Thursday, December 24, 2009

Aku, motor dan khidmat masyarakat.

Masa naik motor dalam hujan semalam, aku ternampak seorang budak bebal naik motor potong melepasi aku. Depan tu selekoh maut menuju ke studio tempat berlakon budak-budak MMU. Aku dah agak dah dia takkan lepas dengan kelajuan menaikkan adrenalin tu. Jalan basah, insyallah lah dia cium dinding studio.

Sangkaan aku meleset. Dia tergelincir dan jatuh seperti Norick Abe tanpa mencium dinding langsung. Sungguh bergaya. Tapi, tengah belakang dia singgah di bucu pintu shutter yang orang dok punggah barang audio. Aku masih ingat saat dia terjatuh tu, hanya bunyi lagu Jamal Abdillah. Sebab aku suka naik motor sambil dengar mp3. Aku berazam dapat buang tabiat buruk dengar-mp3-sambil-naik-motor sempena maal hijrah itu hari. Tapi tak berjaya. Harap dapat juga ubah tabiat tu tahun baru 2010. Tapi, bila terkenang tabiat gigit pensel yang aku azam nak tinggalkan sejak darjah 2 tidak berjaya, aku diamkan dulu. Hold sampai tahun depan.

Kembali kepada cerita mamat tu jatuh, selamba je aku jerit. Ada 2 orang awek tengah nak masuk kereta. Awek tu pun terkejut sebab aku jerit dengan kuat, "Wooo...that's great man!!"

Sejahat-jahat mulut aku, ada jugak sifat terpuji yang harus dicontohi. Aku berhentikan motor, dan menahan kawan aku yang kebetulan lalu di tempat kejadian. Aku tengok mamat tu muka agak jambu. Mata ala-ala Ethan Hawke, kulit putih macam serani yang baca berita TV3. Cuma hidung besar macam Abu Bakar Atan. Walaupun muka jambu, tapi tak kena dengan cara dia bawak motor. Aku nak je tumbuk sedas dua sebelum fikiran dia kembali waras. Tapi, aku fikir balik, tak guna aku baca doa makan tiap kali nak makan kalau aku buat perkara keji tersebut.

Aku tengok takde la kecederaan fizikal yang serius terjadi kat mamat tu seperti patah kaki, retak tulang leher, pecah perut atau kuku terkopak. Cuma calar di siku dan sedikit kecederaan pada Levi's yang dia pakai. Levi's Golok. Tak perlu bangga, kecuali kepala kain. Kau buang seluar tu pun Santa Claus tak teragak-agak bagi kau 2 helai lagi dalam kantung stokin hadiah sempena Krismas.

Nasib baik mamat ni cool. Calar siku pun takde la menjerit panggil emak macam sorang mamat town mana entah masa aku kat kampung dulu. Jari sibuk main insang ikan kat Pasar Tampin, pastu tersekat kat insang ikan jenahak, terus menjerit panggil mak dia dekat sebelah. Aku rasa budak tu mesti mengigau malam lepas tu.

Kembali kepada mamat yang jatuh motor tadi, aku mintak dia ID student. Dia tunjuk. Budak engineering rupanya. Nama ada macam bunyi Shaw-Shaw something. Entah apa budak melayu nama Shaw pun aku tak tau la. Macam khurafat je bunyinya.

Kawan aku tolong angkat budak tu tepi tembok. Dia cakap takpe. Dia okay. Tapi aku tengok kaki dah tempang. Kelakar pun ada. Teringat masa kecik-kecik aku main lumba lari kat atas jalan tar depan rumah. Jalan tar dulu-dulu tau-tau je lah. Bukan pakai batu kerikir yang kecik-kecik tu. Diorang pakai batu yang baling anjing tu. Masa lumba lari, tumit aku pernah sekali terpijak batu jalan yang besar tu. Tempang. Lepas tu lebam. Seminggu jugak tak boleh tahiyyat akhir.

Aku tengok mamat tu macam okay je, aku terus bagi nasihat. Bawak motor tu slow-slow la. Aku tambah-tambah ayat supaya dia insaf. Aku cakap, aku bawak motor sejak darjah 4 pun takde lah kemaruk layan lap macam Norazlan Iskandar masa hujan. Hujan kan rahmat. Bukan untuk layan lap. Panjang lebar jugak aku bagi ayat makan dalam kat mamat tu. Time tu aku dah rasa dahi aku macam ada tanda hitam, macam ustaz.

Sudah tu, mamat tu minta diri balik. Dia mintak maaf. Motor Kriss dia pecah mud-guard. Dah la motor color hijau tua. Pastu tampal sticker 1Malaysia betul-betul atas sticker 'Tengok boleh, pinjam sorry'. Takde taste langsung.

Aku pun pulang ke rumah dengan penuh keinsafan.


Pergi kerja hari ni, aku selamba layan lap dekat pintu masuk MMU.

3 comments:

karibu yang single said...

hahahah....entri paling terbaekkk!!!

Anonymous said...

sani macam ustaz dowh....khakhakahaha...

en.sani said...

bila aku bangun tido, aku rasa seperti cahaya iman yang kuat memancar di mukaku... rupa-rupanya itu adalah cahaya matahari dari tingkap. aku bangun tido pukul 12 tengahari...