Friday, December 31, 2010

Rahsia minggu ini

Aku ada satu rahsia. Rahsia ni kena bagitau minggu ni jugak.


Sebenarnya, aku dah jadi followers blog makwenye si keeper hot se-Malaysia, siapa lagi kalau bukan si Elia tu, sejak hari Isnin itu hari lagi. Sejak followers dia hanya ada ratus-ratus baru.

Okay, baru kejap tadi aku dah tak follow blog dia dah.

Aku dah jadi berbulu.

Lu orang tengok la besok, kalau aku berjaya jadi keeper negara. Lu tunggu. Lu tunggu. Lu orang jangan menyesal.

Tapinya, bukan goal keeper la. House keeper je.

Thursday, December 30, 2010

Aku vs 3 wanita








Sesi berlawan dengan minah Indonesia di page AFF Suzuki Cup di facebook.


Lepas tu terus senyap. Malu la tu. Tadi siang bukan main mengutuk orang. Kalau Malaysia kalah suruh aku jadi hamba dia orang.

Hamba kepala bana dia! Kah kah kah!


Okay. Sekarang siapa lebih? Kau orang tengok ni pulak beberapa minit selepas aku kena block di page AFF Suzuki Cup. Dia hantar dekat inbox aku pulak.




Mereka bermulut manis ya donk mass?

Wednesday, December 29, 2010

Hari ini yang padat dan menyeronokkan

Hari ni nak cerita banyak takde. Kau orang add facebook aku, lepas tu kau orang tau la apa cerita. Malas mahu tulis ulang-ulang. Kepada semua Indonesian, terima kasih donk. Gue tak bisa main mata sama Luna Maya lagi.

Aduh aduh pipiku, digomol Bang Markus~

Kah kah kah!


http://www.facebook.com/encik.sani

Tuesday, December 28, 2010

2010, aku, kamu dan mereka-mereka semua

Aku rasa takde lagi benda bodoh dan perkara-perkara yang bidaah dalam entry blog aku sehingga habis tahun 2010 ni.

2011, kita buka buku baru.

Amacam? Bunyi macam anak muda yang ada wawasan tak?

Ok, blog aku takde button 'LIKE'. Sila like dalam hati. Yang dislike pula, jangan disimpan dalam hati. Bisa menjadi barah.


***

Kita tengok la 2011 ni macam mana. Nak teruskan ke atau tak. Sila emel aku en.sani707@gmail.com untuk sebarang pertanyaan, cadangan dan komen membina. Setiap emel anda akan aku layan bagai menatang minyak yang penuh. Sama-sama kita berkongsi pendapat untuk Blog En Sani. Yang nak bagi nombor telefon pun boleh juga. Makwe saja la. Keh keh keh.

Harap maaf semua pembaca blog aku, ada 3-4 orang yang sms dan emel bertanyakan kenapa entry aku akhir-akhir ini lain macam dia punya deep. Itu aku je tau. Terima kasih followers yang direkod dan tidak direkod.

Yang penting, aku nak main laser kejap. Esok aku makan tengahari dekat incubator, kalau pekerja indon buat air tu lambat ambik order, memang aku laser mata dia cukup-cukup. Amacam Markus? Berani dong?

Hati ini

Jasad berkata, " Memberi kamu sepenuhnya hati dahulu adalah langkah yang silap pernah aku buat. Aku telah kehilangan separuh daripadanya. "

Suara hati membalas, " Hati-hati di mana kau letak hatimu. Kelak sukar untuk kau ambilnya kembali. Itu pengajaran buatmu. "


Kamu masih boleh cari yang terbaik dan jadi yang terbaik. Aku bukanlah yang terbaik untukmu. Tapi aku berjanji untuk jadi yang terbaik untuk yang seterusnya.

Kamu sesungguhnya seorang yang sangat beruntung. Jangan sia-siakan ia.



Ingat pesanku,

You know I've seen a lot of what the world can do,
And it's breaking my heart in two,
Because I never want to see you sad, girl...
Don't be a bad girl.

Monday, December 27, 2010

Sepupu saya

Hari ini tak banyak mahu menulis. Sebab otak ada kacau.

Hari ini, satu hari suntuk aku kena jaga sepupu 2 adik beradik yang nakal tahap maksimum, dan aku terpaksa bawak mereka pulang ke Cyberjaya untuk hantar ke rumah makcik. Dia dua beradik punya nakal nauzubillah. Bisa menggoncang dunia.

Mujur juga aku ni dilahirkan sebagai insan penyabar tahap wali-wali. Kalau tak, ke wad empat juga diamnya mereka.




BERSAMBUNG...

Saturday, December 25, 2010

Aku akan kembali

Aku ingin membawa diri dahulu. Minggu depan aku kembali dengan hati yang baharu. Untuk mengubah suasana kita.

Aku minta maaf.


***

Jangan lupa kirimkan kata.

It's not for me, but for the heart.

Friday, December 24, 2010

Jo Qusary, tiap kali aku nak melukis, dia jadi macam ni...

Pagi tadi, aku bangun pagi. Macam gampang ayat mula-mula. Tujuan aku bangun pagi adalah untuk kencing je. Lepas kencing, aku rasa tak puas hati. Jadi, aku rasa nak melukis. Sebelum melukis, aku lihat jam, baru pukul 5 pagi. Aku buka tingkap luas-luas. Dari tingkap, kelihatan beberapa ekor beruang ginzi sedang bersiap-sedia masuk ke hutan untuk mencari rezeki.

Aku sedut udara pagi dalam-dalam. Dua ekor langsuir sempat mengucapkan selamat pagi kepada aku. Aku balas ikhlas.

Aku ambil sketch book aku, dan pencil case berwarna hijau florencent. Dan start melukis atas lantai. Ye, aku lukis atas lantai sebab meja dalam bilik aku dah penuh dengan komputer, tivi, henpon, kabel, cd, megi dan beberapa pangsa sarang semut.

Jadinya, aku lukis la bulatan permulaan untuk mewakili lukisan pertama.


***

Aku sedar jam 9 pagi.

Sekian.



Jo Qusary

Thursday, December 23, 2010

Sebening di hari itu

Treett...(sms masuk)



" Saya rindu awak..."


" Jaga-jaga di mana kau letak hatimu, kelak sukar untuk kau ambil kembali, " balasku. Dalam hati.



Aku pun rindu kamu.



***


Lepas tu aku nyanyi lagu Ziana Zain.

**geleng kepala**

Tengkujuh, Santa Claus dan stokin

Sekarang ni musim sejuk. Hujan memanjang. Kadang-kadang turun salji dekat Cyberjaya ni. Itu pun kebetulan pukul 3 pagi aku dekat luar,tiba-tiba ada seketul salji jatuh dekat atas kepala aku. Aku pegang salji itu dan ingin menghebahkan kepada warga apartment, tapi memandangkan mereka sedang elok dibuai mimpi indah, aku pendamkan saja. Masa aku nak ambil kamera untuk bukti kukuh salji turun di Cyberjaya, salji itu pun cair. Bermakna, tak dapatlah kau orang bayangkan kebenaran cerita aku tu. Beberapa ekor Santa Claus yang sedang bertenggek di atas pokok pinang juga menunjukkan isyarat 'senyap' sambil membalut hadiah mengejar due date.


