Wednesday, December 21, 2011

Kucing

Minggu lepas masa dekat kampung, sepupu aku, Amir, yang kecik darjah 1 sorang ni tiba-tiba tanya aku.

"Along Ayush, nak teka-teki tak?" soalnya time aku tengah tengok tv cerita binatang.

"Erm, apa dia?"

"Kalau Along terer, kucing apa yang warna warni?"

"Erm? Warna warni? Puss in Boots?"

"Salah..."

"Kucing parsi, kucing siam, kucing Syafiq(kat kampung aku ada sekor kucing nama Syafiq)?"

"Salah..." katanya selamba sambil makan coklat.

"Oggy and the cochroaches?"

"Hihihihi...salah..."

"Abis apa?"

"Jawapannya ialah...."











"Kucing pakai baju pelangi..." jawabnya sambil suap coklat dalam mulut.


"Kelakar la kau ni...kecik-kecik dah kelakar..." kata aku sambil genggam buku lima dengan padu.

Monday, December 19, 2011

Pengalaman saya kelepet sedozen polis - 3

Belum sempat aku jawab, polis sarjan merujuk hal tersebut ke sorang lagi polis pakai uniform lengkap yang betul punya pangkat 2 paku atas bahu. Setelah berbincang beberapa ketika, polis 2 paku datang ke aku.

"Kenapa tak renew roadtax? Lama dah mati ni..." tanya polis 2 paku sedikit lembut.

"Sebenarnya, saya ada masalah nak renew roadtax tu..." jawab aku gagap.

"Masalah apa?"

"Err...saya dah renew lama dah, tapi kedai motor yang tempat saya renew tu dia dah tahan roadtax saya sebab tak bayar hutang...duit tak cukup," kata aku slow dengan muka dramatik.

"Student ke?"tanya polis 2 paku.

"Ye, student kat Kolej *tuuuuttt*. Motor ni je lah yang harap saya pergi study hari-hari," jawab aku buat muka ekstra kesian.

"Bahaya bawak motor takde roadtax ni," kata polis 2 paku macam bapak-bapak.

Aku ejas muka jadi muka kucing.

"Saya tahu. Dalam masa yang sama, saya kena kerja sebab saya tanggung diri sendiri belajar...bapak saya takde," kata aku sambil ingat babak-babak menipu dalam cerekarama.

Polis yang lain tadi turut berkumpul macam takde kerja lain nak buat. 1, 2, 3, 4, 5...12 orang kesemuanya. Semua nak dengar aku punya cerita india.

Member muka myanmar berdiri senyap-senyap belakang aku. Rapat betul dia berdiri. Mulut dah la bau bangang.


BERSAMBUNG...

Friday, December 16, 2011

Gula-gula

Minggu lepas, sorang member pompuan tengah berborak dengan bos, dan melihat bos aku makan gula-gula. Lalu dia pun teringin satu gula-gula jugak dari bos aku. Bos aku suruh ambil gula-gula kat aku.



"Sani, do you have sweets? Can I get one?" kata member pompuan.

"Yup, ada... Kiss me..." jawab aku.

"Wuuu~" katanya.







Aku bagi gula-gula Kiss Me perisa ceri.

Gedik.

Thursday, December 15, 2011

Rebecca (kadang-kadang meluat pulak letak nama kereta Rebecca)

Kereta aku(Rebecca) ada masalah pintu dekat sebelah penumpang hadapan sejak aku tinggalkan Rebecca kat mak aku masa pergi Langkawi hari tu. Kena buka pintu dari luar. Kalau daripada dalam tak boleh buka. Aku saja tak pergi betul. Bukan apa, malas nak pergi singgah pomen, aku pantang pergi kedai kereta. Mesti nafsu membuak-buak nak tukar barang yang takde kena mengena. Membazir tahu tak? Baik salurkan duit tu kepada hal-hal yang berfaedah seperti membeli mekdi dan helikopter.

Keril Samad naik kereta aku hari tu. Sampai lokasi, dia buka pintu tak boleh.


"Apasal pintu ko ni? Tak boleh bukak..."

"Ko bukak tingkap dulu, pastu bukak pintu tu daripada luar..."

"Aik, macam tu plak?"

"Biasa la, tak bagi makwe lari..."

"Peh, power...power..."


***

Tempat duduk Rebecca dah tukar kepada seat yang lebih best. Yang mana seat belakangnya hanya untuk kuota 2 orang penumpang sahaja. Penumpang ketiga di belakang kalau nak duduk boleh jugak, tapi terpaksa bertindak lucah di tengah-tengah seat yang berbonggol.

Kat opis. Masa nak pergi makan tengahari bersama 2 orang member.


"Aik, tempat duduk belakang ko memang 2 orang je ke boleh duduk?"

"Ha'ah...biasa la...itu kita namakan sebagai perancangan keluarga..."

"Hahaha...bongok!"

Tuesday, December 13, 2011

Ong-Bak Rindu

"Sayang, jom tengok wayang, Ombak Rindu..."

"Jom. Nak sangat. Tapi, abang tahu tak, novel Ombak Rindu lagi best daripada filem?"


"Dalam novel takde Maya Karin..." dalam hati je la.


***


Last aku tengok wayang dah lebih 4 bulan lepas kot(gila tak campur masyarakat sungguh...busy tau). Cerita Larry Crowne aku tengok sorang-sorang. Kalau diberi pilihan untuk tengok wayang cerita-cerita lama dengan Cik Nora, aku nak tengok filem Inception, A Beautiful Mind, Forrest Gump, The Reader, Life Is Beautiful dan Saving Private Ryan dengan dia. Hee...

Nak sayang?

Sos

Sos BBQ Domino's Pizza rasa sungguh india.

Tobat tak nak makan lagi aih...

Saturday, December 10, 2011

Ranggi minum petang

Satu petang yang redup dan angin tak berapa nak meniup, aku bertiga bersama kawan-kawan pergi minum dekat satu kedai mamak area Cyberjaya.


"Minum apa?" kata brader mamak.

"Nescafe tarik..." jawab member pertama.

"Ermmm...Milo panas..." jawab member kedua.


"Abang minum apa?" tanya mamak ke aku sebab aku senyap.


"Aaaaaaaa..." aku.


Mamak angkat kening tunggu aku. Ambik order pun muka nak serius. Biasa biasa sudah la.



"Aaaaa....aab, aab laut chalennnn....woooo....aab, aab laut chalennn...." jawab aku.



Bebulu je beliau.



Hey! Customers is always right, tahu?


***




Toksah nak hipokrit sangat cakap korang tak tahu ini lagu apa. Best okay lagu ni. Kahkahkah!

Monday, December 5, 2011

Pengalaman saya kelepet sedozen polis - 2

Aku panik. Berderau darah tu jangan cakap la. Dalam kepala otak aku dah fikir tolak motor ke balai lepas tu kena tidur lokap. Lepas tu satu hal lagi, aku menumpangkan kawan aku yang muka dia memang myanmar habis. Walaupun dia bukan myanmar, tapi dia adalah warga Malaysia jugak. Cuma dia ni asal Sarawak. Bangsa Kelabit. Muka takde melayu punya. Rupa paras nak gangster. Dia pernah cerita yang dulu masa dekat Miri, dia ada join satu kongsi gelap. Aku risau mana la tahu kawan aku ni bawak senjata seperti kerambit ke, revolver ke, pisau rambo ke dalam poket kang, naya je kena soal siasat dalam bilik gelap.

"Berhenti, berhenti! Mana nak pergi tu? Stop!" sound seorang prebet dengan keras dan sombong setelah melihat aku macam nak buat U-turn.

Aku jadi kaget. Lalu aku stopkan motor aku setelah tiba-tiba beberapa lagi anggota polis datang mengelilingi motor aku. Di pinggang setiap daripada mereka ada tersisip sepucuk pistol. Adalah tidak molek kalau aku melawan dengan tangan kosong.


"Tunjuk lesen, IC, dengan roadtax..." kata polis prebet tadi dengan muka berlagak baru keluar akademi. Tengah semangat nak cari saman.

Aku senyum payau. Keluarkan lesen dengan IC tangan menggigil.

Polis prebet check. Dia angguk. Semua okay.

"Roadtax mana?" tanya polis prebet lagi.

Slow je aku buka seat motor tempat letak roadtax.



"Ermm...bulan bila mati ni? Nak 3 bulan dah mati ni??" polis prebet tiba-tiba melenting.

Yang kawan-kawan polis prebet yang lain berkerumun kat motor aku. Yang sorang tu check IC member aku yang muka myanmar tu. Budak muka myanmar tersengih-sengih macam la gigi dia indah sangat.

Aku dah panik.

"Bos, budak ni ada masalah..." kata polis prebet ke seorang polis lagi pakai preman tapi nampak gaya macam pangkat sarjan.

Polis sarjan check. Kening berkerut. Ejas spek mata.

"Ni apahal roadtax tak renew ni?" kata polis sarjan.

