Friday, July 16, 2010

Borhan, Azizul dan Rahim

Borhan adalah seorang pekerja kerajaan yang sudah 4 tahun bekerja. Walaupun hanya kerani-kerani biasa, tapi beliau punya gaji melayakkan untuk membuat loan kereta Myvi dan rumah teres 2 bilik air dan lapan kepala paip. Oleh kerana Borhan belum berkahwin, beliau ada simpanan duit yang banyak dan boleh dikatakan hidup dengan mewah. Kejap-kejap shopping. Kejap-kejap, Genting. Kejap-kejap Bukit Kayu Hitam. Disuruh mengaji tak tahu.

Satu hari, Borhan sedang membeli kuih cakoi di pasar malam. Sedang beliau mengira duit dalam walletnya untuk dibayar ke tuan punya kedai kuih cakoi, sekeping not RM5 telah terjatuh dan melayang ke tengah orang ramai lalu lalang. Borhan perasan dengan kejadian itu, tetapi hanya membiarkan duit itu hilang dari celah-celah betis orang ramai.

Kata Borhan sendirian,

" Ala, takpelah. Bukan banyak pun, lima ringgit je..."

Tuan punya kedai kuih cakoi hanya tersenyum.


***


Jika disebut nama Azizul dalam pekan Tampin, memang jarang orang tak kenal dia. Sebut saja siapa, abang JPJ, tauke kedai aksesori, makcik tunggu bas, makwe kedai handset, pakcik guard Tabung Haji, cina kedai sensei, tambi jaga lembu, semua kenal Azizul. Cuma polis marin saja tak kenal Azizul kerana Tampin bukanlah sebuah bandar pelabuhan.

Azizul terkenal bukanlah kerana beliau pernah menjadi ketua kampung. Jauh sekali menjadi juara Akademi Nasyid. Ini adalah kerana Azizul memiliki sebuah kereta Proton Wira paling juara sekali area Tampin. Kereta Proton Wira tu memang kecoh habis. Walaupun baru sampai depan Masjid Tunku Besar, tapi, bunyi Proton Wira Azizul sudah terngiang-ngiang sampai ke Shell Pulau Sebang. Apa cerita? Ekzos pakai papan lapis ke?

Dalam jiwa Azizul hanya racing. Racing tu telah jadi darah dagingnya sejak di bangku sekolah. Tiap-tiap malam dikatakan Azizul mencari partner untuk racing. Sekadar suka-suka, katanya. Kadang-kadang, beliau sanggup turun ke Sepang Circuit untuk menyertai drag race apa jadah. Hujung minggu Sepang. Ahad Sepang. Kadang-kadang Batu Tiga. Kenal sangatlah Azizul dengan Tengku Djan tu. Tinggal lagi Tengku Djan saja tak kenal sama Azizul.

Proton Wira Azizul memang dah habis bikin. Enjin Evo 8, intercooler lori terjojol buatan sendiri, sekali tarik bunyi pechesss-pechesss, lubang ekzos besar sarang arnab, rim tujuh belas. Nak cakap banyak pun tak guna, demi keseronokan, kata Azizul. Sekali start enjin, RM2 melayang. Belum press minyak lagi. Belum pergi Sabak Bernam lagi tu. Pendek kata, sediakan RM100 tiap hari untuk isi minyak kereta. Belum cerita tayar selang seminggu habis botak sebab main drag.

Tapi, takde hal bagi Azizul. Maklumlah, anak Pegawai Daerah.


***

Rahim tidak bekerja. Tapi memiliki sebuah ladang koko yang luas juga. Turun temurun punya ladang. Beruntung betul Rahim. Tiap-tiap bulan puluh ribu masuk bank. Harga koko memang tengah naik ini tahun. Pekerja pula tak ramai. Ada la dalam 3-4 orang Indon takde permit. Bagi makan pakai, gaji RM200 sebulan, setel. Janji tak tahu dek imigresen. Duit pun jimat. Itu belum lagi beliau mengusahakan tanaman sampingan pokok tembakau secara sembunyi-sembunyi. Jual di pasaran gelap, sebulan boleh dapat empat angka juga. Kalau lapan belas bulan? Tak boleh kahwin empat?

Kerja Rahim tak susah. Pagi, bangun pukul 10, hisap rokok sebatang, pergi ladang dengan kasut getah naik Pajero, Jenguk-jenguk pekerja Indon hidup lagi ke tak. Kalau semua okay, uruskan jual beli koko. Ada tauke cina dah tunggu hari-hari depan ladangnya untuk ambil buah koko. Habis itu semua, Rahim lepak kedai kopi bawak ke petang. Kalau ada wrestling, sampai ke malam tak balik rumah. Hisap rokok mahal. Kawan-kawan mintak sebatang takde hal. Sehari, 3 kotak boleh habis. Nama pun tauke tembakau, kata Pak Mat Kedai Kopi terhadap Rahim. Jika rokok sekotak nak sepuluh ringgit, 3 kotak dah tiga puluh ringgit. Belum bayar kopi lagi. Belum bertaruh wrestling siapa menang lagi. Belum kalah judi main dam aji lagi.

Tapi, itu tiada masalah bagi Rahim. Keseronokan tidak boleh dibeli. Selagi seronok hisap rokok, hisaplah. Sampai lebam.

" Duit boleh dicari. " kata Rahim sambil hisap rokok Lucky Strike.


***


Satu hari, kerajaan mengumumkan untuk menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen.

Borhan, Azizul dan Rahim terkejut. Mereka jadi kucar-kacir. Petang pengumuman kenaikan harga, Borhan, Azizul dan Rahim bergegas ke pekan untuk mengisi penuh petrol di tangki kereta masing-masing. Tak cukup dengan kereta, dibawanya pula tong 20 liter. Ada yang bawa tong minyak masak. Dan kalau boleh botol air badak sekali.

Mereka cukup marah dengan kerajaan. Mengatakan bahawa kerajaan tidak mengambil kira hati rakyat. Petang itu, kalau tak hempas pintu kereta pergi bayar dekat kaunter minyak, memang tak sah.

2 comments:

Anonymous said...

terbaekkk...makan dalam...

-en.sani- said...

kau terasa ke?