Pagi semalam, aku tidur lewat dalam pukul 6 pagi. Jadinya, pagi itu hujan juga. Memang tengah sedap-sedap tidur. Tak kerja pulak tu.

Indah diulit selimut tebal dengan badan dalam posisi janin.



"WAAARGGHHH!!!" tiba-tiba aku menjerit dalam pukul 8 pagi.


Kaki sebelah kanan cramp sebab sejuk melampau.


***


Jadi, malam tadi, sebelum tidur, aku buat warm-up dan lompat bintang. Dan tidur pakai stokin. Celaka, tidur pakai stokin ni sedap rupanya. Macam tengah melanjutkan pelajaran di Kanada dia punya perasaan. Bangun pagi je mata berkaca-kaca teringat keluarga di kampung halaman. Cewah!

Jika kau di dalam bilik karaoke...

Tadi aku tak banyak benda nak buat, jadi lepas tengok wayang dekat Alamanda, aku ajak Rizal dengan Kak Nor karaoke. Karaoke ni bukan calang-calang orang boleh ikut. Tak cukup iman boleh terpesong.

Berikut adalah list lagu yang aku nyanyi tadi.

1. Rahim Maarof - Cinta Kristal
2. Umbrella - Ramalanku Benar Belaka
3. Febians - Penantian
4. Febians - Demi Cinta Ini
5. Ukays - Rhytm Si Jantung Hati
6. Ukays - Kekasihku Di Menara
7. Rod Steward - I Dont Wanna Talk About It
8. Slam - Jika Kau Rasa Getarnya
9. Alleycats - Seribu Bintang
10. Alleycats - Setahun Sudah Berlalu
11. Awie - Tragedi Oktober
12. Spoon - Memori Sekuntum Rindu
13. Kembara - Keroncong Untuk Ana
14. Deddy Dores - Jangan Pisahkan
15. Iwan - Fantasia Musim Cinta
16. Shiela On 7 - Buat Aku Tersenyum
17. KRU - Dua
18. Deja Moss - Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia<---Tak nyanyi habis.
19. Syarifah Aini - Hapuslah Air Matamu<---separuh jalan.
20. Ziana Zain - Anggapanmu<---ini serius gampang! Nyanyi sampai habis buat suara kepit.


Dan yang paling aku benci, tiap-tiap kali karaoke, aku kena cover lagu Memori Daun Pisang buat suara Iwan. Celaka. Iwan noks...Iwan!


Sekarang aku menyesal setelah melihat kembali list lagu yang telah aku nyanyi tadi. Aku sungguh menyesal. Nafsu menyanyi lagu jiwang membuak-buak. Gampang. I tak sedar okay! I tak sedar! Maaf rakan-rakan rock yang pernah sama memperjuangkan irama keras dulu.

Wednesday, December 22, 2010

Aku jarang buat perkara berfaedah

Sila klik gambar bagi yang rabun itik.



Aku pukul 3 pagi.

Aku masa tension.

Aku lukis.

Benda bodoh.

Tak sedar.

Hah...


***

Baca balik, baru sedar serupa lahanat.

Tuesday, December 21, 2010

Muka

Kawan serumah baru balik cuti seminggu, dia bukak pintu rumah, dia macam terkejut tengok aku.


" Apasal muka U lain? " katanya.

" Lain amende? " jawab aku.

" Entah, muka U macam bersih saja. Seksi, " katanya serius.


Gampang. Ini mesti jenis balik kampung salah timing, bini datang bulan.



P/s : Serius weh, aku pakai pencuci muka Loreal Men yang charcoal tu.

20 Disember 2010

Kronologi


12.00 pm - Bangun tidur. Maaf bakal mak mak mentua semua yang membaca. Aku tidur lepas subuh okay. Hari ni tak kerja.

12.30 pm - Lepas mandi lebih kurang, bertolak ke Seri Kembangan. Betul kereta. Tukar driveshaft. Rebecca tersenyum girang sampai ke side mirror. Gatal. RM 250 melayang. Mata berkaca-kaca menahan sebak tika menghulur duit ke pomen.

15.30 pm - Jumpa Rizal. Ajak makan tengahari dekat Warong Pak Maidin. Aku hentam semacam lauk gulai tempoyak ikan patin dengan ayam kampung goreng. Aku setting dalam kepala, ini makan untuk esok, lusa, tulat dan seterusnya. Hentam nasik macam orang takde 'life'.

16.00 pm - Hujan selebat-lebatnya. Mujur ada WiFi dekat kedai tu. On facebook dan bergurau senda dan tersenyum sorang-sorang. Mujurlah ada dua tiga orang brader lagi turut berkelakuan sama depan laptop. Brader jaga kaunter geleng kepala sambil memegang erat batang penyapu. Aku jeling tajam. Dia buat-buat tunduk cari barang bawah meja. Aku senyum nipis.

16.45 pm - Hujan tak berhenti sepenuhnya. Aku buntu. Makde modal dekat facebook. Makwe pun tak ramai yang inbox. Aku cadangkan kepada Rizal untuk sambung budaya melepak di The Mines. Rizal setuju. Kami berlari masuk kereta. Sandal aku licin. Nyaris tersembam ke bumi. Gampang.

17.15 pm - Sampai di The Mines. Tumbuk perut bangla jaga parking sebab muka dia macam Shah Rukh Khan.

17.20 pm - Adik lelaki sms, " Ada duit tak? Nak seratus. Orang nak panjat gunung kat Fraser Hill malam ni sampai Rabu. Boleh tak? " Aku jawab, " Nanti malam sikit transfer. Tengah shopping ni..."

17.30 pm - Beli spek Ray Ban satu setelah Rizal bersetuju muka aku macam Faizal Tahir bila pakai. Amoi kedai spek senyum lebar. Bermulalah sikap shopping yang keji. Mulanya rancang nak cari cover housing HTC Wildfire je. Pertimbangan aku mengalah kepada bomoh pelaris The Mines.

17.45 pm - Dapat cover housing HTC Wildfire kaler merah. Masih tak puas hati sebab mahal. Jadi aku grip leher amoi sampai dia bagi kurang singgit. Aku bayar RM20 sambil kata, " Keep the change! " sambil ketawa puas. Aku shuffle sikit bagi menambah kesan dramatik.

18.00 pm - Ke kedai henpon. Saja-saja belek. Itu cina dia sudah racun sama aku. Aku jadi tak keruan. Sony Ericsson Spiro aku trade-in ke Sony Ericsson Cedar kerana masalah 'hang' tak tentu pasal. Oh, itu seken henpon aku selepas Wildfire. Third and forth henpon ade dekat rumah buat bela semut. Henpon banyak-banyak boleh jadi khurafat.

18.30 pm - Tengok iPad. Belek iPad. Sempat bukak Blog En.Sani dekat iPad yang dia letak sebagai display. Biar blog tersebut terbukak saja sebagai promosi tambahan. Seminit lepas tu, ada anak cina ni pergi bukak game lastik-lastik. Aku sepak meja tanda protes.

18.45 pm - Tengok spek. Oakley original. Dia punya harga sama dengan gaji sebulan. Cina promoter buat-buat malas nak layan.

19.10 pm - Sepatutnya niat tu nak pergi kedai jeans. Tapi batalkan hasrat kerana dah nak Maghrib. Malah telah menerima petunjuk setelah 2-3 orang juga kelihatan memakai jubah sami buddha kat tengah-tengah The Mines.

