Saturday, June 19, 2010

Lagenda Budak Atan #1

" Atan, tolong berdiri atas kerusi! " jerkah Cikgu Intan.

Perangai Atan yang suka mengacau budak-budak perempuan sekelas memang seringkali membawa padah. Siapa tak kenal Atan. Dari kelas Darjah 3 Tembikai sehingga kelas-kelas berdekatan yang berjiran dengan kelas Darjah 3 Tembikai sudah naik jelak dengan jerit pekik cikgu mengajar hari-hari. Pasti ada saja nama Atan disebut. Atan itu. Atan ini. Pendek kata, nama Atan lebih banyak disebut daripada matapelajaran wajib hatta kempen selamatkan Gaza sekalipun tidak disebut sebanyak nama Atan.

Atan akur. Dia perlahan-lahan naik di atas kerusi. Baginya, berdiri di atas kerusi adalah matapelajaran keduanya hari itu. Walaupun secara betulnya, beliau suka dengan matapelajaran Bahasa Melayu kerana cikgu yang mengajar memang iras-iras Norshiela Amin. Sebut saja lagu Norshiela Amin yang mana, semua berada dihujung bibirnya.

Dalam kelas 3 Tembikai, Atan ada menaruh hati kepada seorang makwe pakai tudung yang bernama Ayu. Oleh kerana minat, Atan selalu mengacau Ayu dengan harapan dapat melihat wajah Ayu yang comel ketika marah. Tapi, nak 3 tahun berada dalam satu kelas, Ayu tetap tak pernah menunjukkan reaksi minat dengan perangai Atan. Bagi Ayu, sikap Atan sangat kebudak-budakan. Ayu faham, ustazah ada mengatakan bahawa budak perempuan lebih cepat matang daripada budak lelaki. Kalau ustazah tipu, tipu jugalah dia. Tapi, mustahil pula ustazah itu nak menipu. Disambar petir pula ustazah tu nanti.


Kriiiinngggg!!!!


Tamat sesi persekolahan. Atan dan rakan sparringnya, Remi pulang berdua melalui jalan ladang getah. Remi adalah teman sejak kecil Atan. Rumah mereka pun dekat-dekat. Mereka membesar bersama. Main pasir bersama. Lastik burung bersama. Curi rambutan ketua kampung bersama. Mandi sungai bersama. Pendek kata, Atan dan Remi memang sudah serasi bersama. Walaupun begitu, tahap kenakalan Remi tidaklah boleh disamakan dengan Atan. Kalau nakal itu bertahap 1 hingga 5, Remi hanya berada pada tahap 2, tidak setanding Atan yang berada pada nakal tahap 5. Lagipun, Remi berada di kelas Darjah 3 Manggis, kelas nombor 2 pandai berbanding kelas Atan 3 Tembikai iaitu kelas nombor 2 tercorot antara 5 buah kelas.

Semasa pulang, mereka perlu melalui ladang getah. Ada lagi satu jalan yang perlu melalui pekan, tetapi amatlah jauh. Terasa pergi sekolah 5 kali ulang alik dia punya jauh. Mahu berlecak ketiak kalau ikut jalan pekan ditambah dengan cuaca panas seperti di Uganda. Hari itu, memandangkan mereka tidak banyak masa, mereka memutuskan untuk melalui jalan ladang getah. Ladang getah itu memang banyak sangat nyamuk. Malah, ada juga cerita orang kampung yang mereka dengar bahawa pernah terjumpa nyamuk sebesar anak ayam. Memang menakutkan kalau dia gigit. Mau besar telur burung unta dia punya bintat.

Salah satu sebab yang Atan tidak suka melalui jalan ladang getah ini bukanlah kerana lagenda nyamuk-nyamuk besarnya. Tapi, dia lebih takut untuk melalui kandang lembu ketua kampung. Ada seekor lembu jantan warna perang kepunyaan ketua kampung yang tidak ditambat. Lembu itu memang anti sangat kepada Atan. Mungkin dendam lama kerana Atan pernah membaling batu bata tepat ke tengah belakangnya yang mengakibatkan lembu itu hilang selera makan dan keinginan untuk mengawan.

Mereka berdua sampai betul-betul di kawasan kandang lembu ketua kampung. Atan lihat lembu jantan warna perang itu betul-betul menghalang jalan bersidai di bawah pokok kuini sebesar dua pemeluk.


" Remi, kita ikut jalan lainlah..." kata Atan.

" Mana ada jalan lain dah... " balas Remi.

" Aku ada satu jalan rahsia. " kata Atan lagi.


Remi mengangguk saja memandangkan beliau juga amat takut dengan pandangan mata lembu jantan itu. Belum lihat pada paras rupa tanduknya yang panjang seperti lembu rodeo lagi. Kalau tertusuk dekat buntut, mahu hilang nikmat untuk meneran berak kelak, fikir Remi dalam hati.

Atan melencong ke kiri menuruni sedikit bukit yang bersemak-samun. Dari cara dia jalan, memang menunjukkan bahawa dia yakin terdapat jalan pintas di situ. Remi hanya mengekori jejak langkah Atan yang sudah jauh di depan.

Lebih kurang 200 kaki dari kandang lembu, Atan berhenti di tepi sebuah paya. Atan kenal sangat dengan paya tersebut. Paya ini walaupun agak dalam dan airnya berbau puaka, tetapi, hanya ini saja satu peluang mereka untuk pulang awal ke rumah untuk mengejar siri telenovela amerika latin yang dia tak pernah miss walau satu episod pun.

" Sekarang, kita kena redah paya ni. " kata Atan kepada Remi.

" Paya ni? " jawab Remi terkejut.

" Yelah. Paya ni, takkan kau tak cam? Kalau menuju ke barat, boleh tembus sampai paya belakang rumah aku. " kata Atan lagi.

" Tapi, macam mana nak redah? " tanya Remi lagi.

" Kita berenang je. Kita kan pakar. " jawab Atan.


Belum sempat Remi bertanyakan bagaimana dengan baju sekolah yang kotor nanti, Atan terus menolak Remi ke dalam paya, mengakibatkan gaya Remi jatuh ke dalam paya adalah gaya backdive. Amat bergaya gaya itu jika dimasukkan dalam filem-filem melayu zaman sekarang yang ketandusan lagak ngeri sejati. Balik-balik lagak naik motor besar. Balik-balik gaduh dalam hujan. Macam filem Sembilu.

Remi nak marah pun dah terlambat. Terpaksalah beliau mengekori kehendak Atan. Beliau sudah masak dengan perangai Atan. Lagi dia tak suka, lagi itulah Atan akan paksa dia lakukan. Jauh di sudut hati Remi, menyesal kerana berkawan dengan Atan.

Atan juga sama terjun tiruk dalam paya tersebut dan terus menyelam ke dasar. Remi turut mengikut belakang Atan menyelam. Mereka sudah biasa menyelam di sungai.


" Atan, jauh ke tak nak sampai paya belakang rumah kau? " jerit Remi dalam paya tersebut.


Malangnya Atan langsung tidak menyedari pertanyaan Remi. Remi pula kelihatan kelat wajahnya kerana akibat pertanyaannya tadi menyebabkan 3 kilo air paya masuk ke dalam mulutnya. Fikirannya mula membayangkan penyakit taun yang merbahaya.




BERSAMBUNG...

1 comment:

Anonymous said...

Tarlassolla
[url=http://healthplusrx.com/cirrhosis-of-the-liver]cirrhosis of the liver[/url]
Batoremastark