, baby uuuuu, I thought you'd always be mine, mine.... " dengan volume tinggi.


Aku rasa sungguh loser masa tu.

Thursday, August 11, 2011

Maafkan dosa semalam

Katamu,
Biarkan saja aku di sini,
mengikut caraku,
apa yang ku mahu,
sebagai balasan silap lakumu,
semalam.

Kataku,
Tidak, aku di sini memerhati,
kisah dan caramu,
masih mendambakan nasihat manismu,
walaupun aku pernah salah dan melukaimu,
semalam.

***

Biarlah aku jadi wira yang tidak didendangkan.
Kerana hidup ini seperti cerita hindustan.
Banyak keajaiban, dan silap mata kebetulan,
Selagi tidak melibatkan dosa-dosa hitam.


Aku perlukan kamu, sayang.
Maafkan dosa semalam.
Sekurang-kurang, beri aku peluang.
Untuk create kisah cinta esok dan akan datang.



-en.sani-

Wednesday, August 10, 2011

Apa yang aku nak Hari Raya ini?

Hari raya ini aku cuma mahukan sebuah keluarga bahagia untuk bergelak ketawa. Di samping kekasih hati yang dicintai.

Persetankan dengan baju baru, kasut baru, sependa baru. Tak penting.

Boleh?

:)

Monday, August 8, 2011

Cinta bukan bersebab

Selalu orang bertanya kepada aku ;

"Kenapa kau cintakan dia eh?"

Aku terpaksa berikan jawapan klise, yang pada hati tidaklah aku setuju. Hanya secebis jawapan penyedap hati si penyoal. Kerana matanya macam jeli lah. Kerana rambutnya macam spageti lah contohnya. Itu contoh ye.

Jawapan sebenarnya ialah, aku tiada sebab untuk cinta yang hadir. Ia datang secara rohani dan automatis. Yang tidak boleh diungkap dengan kata, ditulis dengan tinta.

Jangan jadikan cinta itu bersebab. Cinta suci tidak pernah mempunyai sebab. Cinta suci tidak akan bersebab. Cinta suci tidak boleh bersebab. Kerana jika cinta itu bersebab, kesucian cinta itu boleh dipertikaikan oleh apa sahaja.

***

"Aku cintakan kau kerana kau cantik, dan bibirmu seperti embun di kelopak mawar, sejuk, merah dan suci..."

"Andai kata satu hari nanti, aku kemalangan, dan aku kehilangan mukaku, kehilangan bibirku, maka tiadalah sebab lagi untuk kau mencintai aku?"


Jika cinta itu bersebab, ia akan lemah dan tiada imunisasi. Biarkan ia datang sendiri, dan ia takkan hilang. Selagi kamu pelihara kesuciannya.


Selamat pagi Bangladesh

Sahur. 5 pagi tadi.

Treett...(sms masuk)

Dari adik pompuan.


"Along, pencil box orang ada dalam kereta kau eh?"


Kau ingat kereta aku kabinet?


***


Pagi tadi check dalam kereta. Ada pencil box pink polka dot.

Aku smackdown tiang letrik.

Friday, August 5, 2011

Ambil

Dia : Abg dah bagi hati abg kat Nia. Tapi, ada lagi yang Nia ambil dari abg...abg sedar tak?

Aku : Erm, Nia ambil apa lagi?

Dia : Nia ambil tulang rusuk sebelah kiri abg...hihihi...


***

Masa aku dicuri lagi
demi mencuri hati, seorang puteri.
Buat pengubat hati
juga pelengkap rusuk kiri.


*petikan Zahiril Adzim.

Thursday, August 4, 2011

Apa ada di kampung? - Part 2

Lupakan lukisan aku yang macam budak darjah 3 tu, aku terjumpa kotak Converse ni di sudut hati almari baju yang paling dalam. Nak tahu apa ada dalam ini kotak? Aku pun dah lupa. Perasaan dia masa ni macam nak buka hadiah krismas okay. Wajah berseri-seri lepas tu jantung ada sound effect gendang cina.

Bismillah...


Tadaaaa.... ohh...thank you Santa!

Okay, untuk pengetahuan, ada sebahagian permainan ini aku dah kumpul lebih 15 tahun okay! Memang memori. *Achummmm!!!* Bersin habuk.


Dan inilah dia wajah kesayangan hamba. You make me sick, Woody! Hoh, terus bercakap omputeh.

Tiba-tiba teringin nak gantung si Woody ni dalam kereta. Boleh sayang? Tak jeles kan?
*Achuuummm!*


***


Okay, lupakan kejap memori kat bilik aku, kita pergi dapur jap. Orang tua-tua cakap, kalau badan masuk habuk banyak sangat, elok la pergi makan. *Alasan*


Untuk pengetahuan, teh hirameki tu aku buat sendiri tanpa bantuan wan okay! Kagum tak? Tak kagum takpe, sebab bukan susah pun. Iye, tak payah la pandang sinis kat aku. Aku tahu la aku tak reti! Tapi teh tu aku buat penuh kasih sayang yang korang sendiri tak mungkin dapat curahkan ke teh yang korang buat. Kan? Hoh. Falsafah.