19.15 pm - Rizal berhenti kat kedai permainan kontrol. Ralit tengok helikopter kontrol, cina tu buat demo. Aku pergi rapat ke telinganya dan melaungkan azan beberapa kali bagi mengelakkan beliau khayal lebih jauh. Rizal akur.

20.00 pm - Singgah kedai mamak. Minum air. Time tu ada sorang dua sms aku malas nak layan. Aku bagi alasan sedang sibuk redah traffik jem. Kah kah kah! Sory kamu!

20.30 pm - Penat. Balik rumah.

20.35 pm - Rasa menyesal kerana baru sedar telah kerugian RM500++ untuk aktiviti shopping. Gaji akan datang 27 Januari 2010. Sila ketawa.

21.45 pm - Treett...sms masuk. " Masukkan duit tau. Jangan lupa... " dari adik. Aku karate kepala katil.

22.00 pm - Aku transfer RM100 ikut Cimbclicks. Aku sms, " Dah masuk dah..."

22.05 pm - " Ok. Thanx. Orang nak naik gunung kat area Frazer Hill sampai Rabu ni. Ape-ape jadi kau tau orang kat mana..." adik aku sms. Aku balas dengan kata-kata semangat dan nasihat berguna seperti hati-hati semasa naik gunung, jangan bercakap takbur, jangan mengurat anak orang bunian dan jangan pegang babi hutan.

23.00 pm - Aku repeat menyesal sebab shopping tadi.

Sunday, December 19, 2010

Ahad yang terlupa nak tengok wayang, dia jadi emosi lebih kurang macam ni...

Tolong buat aku tersenyum.

Tolong buat aku ketawa.

......kembali.


***


Selamat tinggal kasih.

Selamat datang rindu.

Ke manakah risalahku nak dialamatkan?

Ini lebih punya hal

Aku jarang melakukan kerja berfaedah bila di opis. Nak-nak bila aku ada masalah peribadi dan jasmani.

Ini printer Hewlett Packard.



Dan ini cop pejabat yang kita boleh kenali sebagai Randy de Puniet.




P/s : Itu baru aku tak dapat advance bos, tunggu kau tak bagi bonus tahun depan, tau la macam mana aku nak conteng opis tu sampai tak boleh nak pijak. Ini bukan sikit-sikit punya hangin. Ini hangin monsun hujung tahun!


Kimex! Celaka, mencarut pun bunyi absorber dah...

Saturday, December 18, 2010

Hujan

" Kau tolong check in aku kejap, " kata sorang kawan.

" Nape, lambat lagi ke? " jawab aku.

" Aha. Hujan pulak tengah jalan ni...stuck dekat Salak Tinggi. "

" Kalau hujan tengah jalan, lalu tepi jalan la! Cepat sikit! "

" Babi..."
jawabnya lembut di hujung talian.

Aku - Kamu

Sedang aku berfikir kamu, datang pula seorang menghalang. Lalu dia berkata, " Aku hanya memerhati."

Sedang aku sudah berputus asa, datang pula kamu, lalu berkatalah kamu, " Aku takkan lupakan kau. "

Sedang aku kecewa, datang pula syaitan, lalu berkatalah ia, " Kecewakan dia sebelum kamu..."



***


Semalam aku bermimpi kamu.

Rindu.

Friday, December 17, 2010

Romantika meja opis

" Assalamualaikum, bang, " sapa seorang makwe depan opis aku. Mungkin nak tanya pasal smartcard.

" Wa'alaikum salam, " jawab aku sambil buat mata redup redup ustad orang cakap.


Makwe muka manis manis ni berhenti sekejap seluk beg tangan. Aku pandang tempat lain. Sambil dada berdebar pikir ayat paling molek berhadapan makwe cun begitu.


" Sayang buat apa tu? " tiba-tiba makwe ni cakap tatkala aku pandang ke siling.

" Err...saya kerja la, " jawab aku panik sambil tengok ke mukanya.



Celaka. Makwe tu cakap telefon rupanya.

Thursday, December 16, 2010

Berborak dengan makwe

" Salam awak, leh kenal? Awk ni kelakar la..."

IM satu makwe muka manis-manis kat facebook masa aku sedang makan nasik atas keyboard. Hal-hal makan nasik atas keyboard ni, aku dengan Mark Zuckerberg je boleh buat.

Aku buat-buat kekok.

" Errr...anu, err..."

Kura-kura dalam titanic, pura-pura panik.



Butir-butir borak kami adalah agak tak boleh diterima masyarakat sekeliling.

Sekian.

Monday, December 13, 2010

Buang tebiat di tengahari yang panas dan tiada salji

Tadi aku balik rumah. Naik tangga. Lemah hari ni. Tak cukup tidur barangkali. Naik tangga pun rasa macam tengah lumba basikal. Peluh.

Aku sampai depan rumah, aku berasa hairan. Hati aku kuat mengatakan kawan serumah telah mula membuang tebiat untuk menempuh alam mati yang seksa. Masakan tidak, di depan pintu rumah penuh dengan pasu bunga dan dua tiga pasang kasut perempuan. Ini adalah berbeza dengan prinsip kami iaitu rumah yang tiada perabot dan hal-hal duniawi seperti bunga dan kasut perempuan. Aku mula rasa tak sedap dan start memikir hal mungkar dan nangkir.

Sebelum mencucuk anak kunci ke pintu utama, aku pandang atas.

Aku geleng kepala. Dada rasa berdebar-debar seperti macam nak kena hentam dengan kayu hoki.



Rumah aku tingkat 2. Ini tingkat 3.

Sunday, December 12, 2010

Pisau cukur

Pagi tadi, kawan serumah mengadu mukanya pedih semacam selepas bercukur. Aku kata padanya, mungkin pisau cukur tu ada kuman. Mungkin sudah masanya pisau cukur itu ditukar baru.

Dia mengangguk percaya.


Aku masuk bilik dan tutup pintu,


" Lain kali pisau cukur jangan letak dalam sinki. Kan aku dah terendam pisau cukur kau dalam sisa masak asam pedas semalam, " bisik aku sendirian.


Nasib baik cukur jambang, kalau cukur lain?

Aku gelak bawah bantal sekuat hati.

Saturday, December 11, 2010

Takpe Lisa, abang ada back-up kamu...

Gila babi adalah satu ungkapan simpulan bahasa yang telah dimodenkan untuk menggambarkan perasaan berlebih-lebihan. Gila babi juga bukanlah sejenis binatang.

Bengap macam ASTRO time hujan.

Sekian.



P/s : Lisa Surihani, sila inbox I kalau U terbaca kat google, okay?

Friday, December 10, 2010

Pisang di celah bedah

Sejak akhir-akhir ni, pengetahuan aku mengenai pisang makin menjadi-jadi.

Semalam petang, aku pergi pasar malam Dengkil membeli pisang dalam satu sisir. Nak beli ayam goreng memang jauh sekali. Pisang ni saja yang mampu sementara nak dapat gaji minggu depan. Pisang ni banyak kebaikannya. Memberi tenaga, kaya serat dan tidak rasa gampang.

Makanya, bagi mengelak bosan dengan menu pisang mentah semata-mata, aku kerap juga melakukan eksperimen dari pisang ni. Kamu semua patut ada prinsip macam aku. Pandai mempelbagai, berdikari dan tak terlalu mengharapkan subsidi petrol.