"Err...sebenarnya, saya...saya..."

"Saya apa?!"


Tangan dia buat-buat pegang pistol.



BERSAMBUNG...

Thursday, December 1, 2011

Siput

Dia : Abang makan apa tadi?

Aku : Makan siput sedut, sayang...

Dia : Apa tu? Nia tak tahu...

Aku : Errmm...apa eh. In english abang tak tau la nama betul dia, sayang...nanti abang cari eh?


Takkan la aku nak cakap siput sedut tu in english, 'suck snail'? Merepek sungguh. Kan?

Pengalaman saya kelepet sedozen polis - 1

Lebih kurang tahun 2006 dulu, masa aku masih bermastautin di Melaka, aku ni boleh dikatakan seorang remaja yang rebel dan kaki naik motor, berpeleseran tak ingat maghrib dengan rakan-rakan lain. Masa itu, semuanya indah. Tiada rasa bertanggungjawab sangat. Tiada ingat nak buat duit sendiri. Belanja duit PTPTN pergi beli kasut. Tiada komitmen dengan makwe. Ibarat dunia itu tak kejam sangat di kemudian hari.

Masa itu aku ada sebijik motor power iaitu sejenis Yamaha SS 110 kuasa kuda, jenis kalau bawak wheelie sebijik macam Norick Abe. Yamaha SS ni memang power. Kalau dekat Kota Laksamana dan Jalan Ong Kim Wee nyonya-nyonya ramai yang naik darah bila motor ni lalu. Jenis motor makan sumpah. Sebab tu motor tu sekarang status dia ialah tidak dapat diketahui. Mungkin dosa-dosa silam yang menghantui.

Dipendekkan cerita, ada satu masa ni roadtax motor aku dah tamat tempoh nak 3 bulan dah. Tak boleh nak renew sebab ada masalah teknikal. Nak tak nak aku tawakal je bawak ke hulu ke hilir tanpa rasa berdosa.

Satu hari, aku bersama beberapa lagi rakan-rakan lain ke rumah mak angkat aku di area-area Selandar sana. Bersama sorang sebijik motor, dan yang takde motor buat muka tak malu mintak tumpang. Rasa nak siku je.

Balik dari Selandar, kami berkonvoi melalui jalan utama Ayer Keroh. Sampai satu selekoh betul-betul depan Mini Malaysia, tiba-tiba ada roadblock oleh sekumpulan polis. Ini operasi jalanraya yang betul-betul punya operasi jalanraya. Takde main-main punya roadblok macam dalam drama Yusof Haslam tu.

"Astaghfirullah..."



BERSAMBUNG...

Thursday, November 24, 2011

From Soraya With Love

Aku rindu kat Soraya. Seriesli rindu. Berbulan jugak aku mogok naik motor sejak Soraya dekat kampung.


Takpe sayang. Nanti aku bawak kau turun Cyberjaya balik ye.

Nak jual ke tak nak?

Nak jual ke tak nak?

Nak jual ke tak nak?

Nak jual ke tak nak?


First time aku rasa sangat dilema sejak dilema nak berkhatan masa darjah 5 dulu.

Tuesday, November 22, 2011

Garuda dicakarin Ayu Raudhah.

Malaysia menang ibu segala pingat emas Sukan SEA 2011 malam tadi. Melenyapkan sorakan garuda (disebut garudada oleh Keril Samad) di Gelora Bung Karno.

Tapi, tahu tak berapa bakul aku maki Fakri Saarani malam tadi? 15 bakul setengah tahu tak? Makcik aku geleng kepala dan kejap-kejap tu darah tinggi naik.

Dah tahu bangang main bola, pergi la main sukan lain. Macam Alex Yoong tu. Dah tahu dia bangang racing kereta, dia luncur air pulak. Menang plak tu. Tak pun suruh dia beratur peraduan menyanyi ke. Kerja ikat batu kat tempat kontrak ke. Receptionist hotel ke.



P/S : Lagi satu, ada ke adik perempuan aku cakap Khairul Fahmi Che Mat tu hensem gila? Hensem gila? Muka jepun tu? Hensem?

Selera kau sungguh aneh.

Monday, November 21, 2011

Bodohnya lelaki

Ada masa,
lelaki akan jadi bodoh tak berguna
bila segala nasihat menjadi sia-sia
dan ambil berat dipermudahi
dengan satu torehan halus tapi dalam
hasil seni seorang perempuan.


Thursday, November 17, 2011

Pengalaman saya menjadi penyanyi power

Tadi secara terpaksa, aku telah ditugaskan untuk menyanyikan 2 buah lagu untuk team aku dalam satu peraduan hiburan di MMU. Peraduan hiburan ini memang bukan calang-calang punya peraduan kerana ia melibatkan kehebatan menyanyi dan menghibur di seluruh pelosok MMU Cyberjaya dan Melaka termasuk anak syarikatnya iaitu Multimedia College. Kalau kalah tu boleh bawak bergaduh sesama department.

Dipendekkan cerita, aku secara bidan terjun telah ditugaskan menjadi penyanyi utama(bersama beberapa orang lagi) untuk lagu Aci-Aci Buka Pintu dan Bunyi Gitar. Buat ala-ala High School Musical la lebih kurang ada nyanyi dan berlakon sikit-sikit.

Peraduan hiburan ini telah diadili oleh dua orang yang cukup power dalam bidang seni iaitu Dia Fadila, seorang penyanyi bersuara malaikat dan bermuka comel, dan seorang lagi brader muka garang dari ASWARA tak silap. Dia Fadila ni dulu masa dia belum kahwin, memang aku minat kat dia. Dah la comel, muka bulat, ada tahi lalat manis kat tepi bibir. Tapi cinta kami putus di persimpangan kerana traffic light rosak. Beriya-iya kau baca. Kah kah kah!

Persaingan 14 kumpulan lain menyaksikan saingan sengit sehingga memaksa juri memberhentikan seketika pertandingan kerana beberapa orang penonton histeria dan tidak dapat mengawal perasaan berahi. Lima buah jentera bomba dipanggil untuk mengawal keadaan. Manakala dua ekor Terminator standby di pintu utama.

Dipendekkan cerita, pasukan kami telah menjuarai saringan ini untuk layak ke final bersama 6 kumpulan lain. Serius aku tak percaya sampai sekarang. Baru sikit je aku main mata dengan Dia Fadila tadi. Takkan dapat ranking pertama terus kot? Grand finale peraduan hiburan ini akan diadakan pada 8hb Disember nanti. Sah-sah la aku kena menyanyi lagi sekali. Gila masak asam!


***

Senyap-senyap, Cik Nora YM aku, "Tahniah abang...."

Aku balas, "Aik, macam mana boleh tahu?"

Dia balas, "Ada lah...rahsia... Sedap jugak suara pakwe Nia ni nyanyi..."


Aku jadi malu. Mana aku nak letak muka ni karang?



Tadi, lepas maghrib Cik Nora suruh aku call dia. Lepas tu dia jadi mengada.

"Kalau abang tak nyanyi satu lagu untuk Nia, Nia taknak letak phone...satu lagu je..."




Tahu tak, aku nyanyi lagu Rindu Bayangan untuk dia. Kalau family aku tahu ni, memang setahun aku tak balik Tampin.


Gila! Sekali tengok macam Slash. Dua kali tengok macam Aidil Zafuan!


Wednesday, November 16, 2011

Best

Tampin. Hari raya haji. Aku suruh makcik aku masak sardin. Gila rare kan hari raya masak sardin? Family aku je boleh buat.


"Ibu, masak sardin apa?" kata adik perempuan aku.

"Sardin Marina..." jawab makcik aku yang dibahasakan 'ibu' itu.

"Alaa...Sardin Marina tak best la..."


Aku sedang memotong bawang. Tak ramai jejaka yang boleh bawak memotong bawang dewasa ini. Yang ada pun, semua berebut nak masuk Masterchef.


"Habis, sardin apa yang best?" aku menyampuk perbualan mereka.

"King Cup la best..." jawab adik aku.

"Salah..." aku membantah.

"Habis tu?"


"Masuk syurga lagi best..." aku jawab setenang air di kali.




Pisau melintang dekat leher aku. Derhaka punya adik.

Tuesday, November 1, 2011

Happy Ending Setori

Pada zaman dahulu, iaitu zaman selepas zaman Lord of The Ring, hidup seorang pemuda yang kacak walaupun tidak memakai mekap dan minyak rambut. Pemuda ini bekerja sebagai seorang nalayan di sebuah perkampungan yang tiada bekalan elektrik. Thomas Edison juga belum mencipta mentol lampu. Tiap malamnya, cahaya hanya diharap pada jamung dan pelita sumbu. Andai kata hujan hari itu, maka tiadalah cahaya kerana habis semua jamung dan pelita sumbu basah.