Okay, ini rare. Pernah korang makan lemang salut coklat? Siti Nurhaliza pun tak pernah i tell you!

Lepas tu, pergi kat depan rumah, makan berkiblatkan Gunung Tampin. Memang heaven. Nampak tak pokok kaktus besar tu? Nampak tak? Kaktus tu dah ada sejak aku sekolah lagi tak silap masa form 1. Tiap-tiap pagi, bunga kaktus tu kembang dan akan kuncup balik bila matahari naik. Heaven kan?

Minggu lepas, aku bangun pagi-pagi, rembat aiskrim adik aku sekotak besar, dan aku makan sampai habis kat sini sambil tengok bunga kaktus berkembang. Orang cakap, makan aiskrim boleh hilangkan tension. Dan seeloknya pagi-pagi, manjakan mata kita melihat tumbuh-tumbuhan hijau. Baru la boleh sihat dan kuat macam Hulk.




Okay, sekarang apa kata kita....


BERSAMBUNG...

Wednesday, August 3, 2011

Apa ada di kampung? - Part 1

Masa balik kampung hari tu, tiba-tiba aku teringin nak jenguk bilik tidur aku yang kedudukannya agak berasingan dan aneh dari bilik tidur lain di situ. Bilik aku telah diubahsuai dari sebuah stor tingkat atas atau lebih dikenali sebagai peran, kepada bilik tidur yang solid dan agak steady. Ada satu masa, aku setting ala-ala Ikea dengan memuatkan perabot ganjil iaitu sebuah pasu bunga warna pelangi sebanyak satu unit sebagai penaik semangat.

Sejak aku berhijrah ke Kolumpo, bilik ini tidak pernah digunakan oleh sesiapa kecuali untuk menyimpan barang-barang peribadi aku dan adik lelaki aku.

Lagi satu, bilik ni dah banyak habuk. Tak berjaga sejak aku meninggalkannya. Kalau antibodi tak kuat, seeloknya jangan la nak memandai-mandai naik. Pernah seorang sepupu aku meracau tengah malam hanya sebab alah dengan habuk. Besok pagi pergi klinik doktor bagi ubat kumur. Bodoh.

***

First sekali aku geledah ialah kotak isi barang-barang dan lukisan lama aku. Sayang sungguh semua lukisan yang berusia hampir 10 tahun ni ada yang dah dicemari air hujan.










Ini apa benda aku nak cerita ni? Takde modal langsung.


BERSAMBUNG...

Untitled

Dalam perit-perit hidup itu, takkan sekali pun tiada kau rasa bersalah dan ingin dimaafkan?


***

Tak salah rasanya minta maaf berkali-kali.

Sekurang-kurangnya kita sedar, yang kita tidak selalunya betul, kan?

Monday, August 1, 2011

Kek coklat untuk Ramadhan saya

Selamat menyambut Ramadhan semua!


Pagi tadi sahur pertama. Aku tiada apa-apa untuk bersahur kecuali setengah kilo kek coklat buatan adik perempuan aku masa kat kampung semalam. Kau orang pernah tak sahur makan kek coklat? Ye, tuan-tuan, makan kek coklat masa sahur ni hanya orang Sweden je boleh buat.

***

Aku tengah merayau-rayau kat pekan Tampin. Nak cari lemang dengan daging nak buat rendang. Tiba-tiba henpon berbunyi lagu Nazam Lebaran minta diangkat.

"Along, tolong beli tepung gandum sekilo. Lepas tu tolong beli serbuk koko Van Houten satu tin. Nak buat kek coklat!" kata adik perempuan aku di hujung talian.

Aku masuk pasaraya Giant. Cari tepung gandum satu peket. Lepas tu cari serbuk koko Van Basten ke ape entah nama dia tadi. Van der Sar bukan. Van der Meyde pun bukan. Roy Azman lagi la bukan.

Akhirnya, dapat cari. Tapi ada masalah. Satu tin kecik serbuk koko tu mahal ya amat. Mana cukup duit. Duit bawak cukup-cukup, yang lain CIMB pegang. Apasal mahal sangat koko? Koko tu patut kerajaan wartakan sebagai barang kawalan. Macam petrol. Baru lah peminat-peminat coklat macam aku jadi produktif dan berdaya saing.

Aku belek-belek lagi rak serbuk koko tu, ada lagi pilihan koko lain yang lebih murah. Ya, lebih murah dan nampak tak berdosa kalau beli.



***

Serbuk Koko Cap Kijang.

Adik aku punya mengamuk....pehh...toksah cakap la.

Aku pulak macam biasa, suruh dia bersabar sebab esok pagi nak puasa. Kena redho.


Thursday, July 28, 2011

Pengalaman saya menonton bola bersama Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Aku tak dapat tiket bola free. Jadi, aku tengok bola perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia, Malaysia vs Singapura di depan tivi dekat bilik aku je.

Housemate aku tengah masak entah apa kat dapur. Masak bau macam kari pun ada. Bau masala pun ada. Kadang-kadang bau musang pun ada. Aku tengok tivi dalam bilik. Tivi aku bukak volume sedap sedap stadium. Jenis Haji Hasbullah Awang berborak sampai ke koridor tingkat empat boleh dengar.