Jadinya, hari ini aku makan pisang bersama megi.

Dia punya rasa macam haram jadah.

Kembar


Kawan aku tadi ada bercakap mengenai anak kembar. Beliau suruh vote anaknya yang memasuki peraduan entah apa nama. Bercakap mengenai anak kembar. Mati-mati aku ingat dia ada anak kembar. Rupa-rupanya, beliau bercakap mengenai Erra Fazira punya anak kembar. Macam gampang.

Sesiapa yang ingin menyumbangkan vote, silalah berbuat demikian. Undi anda, penentu masa depan baby tersebut. Keh keh keh.

Jangan marah ye Faezah. Undi la anak beliau. Nur Ellyzsya Qusyaira Binti Muhamad Qayyum.

Lain-lain hal, kau tanya mak baby tersebut. Aku tolong kengkawan je ni.

Thursday, December 9, 2010

Kari ayam

Bagi yang ramai tahu, aku mempunyai seorang housemate yang merupakan seorang india. Aku jarang campur dengan dia. Itu sebab aku buat hal aku je. Aku tiada pilihan. Duduk satu rumah dengan beliau. Terpaksa. Kalau diberi pilihan, sudah tentu aku mahu satu rumah dengan Juliana Evans. Kan?

Pada suatu hari, iaitu semalam, housemate aku baru pulang dari kampungnya di Perak. Aku masa tu sedang menonton tv di bilik.


" Sani, sudah makan? " sapa beliau semasa menjenguk ke pintu bilik.

" Belum, " jawab aku.


Aku kalau hujung bulan, memang macam gampang sikit. Sanggup makan pisang sehari suntuk sebab duit dah habis. Dia punya lapar, memang maksimum. Time tu, kalau ada la kakak sebelah rumah goreng daun kelapa bagi kat aku pun aku sapu.


" Mahu makan? Saya ada bawak kari ayam dari kampung, " kata itu housemate.

Aku telan air liur. Kari ayam?

" Mari la makan sama, saya bawak banyak, " katanya lagi sambil siap-siap nasik atas meja.


Aku tak cakap banyak, terus duduk depan meja. Dapat kari ayam hujung-hujung bulan ni bukan calang-calang punya nikmat.


" Siapa bikin kari ayam ni? " kata aku.

" Isteri saya la. Sedap, " jawabnya.


Dia dah siap-siap dua pinggan nasik.


" Tapi, you boleh makan ka ayam tarak sembelih punya? Sikit saja makan, boleh kan? Tak haram kan? " katanya dengan muka manis.




Aku rasa tahun ni, itulah first time aku mencarut depan makanan. Mentang-mentang la aku tak nampak macam ustaz.

Wednesday, December 8, 2010

Keroncong Untuk Soraya

Aku balik kampung semalam memandu Rebecca. Rebecca akhir-akhir ni jadi naik lemak. Dia jadi bongkak. Kali terakhir aku bawa pulang Soraya pulang ke Tampin adalah pada bulan Julai itu hari. Dah nak dekat 5 bulan.


" Motor kau kek sano elok laie ko? Buleh jalan?" tanya wan semasa sedang makan nasik.

" Elok je. Nak bawak balik, tapi musim hujan. Takut Soraya demam, " jawab aku lembut. Yang bab 'Soraya' tu aku kasi rendahkan nada.



Ramai yang tak yakin aku boleh menjaga Soraya dengan baik. Bagaimanapun, ini bukan soal orang lain. Ini urusan rumah tangga aku dan Soraya.


P/s : Soraya pasti berbangga dengan aku jika terbaca ayat di atas. Tapi Soraya buta huruf.

Monday, December 6, 2010

Soraya, mimpi dan RXZ...

Tadi tak sihat, jadi aku tidur kat rumah dari pagi bawak ke petang. Itu pun terjaga Yus call aku sebab nak pinjam Soraya buat cari duit tepi merempit dengan RXZ indon kat highway baru. Ehsan cakap, motor aku boleh tahan dia punya pikap sekarang. Baru masuk gear 3, nak dibuatnya wheely. Soraya ni dengan orang lain, bukan main ambik hati. Dengan tuan sendiri, dibuatnya mati enjin banyak-banyak kali.

Cerita indonesia petang-petang ni kadang-kadang menyakitkan hati pun ada. Jenis cerita taknak kalah, baca doa ada api-api. Berlawan dengan jin. Berdamping dengan pari-pari. Kadang-kadang kalau iman di dada tak cukup, boleh bawak ke dalam tidur. Celaka.

Tadi, time tidur ada mimpi tak elok. Mimpi basuh baju ni kadang-kadang menyakitkan hati jugak dibuatnya. Dah bangun je tidur, tengok baju kotor belambak dalam bakul. Jatuh jugak rasanya moral.



Orang tak sihat memang cakap merepek-repek.

Sunday, December 5, 2010

Ke MAHA 2010 - (6)

Wan pesan, kalau ada duit lebih, beli la anak pokok yang berguna nak tanam depan rumah. Aku iyakan aje.

Anak pokok limau purut RM 30. Aku check-check wallet, tinggal lebih kurang RM 25. Rasa menyesal pulak semalam beli kuda mustang 3 ekor dengan traktor bajak 4 bijik.

Saturday, December 4, 2010

Kamu

Kamu adalah seorang yang beruntung, selalu berada di antara orang-orang yang peduli padamu, dan selalu memaafkan kesalahanmu.

Walaupun aku tiada kelebihan itu, aku harap masih bisa melihat kamu tersenyum.


:)

Saya sedang tengok Conan

Hari-hari cerita MAHA 2010 pun tak sedap jugak. Aku tau pembaca semua bukan minat pun. Yang komen terpaksa berlagak hipokrit untuk mengambil hati. Okay. Gurau. Kalau rasa sentap, sila minum air yassin banyak-banyak.

Disember ini, tiba-tiba aku rasa susah. Duit dalam akaun bank dah makin susut. Tu lah akibat kalau gaji keluar awal. Tak dapat nak bajet. Pasal minyak naik? Aku tak kisah pun. Kata nak sama-sama menuju Wawasan 2020, apa barang negara dah maju tapi pakai minyak subsidi. Ye tak? Kau hisap rokok pung pang pung pang hari-hari, ada kau fikir membazir?

Okay, semalam sebelum pergi kerja, aku macam nak demam. Biasa la tu, kalau pergi kerja, mesti nak demam. Kalau pergi tengok wayang, badan tengah stroke, kena kancing gigi pun kau boleh pergi. Politik. Heh.

" U, I punya tayar rasa sakit la..." kata Soraya.

" Tayar mana? " aku.

" Tayar belakang, " jawabnya sedih.


Aku check tayar belakang. Ada duri besar yang tercucuk ke tayar. Aku geleng kepala. Auntie cleaner sedang menyapu sampah sebelah buat muka tak patut bila aku pandang ke dia. Aku jadi membara.

Aku kecewa.

Jadi, aku naik ke rumah.

Sambil setting minda bidadari taburkan duit banyak-banyak atas badan aku. Dan tidur.

Kahkahkah!





P/s : Tajuk tu macam gampang bukan?

Friday, December 3, 2010

Thursday, December 2, 2010

Ke MAHA 2010 - (5)

Sedang ronda-ronda, ada sorang makwe tarik tangan aku dari celah orang ramai.