Arakian tersebutlah satu peristiwa pada satu musim sotong, pemuda kacak ini ingin mencari rezeki lebih dan ingin ke laut untuk mencandat sotong. Diceritakan bahawa malam itu hujan. Pemuda itu tetap dengan pendirian untuk turun ke laut. Dengan berbekalkan sebiji bot fibre glass dengan enjin jenama Suzuki 20 kuasa kuda, pemuda itu mengajak rakan karibnya, seekor zirafah bernama Eddy.

Sampai ke subuh pemuda kacak dan Eddy keluar mencari rezeki, tidaklah pulang-pulang. Maka menimbulkan kerisauan kepada ahli jemaah kampung. Selepas usai solat subuh di surau kampung itu, maka pak imam mengarahkan orang kampung untuk turun ke laut untuk mencari pemuda kacak tadi. Risau kalau apa-apa terjadi ke pemuda kacak harapan kampung itu. Entah karam di lautan kah, entah diculik lanun Somalia kah, entah ditelan Segitiga Bermuda kah.

Pukul 12 tengahari, tiba-tiba pemuda kacak dan Eddy tiba di jeti dengan sotong lapan belas pikul dan cukup untuk semua penduduk kampung.

Maka demi menghargai jasa pemuda kacak, tok ketua mengubah nama kampung itu menjadi Kampung Sotong Lapan Belas Pikul.

Amacam, happy ending tak? Tak payah la karate meja tu.

Tuesday, October 25, 2011

Tikek ghupo aluminium ko hok mahaa sangak tu? Osah la korang dikelepet eh dek FAM.

Sekarang tengah kecoh tiket final bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu mahal ya ampun. RM50 di Stadium Shah Alam yang macam ladang kentang tu.

Lantak korang la. Aku kalau ada tiket free baru aku datang. Kalau tak, aku nak duduk depan tv je dengar Haji Hasbullah Awang buat merepek dia tu.


***

Ramalan aku, Negeri Sembilan 3, Terengganu 1.

Selepas itu, FAM dijangka akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai jajahan British sekaligus Negeri Sembilan layak bermain dalam Liga Perdana Inggeris dengan dana yang diperoleh melalui penjualan Pulau Tioman kepada kerajaan Perancis.

Amacam? Rebel tak pendapat aku?

Wednesday, October 5, 2011

Kadang-kadang, kanak-kanak tu takdelah jujur sangat bila bercakap...


Tahu macam mana nak bagi budak-budak makan banyak? Cakap semua makanan itu adalah ayam.

***

Aku : Danny, papa kerja apa?

Danny : Polish(polis)...

Aku : Mama kerja apa?

Danny : Goget(joget)...

Aku : Uncle(aku) plak kerja apa?

Danny : Ermm... funfair.


Jahanam. Kalau aku dapat siapa mengajar budak ni cakap bukan-bukan, memang aku cepuk mulut dia sampai bengkak. Muka aku macam cina funfair ke?

Okay, tak payah jawab.

Thursday, September 15, 2011

Pemuda, bas merah dan Cinta Astakonah

Sebuah bas warna merah berhenti betul-betul di hadapan pondok bas. Kelihatan seorang pemuda yang berambut panjang mengurai seperti iblis, bermuka bengis turun dari tangga bas tersebut. Beberapa orang bangla pertengahan umur yang sedang berborak di bangku pondok bas serta merta senyap seribu bahasa ibarat malaikat melintas bila pemuda itu menjeling ke arah mereka. Dengan baju putih takde lengan gambar pokok manggis, kaca mata hitam bulat, tangan bersalut gelang berduri, seluar jeans koyak lutut dan kasut koboi sambil menggalas beg lusuh warna cekelat-hitam, beliau melangkah bergaya di kaki lima sambil memegang sekeping kertas.

Pemuda itu ada misi. Sekeping kertas di tangannya adalah penentu segala cita-citanya selama ini. Beliau nekad berhijrah ke Kolumpo dari kampungnya di Kuala Selangor. Beliau tidak tahan dengan bebelan mak dan abahnya yang tak henti-henti mendesaknya mencari kerja. Paling tidak pun menolong abahnya di bendang. Itu pun beliau tak mahu. Bagi pemuda itu, jiwanya bukan dilahirkan untuk membuat kerja-kerja kampung. Beliau menganggap mak dan abahnya tidak faham jiwa mudanya yang rock kapak dan rebel. Pada usia 28 tahun dan hanya mempunyai sijil SRP, pemuda itu bertekad untuk membuktikan bahawa insan sepertinya boleh berdikari sendiri dan hidup di Kolumpo seperti orang lain.


"Kerja bendang mana rock!" terngiang-ngiang ayat terakhir yang diungkapkan pemuda itu saat meninggalkan keluarganya.

Namun, beliau sudah nekad. Mahu mengejar impian yang dibina sejak di bangku sekolah lagi. Mahu menjadi penyanyi rock.


***

"Ada bakat menyanyi terjerit-jerit? Ingin menjadi terkenal? Ingin menjadi ikon rock negara? Datanglah ke ujibakat penyanyi rock, slow rock, rock ballad, rock kapak, rock apak hang..."

UJIBAKAT PENYANYI ROCK MALAYA
Rock Sampai Kapan Sdn. Bhd.
Lorong D/2 , Lot 3007 Tingkat 1,
Wisma Datuk Indera, Jalan Ampang
50450 Kolumpo.


***


"Mungkin inilah tempatnya," kata pemuda itu di hadapan sebuah bangunan lusuh.


Kelihatan beberapa lagi pemuda sepertinya dalam dressing yang lebih kurang sama turut menuju ke bangunan tersebut. Pemuda tadi melangkah menaik tangga. Dari kaca matanya, nampak gaya saingannya hari ini memang mudah. Tak banyak pesaing yang berpotensi berdasarkan pengalamannya menghambakan diri kepada rock selama berbelas tahun. Rakan-rakannya di kampung pernah menggelarkan beliau sebagai Amy Search berdasarkan not tinggi semasa menyanyi yang hampir-hampir menyamai ikon rock negara itu. Salah satu kenangan manis beliau yang kekal menjadi ingatan, Suzila anak Pak Malik telah memberinya nombor telefon semasa beliau menyanyi lagu Cinta Astakonah di majlis kenduri kahwin. Bila telefon, keluar suara india.



"Encik nak ujibakat menyanyi?" kata akak kaunter pendaftaran.

"Yes..." jawab pemuda itu dalam Bahasa Inggeris. The one and only yang dia tahu selain perkataan 'no', 'fuck' dan 'touch n go'.


"Nama encik?"


Pemuda itu diam sebentar.


"Nama encik, please?" ulang akak kaunter pendaftaran sedikit tinggi.


"Kuntum," jawabnya berbisik.




Petang itu jugak pemuda itu pulang ke kampung halaman. Tak patut betul akak kaunter tu gelak sungguh-sungguh sampai terbit air mata.

Thursday, September 8, 2011

Pagi seorang pekerja

Di salah satu lokasi parking kereta di sebuah bangunan di MMU Cyberjaya, kelihatan seorang pemuda berbadan tegap ala Van Damme melencongkan kenderaannya memasuki kotak parking yang muat-muat untuk sebuah kereta. Bagi pemuda itu, hal parking ini adalah hal yang cukup remeh. Tutup mata pun boleh. Namun tiada pula riak di situ.

Selesai menarik brek tangan, beliau menikmati saat terakhir lagu yang berdentam-dentum dari pemain CD JVC. Lagu bertajuk Tak Akan Ada Cinta Yang Lain dari band Dewa 19 itu dibuka volume kuat yang amat jarang dibuat oleh anak melayu sekarang. Sampai tertutup-tutup mata pemuda itu sama-sama sing along itu lagu. Mungkin itulah yang dinamakan menyanyi dari lubuk hati yang paling dalam.

Selesai lagu, beliau terus mengibas-ngibas kemeja merah jambu miliknya. Pagi itu, pemuda itu entah apa gila teringin sangat memakai kemeja merah jambu. Dipadankan dengan seluar slack kain sedap, memang betul-betul maskulin pemuda itu. Mungkin beliau ingin mendapatkan mood untuk bekerja barangkali, selepas cuti raya yang membosankan.

Selesai membetulkan cermin mata yang sedikit senget akibat head banging tadi, beliau mematikan enjin kereta dan mencapai sebuah diari kerja miliknya di kerusi penumpang hadapan. Beliau sempat menyelak diari itu bagi menampakkan gaya seorang pekerja kolar putih yang berjaya.

Pemuda itu berpuas hati. Lantas beliau membuka pintu keretanya dan keluar.



"Gampang!" kata pemuda itu sambil menoleh ke arah selipar jepun yang dipakainya.

Beliau bergegas pulang ke rumah.

Thursday, August 25, 2011

Pantun raya saya

Kring kring kring itu bunyinya blekberi,
Tekan angkat, say "Hello, sayang..."
Malam raya sibuk tekan kabaid buluh duri,
Raya kedua nurse suap bubur kat Hospital Klang.

