Thursday, April 1, 2010

Bekal

Kriiiinnngg....!!!

Bunyi loceng menandakan waktu rehat mengambil masa menggantikan sesi pembelajaran. Aku tidak seperti rakan-rakan sedarjah yang lain. Masing-masing ceria. Nasik lemak dah terbayang dalam kepala otak. Air sirap memang buat hati tak senang. Aku raba kocek. Habuk kertas saja tinggal, bersama beberapa butir pasir. Pagi sebelum masuk kelas, kalau tak main pasir memang tak sah.

Apa sial hari ini aku lupa ambil duit belanja dari wan. Nak tahan pedih perut sampai balik sekolah pukul 12.30 nanti memang azab la jawapannya. Aku pulak, baru darjah 2. Tak bagus budak umur 8 tahun terdedah benda-benda macam ni. Silap-silap boleh pengsan kalau tersadung dengan tali rapia kalau tak dapat makan tengahari.

Duit belanja aku masa tu cuma 35 sen. Cukup banyak aku rasa. 25 sen beli nasik lemak sepinggan. 5 sen lagi air sirap gelas kecik. Kalau gelas besar 10 sen. Ada balance 5 sen lagi, boleh beli kuih karipap sebijik. Masa tu, aku memang tak into sangat bab menabung ni. Tabung replika menara Tabung Haji dekat rumah tu buat dengar lagu je kalau masuk duit. Aku kreatif. Nak dengar lagu dekat tabung tu, jolok je pakai lidi penyapu. Tak payah sibuk-sibuk menabung, dah boleh dengar lagu. Lagu macam haram pun nak dengar. Macam celaka. Ah. Kecik lagi. Tak tahu apa-apa. Lagipun, masa tu, kumpulan kegemaran aku adalah kumpulan Feminin.

Kawan-kawan yang lain kucar-kacir nak keluar kelas. Macam lah kantin tu pakai punch card. Aku sayu. Cis. Lapar aku hari ini. Macam mana nak main teng teng masa sebelum masuk kelas nanti. Sebu lah perut. Nasik lemak punya aroma dah cucuk-cucuk rongga hidung aku. Dugaan itu memang hebat. Sama hebat dengan bulan ramadhan punya dugaan. Dah lah pagi tadi tak minum apa-apa masa pergi sekolah. Siapa nak minum susu pagi-pagi? Dah gila? Kuatkan tulang kepala jimbit dia. Nak muntah okay!

Habis kucar-kacir kawan-kawan keluar kelas, ada dua tiga kerat yang tinggal. Mereka bawa bekal masing-masing. Cis. Masing-masing dengan bangga bawa keluar tupperware macam-macam warna. Ada yang tupperware gambar Gaban. Memang bikin hati panas. Azhar, kawan aku yang anak polis, Sallehin, anak polis jugak, dan Aboi, anak orang. Masing-masing tak sabar-sabar nak buka bekal.

Aku pandang dari dua tiga meter. Peh. Ada nasik lemak sambal ikan bilis. Ada yang nasik goreng telur mata kerbau dah naik berpeluh. Ada nasik putih dengan telur masak kicap dengan bawang lebih. Aku tengok, Aboi awal-awal dah ketepikan bawang masuk plastik sampah. Macam mana badan nak naik macam Malek Noor. Bawang tak makan. Lepas tu, heboh dekat mak, dia tak tinggi-tinggi. Vitamin kurang la tu Aboi. Itu pun aku nak ajar ke?

Aku tengok dengan ekor mata saja. Mereka bertukar-tukar juadah, macam hidup berjiran di bulan puasa lagaknya. Masing-masing memuji masakan emak masing-masing. Aku cukup cemburu. Mak aku mana ada masa nak masak-masak ni. Dia kerja kilang masa tu. Wan aku saja selalu masak.

Tiba-tiba, baru Azhar perasan aku duduk sorang-sorang. Cis. Baru nak perasan ke?

" Eh, Sani, ekau tak makan ko? " Azhar dengan loghat minang bertanya kepada aku.

" Ontah eh. Kitorang ado bawak bokal ni, ekau tak bawak bokal ko? " Aboi menambah.

Aku diam. Senyum nipis.

" Eh, sonyum lak deh. Kau ado bawak bokal tak? " Aboi bertanya lagi.

" Ado, bawak. " Aku jawab ringkas.

" Bokal apo kau bawak, meh la keluarkan, makan sekali..." Aboi mempelawa.



Aku balas dengan tenang,

" Bokalan ilmu di dado..."

2 comments:

karibu said...

lu pnya cerita mmg klasik beb...

hahaha...ini apahal lu minat feminin ni bro!!!wakakakakakkaka!!!

-en.sani- said...

hahaha....lu ingat gua xtau lu masa dulu minat 911 ngan n'sync?hahaha...