Okay, makwe lain jangan berdebar jeles tak tentu pasal.


" Bang, cuba krim muka ni bang. Krim ni bagus bang, penawar resdung..." kata itu makwe sambil siap sedia nak tenyeh krim ke hidung aku. Mentang-mentang hidung aku mancung.


" Ni krim apa ni? " kata aku.

" Penawar resdung, bang, " balasnya pantas.

" Saya nak cari penawar rindu boleh? " kata aku lembut sambil tune muka paling manis.



Ha. Kan dah merah muka beliau. Kehkehkeh. Rookie. Kail panjang sejengkal.

Ke MAHA 2010 - (4)

Contoh ayat manis ke atas makwe yang terbukti berkesan.

Pakwe-pakwe di luar, sila salin quotes of the day dari aku.

Nak mengurat makwe, ayat kena madu.





" Err...cik adik, tumpang tanya, kat mana jual madu lebah? "


Ha...amacam? Madu tak? Madu tak ayat aku?




*Amaran keras : Madu tiga, madura dan Hunny Madu bukan sejenis madu.

Ke MAHA 2010 - (3)

Semalam, hari kedua aku ke MAHA 2010. Mencari jodoh di MAHA 2010. Orang kata, makwe dekat MAHA ni jenis yang rajin mengemas rumah dan reti masak ikan sawah.

Begitu la orang kata. Tapi yang ramai aku jumpa semalam, yang dressing Lady Gaga pun ada. Jadi, makwe-makwe dekat luar sana sementara takde kerja duduk kat rumah bawah kipas speed 5 tala ke muka ternak lemak tepu, tak rasa tergugat ke? Mari la serbu ramai-ramai MAHA 2010.


* Sesiapa yang masuk Dewan D, bahagian Agroproduk, gerai nombor 013, makcik yang manis-manis cute muka pakai tudung dengan spek, tu la mak aku. Dah mak dia manis-manis cute, anak dia lagi la. Astaghfirullah. Nak puji pun segan. Okay, sila lempang aku. Kuat.

Wednesday, December 1, 2010

Ke MAHA 2010 - (2)

Aku mintak mak aku tag exhibitor MAHA 2010. Untuk melaram. Dan berlagak. Hidung tinggi. Tag ini memang rare. Mana-mana pergi, gantung dalam kereta misalnya, orang kereta sebelah pasti akan berbisik sesama sendiri tanda cemburu. Dan sebagai orang melayu yang tipikal, aku akan memandu kereta dengan bongkak sambil menyanyi lagu Awie.

Mak aku bagi satu tag saja. Katanya, tag MAHA ni payah nak dapat. Orang tertentu je boleh dapat. Aku terus sarung ke leher. Salah satu keistimewaan tag ini adalah, parking free.

Lebih kurang pukul 8.30 malam, aku meronda kawasan. Kawasan menjual buah-buahan dan orkid berbagai warna. Sambil itu, di tangan memegang air asam jawa macam brader-brader.


Antara soalan yang aku terima sepanjang rondaan tersebut ialah,


" Dik, tompek yang orang bolo arnab tu mano?"

" Bang, kalau nak pergi ke dewan naik bas nombor apa?"

" Tumpang tanyo dik, tompek ayam seramo kek mano? "

" Encik, tandas terdekat sini mana? "

" Bang, sini ada surau tak? "

" Dik, betul ke sini tempat lembu nama Khairul tu? "


Sesungguhnya, menyesal pun ada pakai tag rare ni. Semua soalan di atas, serius aku tak tahu. Kepada makcik, pakcik, makwe, adik-adik yang dapat informasi salah semalam, aku mintak maaf ye.


Tuesday, November 30, 2010

Jangkitan

Ke MAHA 2010 tadi, ada la kena hujan sikit. Lepas tu balik dah selsema. Aku syak berjangkit dari kambing japnapari yang warna putih tadi. Lain macam je mulut kambing tu kumat-kamit. Seperti ingin membuat kerja-kerja tidak elok gayanya.

Harap-harap, malam kang takde la mimpi kambing japnapari. Tak semenggah langsung mimpi seperti itu.

Ke MAHA 2010 -(1)

Tadi petang ke pameran MAHA 2010. Sorang-sorang. Nak parking bukan main azab. Bayar RM3. Parking kat pintu 2. Pintu berhampiran orang meniaga kambing, lawan lembu, main lembu dan muka macam lembu. Yang muka macam lembu tu abang yang jaga parking. Jenis jaga parking sambil makan aiskrim jagung. Tu kalau aku sepuk dahi dia, memang berbirat. Kau tak tau ke jalan dah jem woi? Low school!

Dah dapat parking, kena menapak sikit. Time tu baru lepas hujan. Aku terus ke pameran lembu-lembu, kambing-kambing, burger-burger kambing, kuda padi dan makwe kampung. Boleh tahan jugak menarik dia punya binatang. Ada lembu yang besar badak, ada kambing bermuka arnab, kerbau berbulu pelepah dan abang deejay bersuara Tomok.


Time tu, aku SMS mak aku. Dia ada meniaga. Tapi aku tak tau dekat mana.

" Mak, bagi alamat gerai..." kata aku.

" Mak kat dewan besar. Dewan D. Datang la skang! " balas mak.

" Okay. Tunggu jap. Orang tengah naik lembu laga ni..."


Nak ke dewan utama, dari pintu 2 tadi, kena menaiki transit yang disediakan. Lebih kurang 3 kilometer jugak kalau ikut jalan. Jadi, aku takde pilihan. Aku terpaksa naik transit yang berupa sebijik traktor sawah.


***


" Dik, ni bas ni lalu mano? " kata seorang makcik semasa dalam transit.

" Ontah la cik. Den pun main naek yo ni. Kok beghonti bas ni kang, kito folow la orang gegamai tu poie mano..." jawab aku sopan santun.

Sebelah makcik tu ada anak dara.

Aku buat-buat menyanyi lagu Eddie Hamid.




BERSAMBUNG...

Ubat

Pagi ini, aku bangun. Kepala masih lagi berdenyut. Aku kena makan ubat. Tak boleh jadi. Sebelum makan ubat, kena alas perut. Jadi, aku bancuh oat dalam 3 sudu. Dengan pisang 2 bijik.

Time nak makan ubat, aku jadi luluh. Kenapa la antibiotik ni besar sangat? Kenapa?

Kenapa antibiotik ni besar ibu jari? Kenapa?

Sesiapa yang dalam bidang farmasi, sila jawab.

Nak tak nak, aku telan jugak demi kesejahteraan hidup.

Hampir tercekik.


***


Penyampai radio pagi-pagi ni kadang-kadang macam gampang jugak dia punya lawak. Aku teringat la ada satu orang tanya macam mana nak kasi terang hati untuk duduki exam.

Lepas tu penyampai radio ni jawab, kalau nak terang hati senang je. Amalkan makan kelip-kelip.

Aku sedang makan ubat. Dan gelak sorang sorang dalam bilik. Aku sedang makan ubat. Gelak sorang-sorang. Aku makan ubat. Gelak.

Aku tersedak.

Celaka.

Jenis tersedak ubat batuk. Masuk dekat hidung. Dia punya rasa macam kena cekik hantu.