Pung pang pung pang itu bunyinya mercun,
Duduk bersila depan speaker lagu rindu.
Ampun maaf raya habis mata basah lencun,
Tiga hari berlalu, tipu bini, tipu laki, tipu abah ibu.

Pin pin pin itu bunyinya proton saga,
Buat loan lima angka semata nak raya,
Lambat sikit drive pun dah tak apa,
Ops Sikap tak kenal kau ayahanda putra, anak tok ketua.

Trang tang tang itu bunyinya vespa,
Makan nasik lauk kuah megi,
Bila tak balik kampung, rindu oh mama, oh papa,
Dah balik kampung, tidur bawah kipas speed tinggi.

Dup dap dup dab itu bunyinya jantung,
Seat honda cub kibas tengah hari panas,
Buat kamu yang asik baca berkunjung,
Selamat Hari Raya Aidilfitri, aku ucap sedikit culas...

-en.sani-


Siapa dapat kad raya daripada aku, korang memang penipu...

Ha Ha Ha!


Monday, August 22, 2011

Duit raya

Hari raya dah nak dekat. Gaji tak keluar lagi. Persetankan dengan shopping raya, aku tak 'into' sangat scene shopping raya ni. Orang pergi beli baju, aku masuk kedai buku beli novel. Bongok tak sudah. Untuk rekod, aku hanya beli sehelai seluar untuk raya ini. Baju melayu aku repeat pakai untuk 3 tahun berturut-turut. Aku dah suruh wan kecikkan sikit sebab aku dah kurus *baca dengan nada riak dan not tinggi*.

Tahun ini aku sengkek sikit. Duit raya untuk famili entah aku boleh support ke tak lagi macam tahun-tahun lepas.

Kepada anak-anak buah, sepupu sepapat aku yang kecik-kecik bersusun macam hamster tu, aku mintak maaf. Tahun ni bukan tahun untuk berseronok-seronok dengan duit. Aku bagi duit, korang beli Tora datang lagi la, beli aiskrim Malaysia la, beli kad kuasa Ben 10 la. Cuba lah bawak-bawak menabung. Buat penat tivi tu buat iklan memberi contoh menabung itu adalah amalan yang mulia dan boleh beli rumah banglo kalau dah dewasa kelak.

Jadi, tahun ni, kepada anak-anak buah, sepupu sepapat yang kecik-kecik tu, aku akan bagi sampul di bawah ni saja. Ingat senang ke nak dapat?


Ini sampul aku jumpa masa kemas almari kat kampung hari tu dan terus terfikir niat jahat disampingnya.


Ingat wahai adik-adikku, prosperity lebih penting dari wang ringgit. Ingat tu sampai tua. Kau orang pasti akan menyesal satu hari nanti kalau kau orang tak ambil nasihat aku ni dan simpan serta pateri di lubuk hati yang paling dalam.


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Dah buat silap, ayat kena madu. Kena ingat!

Monday, August 15, 2011

Memori sahur saya

Tahun 2001

Bangun sahur. Pukul 5.40 pagi. Dah terlambat. Aku jadi tak keruan. Sah wan tak kejut aku bangun. Atau dia kejut, tapi aku liat nak bangun. Dan macam-macam spekulasi lagi timbul akibat ketidakbangunan aku untuk bersahur. Mimpi bidadari berada pada ranking paling atas.

Dah lambat bangun, air semua tak sempat nak teguk. Nasik apatah lagi. Wan dan atuk sindir pedas dari dapur. Tapi aku buat muka steady. Masa umur baru nak 'up' masa tu, muka steady aku memang betul-betul punya steady.

Aku masuk bilik, dan karate bantal tanda protes.


Nyit nyit nyit nyit...

Perlahan-lahan aku menoleh ke arah bunyi itu.

Nyit nyit nyit nyit...

Bunyi itu datang dari arah akuarium.

Nyit nyit nyit nyit...


Sayup-sayup dalam samar cahaya lampu tidur aku lihat seekor ikan gapi sedang menjamah dedak warna merah dengan lahap. Kemudian ikan itu membuka mulutnya besar-besar dan menyedut air akuarium dengan muka kerek, seraya memandang ke arahku. Ada riak senyum di muka ikan yang diberi nama Shafiq itu.



Aku?

Aku perlahan-lahan menadah tangan dan berdoa memohon untuk menjadi ikan gapi.

Friday, August 12, 2011

Menumpangkan ustad

Petang Selasa hari tu, pukul 4.30 petang lebih sikit, aku dan En. Azhar turun dari opis untuk pulang ke rumah. Aku menumpangkan En.Azhar yang kebetulan satu perjalanan yang sama. Petang itu panas terik. Jenis kalau keluar opis, mata jadi kecik kecik menahan silau.

Aku memandu kereta di satu jalan yang lengang. Kemudian nampak seorang ustad muda yang berjalan kaki menuju surau. Jauh juga surau kalau nak diikutkan. Berlecak jugak celah kelangkang ustad tu kalau bawak berjalan dalam panas terik ni.

En.Azhar mencadangkan aku untuk menumpangkan ustad muda itu sekali memandangkan surau itu berhadapan dengan rumah En.Azhar. Aku setuju.


"Assalamualaikum, ustad. Mari la sekali saya tumpangkan ke surau," kata aku dengan not rendah dan menantu pilihan.

"Waalaikumsalam, eh, takpe la...saya boleh jalan kaki. Dekat je ni," balas ustad muda lembut.

"Panas ni ustad, mari la sekali, saya pun kebetulan lalu depan surau," ajak aku lagi sambil mem-follow kelajuan ustad muda berjalan.

"Baiklah, terima kasih, alhamdulillah..." jawab ustad muda lembut dan tersenyum. Aku menghulur salam.


Ustad muda membuka pintu belakang dan terus duduk. En. Azhar menghulur tangan ke ustad muda dan bersalam. Mereka kenal antara satu sama lain.




Tanpa warning dan sebarang petanda, tiba-tiba CD player kereta aku berbunyi;

"Baby, baby, baby uuuuu, like baby, baby, baby nooo, baby, baby, baby uuuuu, I thought you'd always be mine, mine.... " dengan volume tinggi.


Aku rasa sungguh loser masa tu.

Monday, August 8, 2011

Selamat pagi Bangladesh

Sahur. 5 pagi tadi.

Treett...(sms masuk)

Dari adik pompuan.


"Along, pencil box orang ada dalam kereta kau eh?"


Kau ingat kereta aku kabinet?


***


Pagi tadi check dalam kereta. Ada pencil box pink polka dot.

Aku smackdown tiang letrik.

Thursday, August 4, 2011

Apa ada di kampung? - Part 2

Lupakan lukisan aku yang macam budak darjah 3 tu, aku terjumpa kotak Converse ni di sudut hati almari baju yang paling dalam. Nak tahu apa ada dalam ini kotak? Aku pun dah lupa. Perasaan dia masa ni macam nak buka hadiah krismas okay. Wajah berseri-seri lepas tu jantung ada sound effect gendang cina.

Bismillah...


Tadaaaa.... ohh...thank you Santa!

Okay, untuk pengetahuan, ada sebahagian permainan ini aku dah kumpul lebih 15 tahun okay! Memang memori. *Achummmm!!!* Bersin habuk.


Dan inilah dia wajah kesayangan hamba. You make me sick, Woody! Hoh, terus bercakap omputeh.

Tiba-tiba teringin nak gantung si Woody ni dalam kereta. Boleh sayang? Tak jeles kan?
*Achuuummm!*


***


Okay, lupakan kejap memori kat bilik aku, kita pergi dapur jap. Orang tua-tua cakap, kalau badan masuk habuk banyak sangat, elok la pergi makan. *Alasan*


Untuk pengetahuan, teh hirameki tu aku buat sendiri tanpa bantuan wan okay! Kagum tak? Tak kagum takpe, sebab bukan susah pun. Iye, tak payah la pandang sinis kat aku. Aku tahu la aku tak reti! Tapi teh tu aku buat penuh kasih sayang yang korang sendiri tak mungkin dapat curahkan ke teh yang korang buat. Kan? Hoh. Falsafah.



Okay, ini rare. Pernah korang makan lemang salut coklat? Siti Nurhaliza pun tak pernah i tell you!

Lepas tu, pergi kat depan rumah, makan berkiblatkan Gunung Tampin. Memang heaven. Nampak tak pokok kaktus besar tu? Nampak tak? Kaktus tu dah ada sejak aku sekolah lagi tak silap masa form 1. Tiap-tiap pagi, bunga kaktus tu kembang dan akan kuncup balik bila matahari naik. Heaven kan?

Minggu lepas, aku bangun pagi-pagi, rembat aiskrim adik aku sekotak besar, dan aku makan sampai habis kat sini sambil tengok bunga kaktus berkembang. Orang cakap, makan aiskrim boleh hilangkan tension. Dan seeloknya pagi-pagi, manjakan mata kita melihat tumbuh-tumbuhan hijau. Baru la boleh sihat dan kuat macam Hulk.