Housemate jenguk dari pintu bilik. "Bola ka?"

Aku angguk.

Dia bawak nasik sepinggan, terus duduk atas katil aku. Itu kalau malam karang, bersemut aku punya tilam, memang aku mengamuk.

"Ini Malaysia lawan apa? Malayan Harimau ka?" kata dia.

Aku malas jawab. Tapi dalam hati, "Malayan Harimau acik kau!"

"Ini cup apa dia main?" dia tanya lagi.

"Kelayakan World Cup," aku jawab slow.

"Owh...tak cantik la dia main..." dia menambah. Nasik lauk kacang panjang dengan tomato dia suap semaksimum yang boleh.

Aku diam.

"Dia main dekat mana? Rumput cantik. Rumput tiruan ka?" dia lagi.

Aku diam. Hati tengah panas. Sebab defend Malaysia main macam gampang.

"Ini player Singapore ka? Kenapa ramai mat saleh? Boleh ka itu macam?" dia tanya lagi. Sambil tu nasik dia suap jugak. Mulut penuh pun dia cakap. Jenis takde adab.

Aku diam je.

"Ini kalau dia main macam ni sampai second half ha, mesti kalah la Malaysia..." dia cakap sambil suap nasik entah kali ke berapa.

Aku serius tengah diam. Nak mencarut karang, dah pangkat bapak-bapak.

"Dulu aku masa muda, main untuk Telok Intan tau. Masa tu 70-an. Dulu takda macam ni. Lari kejap dah pancit..." dia sambung. Krup krap krup krap bunyi kacang dia kunyah.

"Tengok tu, sikit-sikit jatuh...tak makan nasik ka, dey?" dia menyambung sambil mata dalam formasi tivi-pinggan-tivi-pinggan-tivi.

Aku diam. Buat-buat capai bantal untuk peluk(atau niat sebenar nak gigit bantal lepas geram).

Defend Malaysia sekali lagi buat hal.

"Weiii...mana lu passing bo.........."

Tiba-tiba dia senyap. Aku menoleh ke arahnya.


"KUNGGG...KUNGGG...KUNGGG...KUNGGG!!!"


Dia tersedak nasik. Padu punya tersedak. Menggelupur dia lari ke dapur cari air. Pung pang pung pang bunyi dekat dapur buka peti sejuk.


Aku senyum puas. Betul-betul punya senyum.



***

Okay. Malaysia kalah dengan Singapura. Takde hal la. Aku tetap di hatimu Harimau Malaya! Tapi kan, kenapa Nicol David tak main tadi eh, Uncle Raja?

Wednesday, July 27, 2011

Siapa peduli?

Ingatkah kamu sepanjang malam itu kita menangis?
Dan semua impian kita yang sudah begitu hampir seolah-olah semuanya sia-sia...
Dan muncul satu lagi sang peri,
mencampak sekotak harapan.
Tertulis atasnya,
"Make a wish, or you'll trapped in your own dreams..."



Maafkan aku sayang. Aku tiada di sisimu.

Aku hanya ingin melihat matamu. Dan bibirmu. Dan pipimu. Dan hidungmu. Dan dahimu. Dan keningmu. Ya, aku demand lebih. Namun, siapa peduli?

Siapa peduli?

Aku ulangi, siapa peduli?

Tuesday, July 26, 2011

Ketam

Ada satu famili ketam. Ketam spesies ketam nipah. Ada abah ketam. Ada anak ketam. Ada mak ketam. Tapi mak ketam hanyalah pelakon extra dalam cerita ini. Tak payah sentuh sangat mak ketam ni. Dia busy memasak barangkali.

Okay, kita cerita pasal abah ketam dan anak ketam.

Abah ketam cuba mengajar anaknya berjalan. Anak yang masih tidak nampak masa depan. Kerana belum matang untuk melangkah. Abah ketam itu mahu mengajar anaknya berjalan lurus.

Tiap kali abahnya ajar berjalan, anak ketam itu merungut kerana abah ketam itu pun tidak berjalan lurus seperti dalam tivi. Atau lebih tepat, jalan macam Anuar Zain. Oleh kerana mewarisi darah abahnya yang bermulut macam perempuan, anak ketam itu pun membuat abahnya sakit hati dengan memberi statement sinis terhadap cara berjalan abah ketam yang senget-benget.

"Jalan macam ketam bunga la abah ni! Kaki tak berbedung ke masa kecik?"

Abah ketam itu terasa tercabar dan bersikap panas baran. Lalu abah ketam itu membuat muka bengis dan karate pokok bakau.

Persoalannya sekarang, mengapa perlu abah ketam itu bersikap bengis dan panas baran? Tak bolehkah bersabar sikit? Bukan ke sabar itu separuh daripada iman? Nak masuk bulan puasa dah pun kan?


***

Okay, balik kampung nanti, aku nak suruh wan aku masak gulai ketam. Tus air liur i tell you...


Krupp...krupp...krupp...(bunyi kunyah kulit ketam)