Monday, November 29, 2010

Hari ini

Aku sedang sakit tekak. Serius. Jangkitan virus kata doktor. Mungkin akibat batuk tak lepas atau jarang bercakap. Hah. Kelakar la kau doktor. Doktor bagi aspirin, ubat sakit tekak, ubat kumur, ubat batuk dan antibiotik. Antibiotik dia besar kumbang kelapa. Bukan main besar. Jenis kena potong 3 sebelum makan takut tersangkut dekat halkum.

Lebih kurang jam 8 malam, aku diserang demam. Sekarang aku tengah demam. Demam mengejut bersama kepala sebelah kiri berdenyut.

Sakit tekak tak boleh bercakap. Kalau sesiapa call aku tapi ada bunyi cengkerik, aku mintak maaf. Aku sakit tekak.

Harap, esok demam aku kebah. Sebab, esok aku nak pergi MAHA. Mak aku ada sana meniaga. Dekat MAHA esok, aku ingat nak beli sekor kambing japnapari buat jaga rumah. Orang kata, kambing japnapari ni kalau didikan dia betul, boleh sapu sampah, memasak dan memasang suis lampu. Sekilo 25 ringgit. Dapat 5 kilo pun dah kira okay.

Aku kena rehat. Bila aku bangun esok, aku harap ini semua mimpi.

Cinta

Terimalah jawapan ku ini
Hanyalah doa restu illahi
Moga lah dik kau tak putus asa, sayang
Pasti kelak kita kan bersua...


Bila aku dah cinta lebih dari diri sendiri, itu namanya hipokrit.

Cinta perlukan penipuan?

Kau sendiri tahu.


***

Aku tak bercinta sekarang.

Kah kah kah!

Nak bercinta? Sila ambil hati aku.

Setakat datang kau ketuk pintu hati sambil tinggalkan batu yang kau label 'cinta', baik tak payah.

Bukan itu caranya, dik.

Sunday, November 28, 2010

Rancangan kanak-kanak saya

Berikut adalah rancangan kanak-kanak yang pernah meninggalkan kesan degil dalam jiwa aku sebelum bergelar pekerja sepenuh masa.


Sesame Street. Memang lagenda. Walaupun rancangan bodoh yang banyak bercakap belajar A B C tiap minggu sambil menyanyi, aku tetap ada watak pujaan sampai sekarang. Watak pujaan aku ialah raksasa biskut dan raksasa sampah. Malah, aku turut mempunyai baju tee yang mengabadikan muka raksasa sampah yang aku beli kat Bossini Dataran Pahlawan Megamall.


Masa zaman sekolah rendah dulu, aku gemar menonton rancangan Di mana Joe Jambul. Kerana Joe Jambul ini sungguh misteri. Joe Jambul ni bukan orang yang baik tetapi adalah tidak salah menjadikan beliau sebagai idola lebih-lebih lagi jambulnya yang sangat luar biasa. Dan Kak Zizie yang jadi pengacara tu memang boleh dikatakan idaman kanak-kanak. Dia cun. Tapi, Lisa Surihani lagi cun.


Oggy And the Cockroaches. Aku sangat suka rancangan ni. Kerana tahap lawak cerita itu melebihi satu tangga berbanding kartun lain yang tidak membina minda yang cerdas. Jadi, tak hairanlah aku masih layan rancangan itu selepas tamat SPM. Asal hari Sabtu Ahad je, bangun pagi semata-mata nak tengok kartun itu. Ini bertentangan dengan prinsip remaja lain yang gemar bangun tengahari time cuti. Mengisahkan seekor kucing yang seringkali diganggu 3 ekor lipas yang kebal. Malah, mereka mempunyai kebolehan bernafas di luar atmosfera bumi dengan baik.


Pingu. Pingu memang hot. Rancangan kartun bisu menggunakan tanah liat. Rancangan dunia penguin anak beranak di mana bapaknya bekerja sebagai penghantar surat. Pingu mempunyai seorang adik yang baru menetas yang boleh dikatakan sama tahap degil adik beradik. Sangat berkesan di jiwa aku. Adik Pingu tu kalau aku dapat, memang aku lempang sampai berdebu mulut dia. Nakal ya amat. Tak padan kecik. Lagi satu, rumah igloo dia dari luar kecik kenit je, bila dah masuk, macam hotel dia punya luas.

Spongebob Seluar Petak. Si bodoh span yang berkawan dengan tapak sulaiman yang bernama Patrick, bekerja sebagai pembuat burger dengan ketam tamak bernama Mr Crab. Lain-lain watak sampingan seperti Plankton bermata satu yang mempunyai hati yang busuk, kawan perempuan seekor tupai(bermuka kucing) dengan bantuan pernafasan dan beberapa watak sampingan seperti bunga yang boleh menyalak, tin susu, ikan buntal dan kayu hoki.


Bob the Builder. Aku layan sebab banyak masa lapang lepas SPM dulu. Rancangan yang menggalakkan kanak-kanak menjadi arkitek dan bercakap dengan lori tanah.


Lain-lain rancangan kanak-kanak banyak cakap seperti Ben10, Batman Animated, Wise Mice, Barney and Friens, Captain America dan macam-macam lagi, aku jarang sangat layan. Tak menarik.


Kau orang macam mana? Takkan tengok Hiburan Minggu Ini je kot?

Saturday, November 27, 2010

Majid Driving School - Resepi Baru

Treett...Treett...( Bunyi handphone)



Majid yang ketika itu sedang mengajar budak memandu di pekan, tak tentu arah mencari telefon bimbitnya yang diselit di kocek belakang seluar jeans bundlenya. Sampai terkena-kena tombol brek tangan ke buntutnya akibat payah benar telefon bimbitnya yang terperosok jauh di dalam sudut hati koceknya.


" Helo, bang. Nape lambat jawab? " Marjinah di hujung talian.

" Alah, biasa la. Dah tua. Kenapa call abang ni? " jawab Majid.

" Abang, Mar dapat buat satu resipi sedap. Mar reka sendiri tadi. Balik la cepat! " kata Marjinah girang.

" Okay...okay...kejap lagi abis mengajar abang balik, " jawab Majid.


Marjinah kalau memasak memang sedap. Masa muda-muda dulu, dia bukan sahaja terpikat dengan kecantikan Marjinah, malah masakan Marjinah turut juga hebat. Nak-nak ikan belanak masak singgang. Feveret Majid.

Belum masuk sambal paru, gulai lemak pucuk labu, goreng pucuk paku, rendang ayam dengan maman, gulai siput sedut dengan keladi. Jangan cakap Majid, aku sendiri tulis, sendiri tus air liur. Gampang. Lapar celaka.


***


Sampai di rumah, Marjinah dah tunggu depan pintu. Wajah berseri-seri. Majid dah tak sabar nak cekau nasik sepinggan dua.


" Lauk apa Mar masak hari ni? " kata Majid tak sempat naik rumah lagi.

" Jom la tengok dulu, " jawab Marjinah.


Majid mengekori Marjinah masuk ke rumah.

Marjinah bukak Cafe World di facebook.


" Burger burung unta ala Mar..."



Majid karate CPU.

Semalam, berkatalah hati ;


Siang malam asyik bercumbu
dengan bayangmu
yang datang mengganggu...


Nama pun hati,
Tak sama dengan mulut.

Diri pulangkan sayu,

Ambil semula cinta...