Okay, sekarang apa kata kita....


BERSAMBUNG...

Wednesday, August 3, 2011

Apa ada di kampung? - Part 1

Masa balik kampung hari tu, tiba-tiba aku teringin nak jenguk bilik tidur aku yang kedudukannya agak berasingan dan aneh dari bilik tidur lain di situ. Bilik aku telah diubahsuai dari sebuah stor tingkat atas atau lebih dikenali sebagai peran, kepada bilik tidur yang solid dan agak steady. Ada satu masa, aku setting ala-ala Ikea dengan memuatkan perabot ganjil iaitu sebuah pasu bunga warna pelangi sebanyak satu unit sebagai penaik semangat.

Sejak aku berhijrah ke Kolumpo, bilik ini tidak pernah digunakan oleh sesiapa kecuali untuk menyimpan barang-barang peribadi aku dan adik lelaki aku.

Lagi satu, bilik ni dah banyak habuk. Tak berjaga sejak aku meninggalkannya. Kalau antibodi tak kuat, seeloknya jangan la nak memandai-mandai naik. Pernah seorang sepupu aku meracau tengah malam hanya sebab alah dengan habuk. Besok pagi pergi klinik doktor bagi ubat kumur. Bodoh.

***

First sekali aku geledah ialah kotak isi barang-barang dan lukisan lama aku. Sayang sungguh semua lukisan yang berusia hampir 10 tahun ni ada yang dah dicemari air hujan.










Ini apa benda aku nak cerita ni? Takde modal langsung.


BERSAMBUNG...

Monday, August 1, 2011

Kek coklat untuk Ramadhan saya

Selamat menyambut Ramadhan semua!


Pagi tadi sahur pertama. Aku tiada apa-apa untuk bersahur kecuali setengah kilo kek coklat buatan adik perempuan aku masa kat kampung semalam. Kau orang pernah tak sahur makan kek coklat? Ye, tuan-tuan, makan kek coklat masa sahur ni hanya orang Sweden je boleh buat.

***

Aku tengah merayau-rayau kat pekan Tampin. Nak cari lemang dengan daging nak buat rendang. Tiba-tiba henpon berbunyi lagu Nazam Lebaran minta diangkat.

"Along, tolong beli tepung gandum sekilo. Lepas tu tolong beli serbuk koko Van Houten satu tin. Nak buat kek coklat!" kata adik perempuan aku di hujung talian.

Aku masuk pasaraya Giant. Cari tepung gandum satu peket. Lepas tu cari serbuk koko Van Basten ke ape entah nama dia tadi. Van der Sar bukan. Van der Meyde pun bukan. Roy Azman lagi la bukan.

Akhirnya, dapat cari. Tapi ada masalah. Satu tin kecik serbuk koko tu mahal ya amat. Mana cukup duit. Duit bawak cukup-cukup, yang lain CIMB pegang. Apasal mahal sangat koko? Koko tu patut kerajaan wartakan sebagai barang kawalan. Macam petrol. Baru lah peminat-peminat coklat macam aku jadi produktif dan berdaya saing.

Aku belek-belek lagi rak serbuk koko tu, ada lagi pilihan koko lain yang lebih murah. Ya, lebih murah dan nampak tak berdosa kalau beli.



***

Serbuk Koko Cap Kijang.

Adik aku punya mengamuk....pehh...toksah cakap la.

Aku pulak macam biasa, suruh dia bersabar sebab esok pagi nak puasa. Kena redho.


Thursday, July 28, 2011

Pengalaman saya menonton bola bersama Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Aku tak dapat tiket bola free. Jadi, aku tengok bola perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia, Malaysia vs Singapura di depan tivi dekat bilik aku je.

Housemate aku tengah masak entah apa kat dapur. Masak bau macam kari pun ada. Bau masala pun ada. Kadang-kadang bau musang pun ada. Aku tengok tivi dalam bilik. Tivi aku bukak volume sedap sedap stadium. Jenis Haji Hasbullah Awang berborak sampai ke koridor tingkat empat boleh dengar.

Housemate jenguk dari pintu bilik. "Bola ka?"

Aku angguk.

Dia bawak nasik sepinggan, terus duduk atas katil aku. Itu kalau malam karang, bersemut aku punya tilam, memang aku mengamuk.

"Ini Malaysia lawan apa? Malayan Harimau ka?" kata dia.

Aku malas jawab. Tapi dalam hati, "Malayan Harimau acik kau!"

"Ini cup apa dia main?" dia tanya lagi.

"Kelayakan World Cup," aku jawab slow.

"Owh...tak cantik la dia main..." dia menambah. Nasik lauk kacang panjang dengan tomato dia suap semaksimum yang boleh.

Aku diam.

"Dia main dekat mana? Rumput cantik. Rumput tiruan ka?" dia lagi.

Aku diam. Hati tengah panas. Sebab defend Malaysia main macam gampang.

"Ini player Singapore ka? Kenapa ramai mat saleh? Boleh ka itu macam?" dia tanya lagi. Sambil tu nasik dia suap jugak. Mulut penuh pun dia cakap. Jenis takde adab.

Aku diam je.

"Ini kalau dia main macam ni sampai second half ha, mesti kalah la Malaysia..." dia cakap sambil suap nasik entah kali ke berapa.

Aku serius tengah diam. Nak mencarut karang, dah pangkat bapak-bapak.

"Dulu aku masa muda, main untuk Telok Intan tau. Masa tu 70-an. Dulu takda macam ni. Lari kejap dah pancit..." dia sambung. Krup krap krup krap bunyi kacang dia kunyah.

"Tengok tu, sikit-sikit jatuh...tak makan nasik ka, dey?" dia menyambung sambil mata dalam formasi tivi-pinggan-tivi-pinggan-tivi.

Aku diam. Buat-buat capai bantal untuk peluk(atau niat sebenar nak gigit bantal lepas geram).

Defend Malaysia sekali lagi buat hal.

"Weiii...mana lu passing bo.........."

Tiba-tiba dia senyap. Aku menoleh ke arahnya.


"KUNGGG...KUNGGG...KUNGGG...KUNGGG!!!"


Dia tersedak nasik. Padu punya tersedak. Menggelupur dia lari ke dapur cari air. Pung pang pung pang bunyi dekat dapur buka peti sejuk.


Aku senyum puas. Betul-betul punya senyum.



***

Okay. Malaysia kalah dengan Singapura. Takde hal la. Aku tetap di hatimu Harimau Malaya! Tapi kan, kenapa Nicol David tak main tadi eh, Uncle Raja?

Tuesday, July 26, 2011

Ketam

Ada satu famili ketam. Ketam spesies ketam nipah. Ada abah ketam. Ada anak ketam. Ada mak ketam. Tapi mak ketam hanyalah pelakon extra dalam cerita ini. Tak payah sentuh sangat mak ketam ni. Dia busy memasak barangkali.

Okay, kita cerita pasal abah ketam dan anak ketam.

Abah ketam cuba mengajar anaknya berjalan. Anak yang masih tidak nampak masa depan. Kerana belum matang untuk melangkah. Abah ketam itu mahu mengajar anaknya berjalan lurus.

Tiap kali abahnya ajar berjalan, anak ketam itu merungut kerana abah ketam itu pun tidak berjalan lurus seperti dalam tivi. Atau lebih tepat, jalan macam Anuar Zain. Oleh kerana mewarisi darah abahnya yang bermulut macam perempuan, anak ketam itu pun membuat abahnya sakit hati dengan memberi statement sinis terhadap cara berjalan abah ketam yang senget-benget.

"Jalan macam ketam bunga la abah ni! Kaki tak berbedung ke masa kecik?"

Abah ketam itu terasa tercabar dan bersikap panas baran. Lalu abah ketam itu membuat muka bengis dan karate pokok bakau.

Persoalannya sekarang, mengapa perlu abah ketam itu bersikap bengis dan panas baran? Tak bolehkah bersabar sikit? Bukan ke sabar itu separuh daripada iman? Nak masuk bulan puasa dah pun kan?


***

Okay, balik kampung nanti, aku nak suruh wan aku masak gulai ketam. Tus air liur i tell you...


Krupp...krupp...krupp...(bunyi kunyah kulit ketam)

Monday, July 18, 2011

Iklan Yuna

Sepupu lelaki umur 15 tahun sedang menonton tivi dengan adik pompuannya.

Aku pulak tengah sibuk paksa adik pompuan aku buat facial treatment. Ye puan-puan, ingat melayu minimalis macam aku ni tak reti nak buat facial treatment? Adik pompuan aku pulak memang ada kepakaran tentang itu, dan kebetulan dia pun belajar di kolej tentang course bela bela muka dan rambut ni. Jadi, memang free la aku buat facial treatment(pernah sekali, aku paksa dia dye rambut aku warna biru striking, tapi akhirnya dia tak tergamak kerana takut berdosa, ini cerita benar ye puan-puan).