Friday, November 26, 2010

Berbahagi kasih - (3)

Semalam, Soraya ada ajak aku pergi mandi. Aku berkeras. Kerana sekarang musim hujan. Lepas tu Soraya bantai merajuk tepi dinding, jenis merajuk tak boleh start macam karburator kong.


" Yelah, yelah. I bawak U pegi mandi. Kat Putra Perdana, " kata aku.


Soraya melonjak keriangan. Dia start secara otomatik

Aku geleng kepala. Nafsu macam kerbau.


" U, tapikan, I nak bawak kawan I boleh? " kata Soraya.


" Siapa kawan U? " balas aku.


" Fahrin Ahmad, " katanya.


" Siapa tu? "


" Itu..." katanya sambil tunding ke arah satu mamat.
***



Kahkahkah! Fahrin Ahmad your ass!



" Tak boleh la U. Macam mana nak bawak? " kata aku.

" Boleh. Dia boleh jalan, " jawab Soraya.

" Boleh jalan mende kalau kepala pun senget macam ulat nangka, " jawab aku.



Tiba-tiba Soraya matikan enjin. Aku try start. Tak boleh.

Alah, merajuk la tu. Tak sweet langsung.

Tragedi November


Aku terima berita tadi. Pasal review blog aku oleh Cik Zati. Aku tak kenal sangat minah ni.Tapi tak kenal jangan ingat aku tak pernah belek blog kamu. Okay. Aku bagi ulasan sikit blog kamu.

Blog yang agak gothic masa mula-mula aku baca dulu dengan tulisan vampire. Serius aku cakap, aku tak pernah bukak blog ni pada waktu malam bagi mengelak mengigau dan kencing atas tilam. Cik Zati gemar menggunakan kata-kata ringkasan yang kadang-kala menjadi misteri kepada aku.

Contoh kata ringkasan ialah 'aQ' digunakan untuk 'aku'. Serius mula-mula aku baca, aku ingat dia ada kena mengena dengan Que Haidar. Tapi, tidak. Lagi satu beliau gemar menggunakan perkataan 'n3' untuk menggantikan perkataan 'entry'. 15 minit jugak aku ambil masa mengulang perkataan itu sehingga betul-betul match dengan ayat. Celaka. Serius aku bengap. Mati-mati aku ingat dia tulis 'nE'. Tapi, apa jadah pulak 'nE' tu? Takkan beliau tergamak memasukkan formula kimia dalam entry blog? Ada ke budak-budak SPM nak baca? Budak-budak SPM sekarang lebih gemar dating cemolot kat KLCC. Macam setan.

Dan lagi satu, aku tak tau kenapa Cik Zati ni suka aku tulis loghat Negeri Sembilan. Bagi aku, loghat Negeri Sembilan tu takde la lawak. Tapi seksi.

Apa-apa pun, terima kasih. Kamu memang sweet jugak. Kehkehkeh. Jangan jeles yang lain.



Merujuk kepada entry ini.

Thursday, November 25, 2010

Muka international memang macam tu

Masuk opis pagi tadi, Kak Zai tiba-tiba tegur.


" Kenapa kau makin hitam, Sani? "



Aku senyum nipis.


Patut la budak-budak buat ID card selamba panggil aku Encik Panir Selvam.

Wednesday, November 24, 2010

Air mata kasih

Balik ke kampung masa raya haji itu hari, tengahari. Bawak kereta tengahari ni memang rasa dekat dengan neraka. Dia punya panas, nauzubillah. Boleh bersalin kulit.

Sampai je Tampin, benda pertama aku carik, air sejuk. Peti ais kat rumah tu ada dua. Jadi, peluang nak minum air sejuk memang cerah.

Aku bukak-bukak je peti ais, tengok dekat belah bawah ada sebotol air warna perang jernih macam teh-O. Memang kena la dengan tekak aku yang tengah haus dan banyak terhidrat ni. Cewah. Ayat nak saintifik je.


Tanpa toleh kiri-kanan, aku pun menggogok air dalam botol tersebut sekali nafas.

Air meluru dalam kerongkong menuju ke perut dengan laju.

Aku senyap.

Bukan teh-O.


***


" Ibu, tu air dalam botol macam teh-O kat peti ais tu, air apa? " kata aku.

" Air tu jangan minum. Tu ubat orang perempuan..."


Aku histeria.

Monday, November 22, 2010

Geng : Pengembaraan tersekat-sekat

Baru aku perasan entry budak ni. Kau memang sweet la Sabrina 'Vee' Zalani. Kehkehkeh. Silap kau nak pijak tengkuk aku je. Kau masih lupa, yang aku juga ada kaki macam Shukor Adan. Sekali pijak, memang bersalin kulit kau. Kahkahkah!

Dengar cerita budak ni teringin nak kawin. Carilah pasangan yang 'bengkok' sikit, bagi 'balance'. Kahkahkah!

Haip...jangan marah-marah Vee. Nanti kena bahan~

Oh, lagi satu. Aku ngan Keril bukan Geng jahat tau Vee. Kami ialah.........


" GENG BAS SEKOLAH! " dengan tagline, 'Nakal, tapi jiwa suci. Hormati orang tua. Dan bersopan santun!'

Amacam?

Seminggu je pun

Baru seminggu tak kerja, cuti. Dah macam-macam spekulasi yang timbul di kalangan rakan sekerja.


" Kau cuti kawin ke? "

" Lama cuti? Nikah? "

" Ah, kau Sani. Kawin senyap-senyap..."

" Lama gila dia cuti. Entah dah kawin ke ape budak Sani tu. "

" Kau punya cuti, macam pegi honey moon. Bini orang mana? "



Hey. Kamon la. Ingat aku ni Aidil Zafuan ke jenis nikah senyap-senyap?

Lagi satu, kau ingat kawin anak orang pakai apa? Getah sependa?




P/s : Ambil masa jugak nak mengurat Ayu Raudhah ni.

Monday, November 15, 2010

Hawau you!

Oh. Doktor bagi ubat tidur semalam.

Ya. Ubat tidur.

Katanya, jangan banyak berfikir sangat.

Makan 2 bijik lepas makan nasik, sebelum tidur.

Aku balas, " Doktor, sebelum tidur, tak baik makan nasik..."

Tapi balas dalam hati je pun.

***

Tengah fed-up.

Mood tengah tak baik.

Bad luck selalu berdamping.

Good bye semua.

Bulan depan jumpa lagi.

Insya-Allah.



I'll keep holding on,
I'll keep singing my song,
It gets me through it,
I've got the scars to prove it,
Well, I know the road is long,
But I'm staying strong,
So don't cry,
Because this is not
my last goodbye...

Friday, November 12, 2010

Berbahagi kasih (2)

Pagi tadi, dalam pukul 3 pagi, balik dari memancing, aku ada berborak-borak dengan Rebecca. Mengenai hal masa depan aku dan dia. Pagi itu gerimis.


" I nak cakap sikit, " kata aku memecah kesunyian pagi.

" Apa dia? " jawabnya.

" Erm...berat rasanya nak cakap... "

" Cakap je la. Nak hati I susah ke? " kata dia tegas.

" Okay... sebenarnya...ermm..."

" Cakap la cepat..." dia tak sabar.

" I ada hati dengan sorang makwe ni..." kata aku sedikit gagap.



Dia senyap.

Aku pun senyap.

Dalam 10 saat.