Okay,tinggalkan bab rambut dan facial treatment. Sebab ni bukan majalah Marie Claire.



Dipendekkan cerita, sedang sepupu aku ni tengok tivi, aku dengar dia berkata dengan adik pompuannya,

" Dik, cuba bayangkan, Yuna punya payudara tak terbuka masa terjun helikopter tu..."


Aku memandang adik pompuan aku dengan rasa bersalah.


" Payung terjun la! Payung terjun! " jerit aku dari belakang.

" Ha? " kata sepupu aku menoleh kebelakang dan buat muka naif.

" Payudara tu tetek la bangang! " aku balas.

" Oh, ha'ah laaa! Silap! Sory along..."



Cilakak punya iklan Libress. Apa cerita aku pakai mask muka sambil senyum tak henti? Macam mana dahi nak licin macam Tiz Zaqyah ni? Adik pompuan aku dah guling-guling gelak atas lantai.


P/s : Eh, kau orang tahu tak iklan yang mana ni? Yang Yuna terjun parachute tu la!

Mat saleh

Macam sedap pulak aku tengok mat saleh ni goreng epal. Balik kampung nanti, aku mesti kena try satu kali.

Tak dapat epal, aku goreng anggur. Takpun laici. Takpun kuini. Atau kedondong?

Tuesday, July 12, 2011

Bas

"Banyak-banyak bas, bas apa yang paling kecik, paling pendek di dunia ini?"

"Bas kilang?"

"No."

"Basikal?"

" No."

"Bas sekolah Uncle Chong Taman Indah?"

" Nope."

"Okay, surrender. Apa?"



Aku tarik nafas panjang.


"Basmathi..."




Okay. Tak lawak.

Thursday, July 7, 2011

Ini video saya dan Rebecca




Aku belek-belek balik dalam folder handphone aku, ada video ni. Entah bulan bila punya entah,aku pun lupa.

Ini laluan belakang Lim Kok Wing University. Pukul 2-3 pagi memang horror tak patut. Tapi masa video ni dirakamkan, tengah banyak kereta. Lampu jalan pun macam orang buat fun fair. Tapi, bila sampai masa lampu jalan satu pun takde pukul 2-3 pagi tu, memang rasa nak ikut jalan jauh pun ada. Jauh maksud aku, bukan la ikut jalan kat Mentakab ke, Simpang Pulai ke. Jauh sikit je la. Aku pulak memang malas nak kotor tangan nak bergelut dengan langsuir. Tahu tak, langsuir punya sengat, kat hospital putra ke, hospital universiti ke, Hospital of Hong Kong ke, pun takde penawar. Tahu tak? Tak percaya tanya Dr. Rozmey.


Tak. Aku tak takut. Cuma malas je. Kan Kak Nor kan?

Wednesday, July 6, 2011

Khamis means STOP!


Buat masa ni, blog aku cuti. Sebab esok kan hari Khamis. Kalau dah esok hari Khamis, dah tentu lah malamnya ialah malam Jumaat. Dah malam Jumaat, tak reti-reti nak baca yassin?

Jadi, blog aku cuti. Nampak tak konsep dia kat situ?


***


Okay, semalam aku pergi One Utama di Bandar Utama Damansara. Tapi tak boleh lawan la yang Tampin punya ni.


Tampin. U name it, u gadit...


Ah, Datuk Shaziman Abu Mansor, penat tau I tulis pasal Tampin...

Monday, June 27, 2011

Peraduan

Tampin, hari nak balik ke Cyberjaya. Aku ambil baju aku yang banyak di ampaian kain. Semua dah kering. Ada la dalam satu bakul besar. Aku dah bosan basuh baju pakai kaki dekat Cyberjaya.

Masuk rumah sambil kendong bakul baju.

Di ruang tamu, wan, emak, maklong, kakak sepupu dan Acik Ana duduk dalam bentuk bulatan sambil berborak dengan not tinggi.

Aku menyelit ke salah seorang daripada mereka.

Duduk bersimpuh macam gadis gadis. Mereka semua senyap tiba-tiba.


"Maklong, apa kata kita adakan satu peraduan?" aku membuka kata ke maklong yang duduk betul-betul sebelah aku.

"Peraduan apa?" balas maklong. Mata lain memandang ke aku.


Aku senyum manis. Oh, maksud aku senyum super manis, sebab senyuman aku yang biasa-biasa pun memang dah manis macam buah cempedak.


"Peraduan melipat kain sambil berborak..."

Sambil aku lambak satu bakul kain di tengah-tengah bulatan.


Mereka melipat kain sambil menyumpah-nyumpah tu memang aku kagum. Jarang kita boleh tengok dalam drama melayu macam tu. Rare orang cakap.


***


Ye, aku tak reti lipat kain ye tuan-tuan, sedara sedari sekalian. Lipat tu boleh, tapi mesti akan jadi macam sotong digelek bas.

Thursday, June 23, 2011

Maghrib seorang belia

Maghrib. Lepas siap-siap menyucikan diri, dressing bagi nampak agama-agama sikit, aku pun membentang sejadah. Kopiah aku kasi tune paling ustad. Aku yang ketika itu sedang membalas sms seorang member, terus meletakkan handphone aku kat meja belakang tempat aku solat.


ALLAHUAKBAR!


Rakaat pertama.

Rakaat kedua.



TREEETTTT!!!! (bunyi sms masuk)







Ya, aku melatah di rakaat kedua i tell you!



***


Setengah jam jugak aku nak dapat balik tune kusyuk tu. Penat aku gelak tepi dinding sorang-sorang. Sampai terbatal air sembahyang.

Err...tak payah la tau aku melatah cakap apa.

Sunday, June 19, 2011

Lempang

"Lempang tu apa? Lempang tu sayang ke?" Nora.


Sayang, in english, lempang tu 'slap'. Atau lebih kasar sikit, penampar, tempeleng. Takde kasih sayang pun dalam lempang tu.

Yang sayang tu bukan lempang. Sayang tu 'lempeng'. Mak kita kalau nak tunjukkan kasih sayang kat kita tiap-tiap petang tu, jadi mak masak la lempeng. Dengan kopi-o.



Kamu buatkan aku makin rindu. Cepat pulang ke Malaysia sayang. Mesti rancangan tv kat Australia hari-hari tayang Krokodal Hanter kan? Oh, ya, bawa balik sekor anak wallabi, nak buat panjat kelapa. Ka ka ka...



*Aku dapat bayangkan aku akan berubah menjadi cikgu bahasa melayu yang berjaya bila sudah kahwin kelak*

Friday, June 17, 2011

Soraya

Malam tadi, aku naik Soraya buat kali pertama sejak sebulan yang lalu. Soraya sekarang adik aku bawak pergi kerja ulang alik Cyberjaya-Shah Alam.


Soraya : Sani, nape you dah lama tak bawak I jalan-jalan?

Aku : Laaa...kan adik hensem I ada bawak you hari-hari.

Soraya : Tapi...

Aku : Tapi apa? Dia kan lagi hensem dari I?

Soraya : Tapi dia ganas, you...


Eleh Soraya, I punya ganas you tak tahu? Sekali I jeling bangla kat bus stop, tiga orang histeria.


Aku : Okay, sebelum I kawin, I janji nak bawak you balik kampung. Mahu?

Soraya : Nak! Alebiu Sani!

Aku : Gedik lebih. Macam ulat nangka...

Monday, June 13, 2011

Mata kail

Alarm Rebecca rosak. Entah siapa yang membonceng kereta aku hari tu, kaki masing-masing mengalahkan mata kail, sampai habis kotak alarm system dekat tempat bawah laci barang dashboard terbarai.

Menyinggah di kedai aksesori kenderaan Dengkil di kala tengah bulan ternyata hanya mengundang padah. Ringgit Malaysia seratus setengah tu aku boleh makan nasik lauk landak seminggu berturut-turut lu tau tak??


Dah la lupa nak simpan stok megi. Dia punya sedih macam tengok Maria Mariana.

Tuesday, May 24, 2011

Majid Driving School - Cepat

"Abang...cepatlah sikit bawak kereta tu. Terhegeh-hegeh..." kata Marjinah.

"Nak cepat nak pergi mana?" balas Majid lembut tapi ada nada tegas.

"Balik rumah la! Cepat sikit..." jawab Marjinah.


Tanpa banyak cakap dan soal, Majid menambah kelajuan kereta Kancilnya sehingga jejak ke angka 120 km/j. Mungkin isterinya tak tahan nak kencing. Maklumlah. Umur dah setengah abad. Jenis kalau gelak time mengumpat kuat-kuat pun boleh basah kain(Cis, macam mana aku boleh tahu ni? Ini semua salah Harian Metro!).


Kereta Majid belum berhenti masuk ke perkarangan rumah, Marjinah sudah tak sabar-sabar nak buka pintu kereta. Jenis gelojoh.

" Kot ye pun, sabar la sikit..." sound Majid keras sikit.


Baik berhenti kereta, Marjinah terus meluru membuka pintu rumah.

Majid geleng kepala.


***


"Tadi lupa nak bagi Daniel makan..." kata Marjinah sambil mengusap lembu peliharaannya dalam Farmville dengan menggunakan cursor.


"Awak ingat cute ke perangai macam tu?" sound Majid dekat depan pintu sambil tangan penuh plastik shopping.

Thursday, May 19, 2011

Siri berborak dengan makhluk tuhan paling gojes

Soraya : Sani, you senyum sorang-sorang ingat I suka?

Aku : Kau apa tahu?

Soraya : Eleh. Bajet jiwang. (tangan kat dada, mata pandang atas)

Aku : Wei, badan aku ni built-in full of love laaa...

Soraya : Okay, fine...



***

Soraya, esok aku pergi opis, aku bawak kau ye? Jangan la merajuk. Tak sweet la kau skang ni. Tu la, banyak sangat tengok Akademi Fantasia. Nangis banyak. Bercakap dengan kamera.

Wednesday, May 18, 2011

Pesta makan di kampung saya

Nak seminggu cuti balik kampung, tak guna kalau tak ada pesta makan ye tak? Tak payah la cakap kau orang balik kampung tak makan. Logik ke tak kau balik kampung semata-mata rindu kucing? Tak pun sebab nak sain ketua kampung? Takpun nak tengok Astro Warna. Nak kena lempang?


Kau orang pernah tak makan nasik lemak lauk gulai siput sedut? Nak klimaks dia punya rasa woi!

Tak percaya, tanya baby ni.

Slruuuppp...

Podeh...podeh...

Lepas tu, dah berjaya, dia buat muka kerek. Cilakak. Hahaha...

***


Kuih apam kecik-kecik ni aku tak minat sebab selalu nampak dekat atas rak tokong cina dia susun cantik-cantik. "Itu kuih, tok pekong yang punyaaaa!"


***


Ni memang ajaib. Aku bagi adik aku RM10 suruh beli makanan, dia beli macam esok pagi nak kiamat.


Lauk daging masak asam. Balas pulak dengan ikan pekasam. Memang heaven la weh!

Dah tu, tak reti-reti nak balas dengan nutrigen? Bakteria baik untuk bekalan perut. Minoru shirota ke ape jadah entah nama dia.

Malam-malam sikit, buat surprise untuk wan. Kek sikret resepi ni weh...kalau tak kopak duit, bukan nama sikret resepi.

Tapi, aku tak minat kek. Sebab aku bukan metroseksual sangat pun. Makan nasik lauk telur kicap pun dah boleh terharu.




Ha. Kan sekarang mulut aku dah berlecak ni siapa nak handle? Siapa nak masakkan? Makwe dah la pegi obesi...hahaha!

Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu ke-24

Tadi jumpa mak kejap. Dekat Seremban masa on the way balik Cyberjaya.



Mak : Kau makan ke tak kat sana?

Aku : Kenapa?

Mak : Dah kurus sikit skang.

Aku : Biasa la...kasanova.

Mak : ......la sangatttt...



Selamat Hari Ibu, mak. Dari anakmu yang bertahi lalat manis bawah bibir. Kata mak, itu tanda mulut jahat. Keh keh keh.

Update : Oh, ya. Selamat Hari Jururawat jugak dekat makwe-makwe hospital mana-mana. Layan pesakit, jangan buat muka macam musang.

Wednesday, May 4, 2011

Negro

Tadi masa balik dari pasar malam nyaris-nyaris terlanggar student negro dalam 4-5 orang dekat satu simpang hostel. Tapi, memandangkan aku pemandu yang berhemah dan sangat JPJ, aku berjaya mengelak sambil makan popia goreng. Ye, aku tengah makan popia goreng masa tu. *Patut letak dalam resume tu.*

Dah tau kurang cerah, nak berjalan malam-malam tu beli la sticker pemantul cahaya, tampal dekat peha. Itu pun nak ajar.

Tuesday, May 3, 2011

The Stig

The Stig.

Aku dengan The Stig memang tak jauh beza. Cuma, The Stig tu british, aku italian. Mama paperoni ciken hawaiian gennaro gattuso.<---ini tak payah la kau search google translate, tu bahasa pasar dekat Venice.


Korang tak kenal The Stig? Memang malang. Pergi tengok Top Gear cepat.

Monday, May 2, 2011

One Lovely Blog Award (Versi Terpaksa)

Baru-baru ni, aku telah dapat award(sebenarnya tag aje) oleh akak [ini]. Oleh kerana aku punyai banyak masa dan waktu yang terurus macam dalam buku pendidikan moral, aku penuhilah kehendak 'award' ni. Nampak sangat paksa. Nasib baik aku ni periang orangnya, hari-hari kaki tengok berita dan peramah juga. Ish, sendiri puji, sendiri terharu. Macam Wan Maimunah perangai.


Mempersembahkan:

Award cawan puteri salju mana entah dia rembat ni.


Here are rules to abide accepting this award (Amacam, power tak aku cakap omputeh?)


1. Post linking back to the person that gave you the award
2. Share 7 random things about yourself
3. Award 15 recently discovered blogs
4. Drop them a note and tell them about it



1) Post linking back to the person that gave you the reward.

La, kan aku cakap, akak yang suka memasak tu bagi la. Ct Noarizah. Aku tak tau la memang nama dekat Mykad dia ada 'CT'. Nanti kan, aku bercita-cita nak letak nama anak aku ND van der Meyde. Agak-agak acik kat pejabat pendaftaran tu nak layan tak?


2) Share 7 random things about yourself.

Ini serius skema. Macam gadis-gadis okay nak bagitau hal sendiri. Ewww~mencikk.

a) Si gemok yang tak pernah menggunakan sikat semenjak masuk sekolah menengah. Tak cool pakai sikat. Orang pakai sikat ni banyak kerja duduk depan komputer je sambil melayari blog motivasi dan jual beli emas. Aku tak reti pakai sikat. Juliana Evans juga suka mamat rambut serabai dengar cerita.

b) Pernah cukur rambut botak sebab benci dengan muka yang skema. Aku rasa, sebelum kahwin nanti, aku nak rasa satu kali rambut botak la. Best okay. Bila bawak motor tak pakai helmet, memang laju. 'Potong angin' orang cakap.

c) Ada 6 tahi lalat di sekitar muka. 2 bijik kat bawah bibir, 2 bijik dekat atas kening kiri, sebijik dekat hujung kening kanan dan sebijik dekat bawah telinga kanan. Lagi banyak tahi lalat di badan seseorang tu, semakin menyerlahkan sikap menyayangi binatangnya. Mana taknya, lalat berak kat badan kita, tapi biar je kesian nak bunuh. Okay, tak lawak.

d) Ada satu perangai, bila gugup atau panik, aku suka pegang sebelah telinga. Kalau tak pegang, jadi makin gugup. Kalau pegang pun, gugup jugak. Bodoh punya tabiat. Takde function.

e) Masa kecik-kecik sekolah rendah, ada tabiat gigit pensel. Cilakak punya kementerian pensel, entah apa dia letak dekat pensel tu. Sedap sangat rasanya. Macam pucuk paku.

f) Tak pernah naik kapal terbang sebab nasib yang kurang baik. Dulu aku pergi Kanada pun naik bot pancung.

g) Okay, ni bonus :
-Aku suka wanita yang berambut pendek. Lagi pendek macam Roxette yang menyanyi It Must Have Been Love tu, lagi okay.
-Suka jugak wanita pakai cermin mata.
-Suka wanita yang tinggi. Kalau boleh lagi tinggi dari aku. Kalau tak tinggi, nak jalan dating, eloklah kamu pakai kasut tumit tinggi. Korang pernah tengok video klip Guns n Roses, November Rain? Masa Axl Rose nikah dengan makwe dia, bukan main cool lagi makwe dia sikit punya tinggi.
-Suka wanita berkulit putih. Yang hitam manis agak kureng. Tapi kalau rupa dia macam Jennifer Lopez, itu belakang cerita.
-Tak suka wanita yang sangat kurus.
-Suka wanita yang matang.(Pernah ada makwe yang 2-3 tahun lebih tua)
-Suka wanita yang suka memasak. Pandai tak pandai masak belakang cerita. Kalau goreng rumput pun aku makan. Terpulang kepada si dia nak masak apa. Ah. Si dia-si dia kepala hotak lu, ingat ini majalah Remaja?



3) Award 15 recently and tell them about it

Jo Qusary
Sayda Dino
Cik Yaya
Keril Samad
Absya
Shafinaz
Faridzul
Si Daun Ceri
Shima Emma
Encik Bagak
Kawakibi
Tengku Fir
Syakila

Dapat 13 je. Lagi 2, siapa-siapa yang banyak masa terluang boleh la ambil ye.



Korang tak balas siap, penat tau tak search blog korang pakai internet subsidi ni. Entah apa yang lovely blog pun aku tak tau. Banyak jugak masa aku buat kerja tak berfaedah ni. Ha ha ha!

Okay. Aku nak tidur. Aku tau besok pagi, duit akaun Nuffnang aku dah empat angka. Kalau tak, aku mengamuk.

Friday, April 29, 2011

Perkara yang membuatkan aku marah


Yang belah kanan adalah 'tempat kasut' aku. Yang belah kiri ialah 'tempat kasut' housemate. Tapi, kejadah apa dia suka rembat selipar aku yang paling lawa khas untuk aku pergi shopping complex?

Sandal aku pun ada 3 pasang lagi, selipar Diadora(tiada dalam gambar) aku jugak dia bekenan bawak pegi jalan kaki beli roti canai.

Thursday, April 28, 2011

Gelap atau terang

Ambillah aku,
selamatkan aku,
dari dunia kepura-puraan.
dan kita hidup bahagia.
Setidak-tidaknya sehingga,
matahari terbenam.

Selepas itu,
kita yang tentukan,
hala tuju.
Gelap atau terang.

" Katamu gelap, aku mahu yang terang."

-en.sani-

Wednesday, April 27, 2011

Cilakak

Gaji masuk.

Takde nafsu.

Cilakak.



Err...nafsu berbelanja la! Fikir nak porno je.

Ini hal random. Sungguh random.

Setiap hari, semasa bekerja pada siang harinya, aku selalu memasang azam untuk menulis blog pada malam harinya. Entry tentang benda-benda berat sikit. Banyak bahan telah aku tulis dalam buku nota(ya, aku ada buku nota sendiri untuk catat hal-hal random sebab aku ni pelupa orangnya).

Banyak benda serius aku nak catat pada blog aku. Antaranya tentang hal aku bermimpi beberapa orang wanita. Dan kerisauan aku kepada beberapa benda yang serius seperti kehilangan kawan-kawan, duit, kesenangan pemikiran, jodoh dan keluarga.

Tapi, bila dah sampai rumah, aku selalu nampak bantal itu lebih hebat kuasanya.

Oh, ya. Bantal aku takde nama lagi. Dan tak payah la desak aku adakan kuiz menamakan bantal aku pulak.


***



Lagu ini untuk kamu. Ya. Aku beri untuk kamu. Nak letak lagu Rahasia Perempuan tadi, tapi lucah sangat. Hihihi.<---Hihihi? Parah dah kau ni Sani.


Ya. Ini random. Jangan lempang.

Monday, April 25, 2011

Meeting

Esok aku meeting. Dengan bos bujang.


Bos : Sani, esok kita pergi meeting smartcard...

Aku : Ha? Orait. Pukul berapa?

Bos : Pukul 2.30 petang. Pakai smart smart sikit. Ramai makwe department lain dalam meeting tu.

Aku : Orait.

Bos : Aku dapat rasa, esok kita akan bertemu jodoh! Ha ha ha!

Aku : Ha ha ha.

Bos : Aku dah minum air zam zam tadi dua teguk. Ha ha ha!

Aku : Ha ha ha.

Bos : Aku tak tau apa-apa pasal smartcard, besok kau je la cakap dalam meeting.



Cis. Meeting smartcard ni aku nak cakap ape woi? Pasal Ashraf Sinclair?

Sunday, April 24, 2011

Mentol K-Pop

Lampu depan rumah terbakar. Oleh kerana tak ramai lelaki yang boleh diharap dalam rumah itu, aku menjadi calon feveret untuk memanjat tangga menukar mentol. Sepupu aku jadi assistant memegang tangga. Aku gayat. Tapi tunjuk berani. Baru satu anak tangga, dekat mulut dah kumat-kamit ada bunyi agama-agama.

Masa aku dah naik tangga, mentol terbakar telah dibuka, dan hulur ke sepupu aku. Mentol yang baru pulak tertinggal di dalam rumah, dan aku arahkan dia ambil.

3 minit.

5 minit.

10 minit.

Aku jadi baran. Ingat tak panas ke woi? Ambil mentol ke, makan nasik? Aku jerit sekali. Sepupu menyahut dari dalam. Dia kata sekejap.

Aku tiba-tiba jadi tak sedap.

Aku melangkah ke dalam rumah.



Cilakak, berkilat-kilat mata dia tengok drama Korea depan tivi.

Friday, April 22, 2011

Obesiti

Dulu masa aku sekolah, time rehat je aku makan nasik lemak. Tak pernah yang miss. Kalau miss pun sebab tukar menu atau bawa bekal ke sekolah. Dah besar, cerdik jugak. Celah mana obesitinya?

Budak-budak sekolah sekarang je tak boleh makan nasik lemak banyak. Kementerian patut suruh diorang makan henpon je. Obesiti ke mana, hape ke mane.

Injured


Aku : Bos, injured. MC. MC.

Bos : Blahhhh laaaa....Takde takde...


***

Ini kena cakar la. Betul. Sumpah. Bukan, bukan love bite.

Nakal.

Wednesday, April 20, 2011

Ini bukan iklan khidmat nasihat

Aku jenis yang dah biasa naik kereta, akan pakai tali pinggang keledar. Kebiasaannya, memang masuk kereta je, aku akan terus tarik tali pinggang. Ini adalah satu contoh yang baik kepada semua pembaca di luar sana khususnya yang membawa kereta. Iyela, kalau dibiasakan, baru la jadi budaya, kan? Jangan besok-besok dah terlantar kat spital, baru nak terhegeh-hegeh fobia tarik bandage balut badan tu nak buat tali pinggang keledar. Tak nurse yang lempang, aku sendiri sanggup datang lempang kau orang kat spital. Beli kereta mahal-mahal sampai setengah juta ringgit, tapi tak tau guna buat apa.

Semalam aku masuk-masuk je kereta, terus aku pakai tali pinggang keledar. Rasa sangat baik dan pemandu berhemah sangat sampai nak jerit kat orang awam yang lalu lalang siapa-siapa ada sedara kerja dekat JPJ suruh tengok sikap aku.

Tapi, aku masuk kereta tu untuk ambil kunci rumah yang tertinggal je. Penat tahu tak nak bukak balik tali pinggang keledar tu? Nasib baik tak bagi signal keluar simpang sekali.


Dilema betul.

Monday, April 18, 2011

Tampin

"Tak balik kampung Sani? Kat Tampin, makan apa yang best?" - Lelaki A

"Kalau aku pergi Tampin, mestilah aku nak cari makan best. Sana apa best?" - Lelaki B

"Orang Negeri Sembilan selalu apa yang special kalau bab makan?" - Makwe A

"Kalo aku balik Penang, kalau tak pekena laksa penang, memang tak sah. Kampung hang?" - Brader A

"Kopok lekor terbaik ada di Terengganu weh! Tampin apa special?" - Makwe B

"Tampin ada Sikret Resepi?Kahkahkah!" - Brader B


***


Sesungguhnya, sejak dari kecik aku membesar dekat Tampin, dan sampai la aku merantau ke Selangor, Melaka, Kolumpo dan Cyberjaya, bila balik Tampin, aku makan nasik je.

Telur

Tadi aku makan nasik lauk telur. Sambil makan telur, aku pegang la telur. Salah ke? Betul la kan?

Bangang.

Sunday, April 17, 2011

Kejam

Aku cerita hal [ini] ke sorang makwe.


" Kalaulah dikatakan kita ada jodoh kan Sani, first sekali, saya nak bakar Soraya tu! Hahahaha!"


Apa lah salah Soraya beb? Dia tak kacau orang pun.



Korang semua kejam.

Ahad

Walaupun ia bukan cinta, tidurmu tetap tak lena.

***

Tulislah Ahad ini,
kerana Ahad akan datang,
mungkin aku tiada untuk kamu.....lagi.



P/s : Badan rasa tidak molek, untuk berbicara tentang diri dan hati. Esok-esok saja.

Saturday, April 16, 2011

Aku bukan doraemon

Aku bukan doraemon,
ada poket pinta
ingin apa saja,
ibu ayah adik kakak saja takde.

Aku bukan doraemon,
ada mesin apa-apa,
mesin maksud mesin cinta,
mesin buat hati lara.

Aku bukan doraemon,
ada mesin ubat luka.
mesin hati mesin masa,
ingin hidup gembira
sampai akhir masa.

Aku bukan doraemon,
tak fikir banyak study, kerja.
Lepak dalam drawer,
lupa masalah dunia.

Aku bukan doraemon,
boleh bikin apa-apa.
Orang lain pandang beraja,
aku cuma manusia biasa,
takut pada tikus juga.

Aku bukan doraemon,
makan nasi bukan dorayaki,
sampai masa kena ada hati,
hati untuk diberi,
pada sang pemimpi.

Aku bukan doraemon.


-en.sani-



P/s : Pagi tadi demam, sekarang tak demam pulak. Mejik, mejik.