Lalu dia pun tiba-tiba bersuara. Rendah suaranya.


" Siapa? "

" I baru kenal dia. I harap U terima kehadiran dia satu hari nanti..." jawab aku tenang.

" Siapa?! " katanya sedikit keras.



Aku telan air liur. Sebelum menyambung kembali.



" Proton Inspira..." jawab aku.




SKREEETTTTT....

Rebecca buat brek emergency.



(Entry lagu Thank You For Loving Me - Bon Jovi)

Dream

Treeett...(SMS masuk)



" Dream 'bout U last night..." katanya dalam SMS.



" Aku hanya akan membosankan kau..." kata aku. Dalam hati.

Thursday, November 11, 2010

Bau

8.30 pagi.

Masuk tandas.

Wau, bau stroberi.


***

1.45 tengahari.

Masuk tandas.

Wau, bau setan.

Berbahagi kasih (1)

Bangun hari ni lambat. Mana tak, lelap pukul 4 pagi. Pukul 3 pagi leka melukis. Bengong. Jadinya, nak ke opis jadi la lambat.

Lepas bersiap lebih kurang, aku turun. Hari ini naik motor saja.

Switch ON.

Start...

Keekk...keeekkk...

Tak hidup.

Aku cuba penyetat tendang pula.

Pruuurrr...prrruuurrr...

" Come on Soraya...Come on..." kata aku dalam hati.

Tak boleh.

Aku ambik skru driver. Adjust lebih kurang dekat area-area karburator. Kendian, start balik.

Hidup. Cantik.

Masuk gear satu.


Hujan mencurah-curah ke ladang gandum.


Aku berlari naik atas, terus ambik kunci Rebecca.


***

Aku sampai je opis, Soraya sms,

" Sampai hati U tinggalkan I..."

Tua muda

" Kau hisap rokok tak, Sani? "

" Tak, " jawab aku.


Dah 2 tahun kerja. Seminggu sekali tanya aku hisap rokok ke tak. Aku jawab benda sama.

Cakap dengan orang tua kena banyak sabar.


" Hospital Serdang ni, nurse dia comel-comel aku tengok, " kata dia lagi.

" Betul. Kat Hospital Sungai Buloh pun lagi la comel-comel, muka mengalahkan bidadari, " jawab aku.


Bab makwe, tak kira muda ke tua.


" Nombor Vespa aku selalu pulak naik dekat Sports Toto ni, " dia sambung.

" Nombor telepon saya ni kerap benar makwe telepon, " jawab aku.


Dia geleng kepala.

Tuesday, November 9, 2010

Aku dan kenangan - (2)

Pengalaman aku masa zaman-zaman sekolah. Pernah?

1) Pernah sembelih ayam, burung dan arnab. Ini serius. Bukan main-main. Atok aku ajar sejak dari kecik. What? Tak makan arnab? Kau memang malang. Kalah daging biawak dia punya rasa.

2) Pernah ubahsuai warna basikal lebih dari 3 warna sehari. Ini memang kerja gila. Tapi aku boleh buat. Macam mana tak senang nak tukar, orang lain pakai spray, aku pakai cat pagar sapu dengan span basuh pinggan je. Amacam? True tak true?

3) Pernah kena kejar dengan bapak beruk masa musim durian dekat kebun. Bapak beruk kalau kau orang nak tau, kalau dia berdiri memang lagi tinggi dari budak darjah 6. Nasib baik beruk takut dekat Faizal Hussien. Jadi, masa beruk tu kejar aku, aku buat muka Faizal Hussien.

4) Pernah kena kejar lembu. Kena kejar lembu memang bukan calang-calang dia punya pengalaman. Silap step, memang kau tergelincir terpijak 'bobby trap'.

5) Pernah disengat tebuan, penyengat, lebah, kumbang dan langsuir. Okay. Yang langsuir tu tipu. Kena sengat mesti area-area muka. Lepas tu nak pergi sekolah, apa cerita jantina lelaki tapi muka macam Adibah Noor?

6) Pernah bela tupai. Pernah bela anak musang pandan masa sekolah. Anak tupai jumpa dalam lubang pembetung kat kebun. Anak musang pandan tu tak silap aku jumpa dalam peti surat. Desperate sangat mak musang pandang tu sampai kena bertelur dekat peti surat. Erm...Musang pandang bertelur ke beranak? Aku tak tau.

7) Pernah kena ludah pontianak. Aku tak tau betul ke tak. Tapi wan aku cakap kena ludah pontianak. "Sapo suruh kau merayau sonjo-sonjo, kan dah kono ludah pontianak!" Aku terpikir dalam hati, banyak pulak masa pontianak tu nak meludah dekat aku. Ludah pontianak ni macam kau kena gatal seluruh badan(macam kena ulat bulu).

8) Pernah menggigil satu badan berlari sebab kena kejar ular kapak. Ini memang betul-betul true. Tapi nasib baik ular kapak tu lari tak laju. Mungkin sebab ular tiada kaki.

9) Pernah membunuh tikus dengan memasukkan tikus ke dalam guni, lepas tu aku hempaskan tikus tu ke jalan raya. Kerja ni aku buat masa darjah 6 tak silap. Masa darjah 6, walaupun muka aku tak ganas, rambut belah tepi, tapi hati serupa harimau kumbang.

10) Pernah ponteng puasa masa sekolah rendah dengan minum air sungai dan makan tombong kelapa. Lepas tu bila nak berbuka puasa, muka kena buat-buat paling letih antara letih yang pernah aku lalui.


Banyak lagi sebenarnya. Tapi ni saja yang aku ingat. Aku pernah, kau pernah? Sila buat macam aku tag kau orang ramai-ramai.

Aku kalau tak pemurah, jadi pemarah

Sedang aku leka menguruskan hal-hal facebook dan blog, pintu rumah diketuk beberapa kali. Sambil itu nama aku dipanggil beberapa kali dengan nada yang tak berapa nak cemas. Jadi, bolehlah aku melambat-lambatkan hal-hal bukak pintu. Tak begitu?


" Kejap...kejap!!! Aku tengah pakai sependa ni! " kata aku dengan sopan. Padahal aku tengah carik butang pause winamp kerana aku sedang molek dengar lagu Noreen Noor. Entah apa tajuk dia entah. 'Siang Terbayang, Malam Gile Bayang' ke apa entah. Ah. Tipu sangat bunyinya.

Dari suara yang memanggil, aku tak berapa cam milik siapa.

Aku bermalas-malas ke pintu.

Dan bukak.

Man(bukan nama sebenar) terpacak depan pintu.



" Sani, kau ada megi? Bak sebungkus ha..." katanya.



Aku mencarut dalam hati. Benda-benda makanan tak boleh nak mencarut secara direct.

Blues malam Isnin

Nak menjadi penulis yang baik kena fall in love and get hurt.

Okay, aku bukanlah penulis yang baik walaupun pernah fall in love and get hurt.

Tapi, sikit-sikit ada la.



***

Kata orang, persetan dengan cinta, persetan dengan janji, kalau harus menyakiti.

Kata aku, cinta itu pengajaran.

Apa kata kau?





Sunday, November 7, 2010

Deepavali blues

Sempena cuti raya Deepavali, aku pulang ke Tampin. Bukan untuk merayakan. Tapi saja-saja sama lorat. Orang kata, sama-sama lorat ni boleh mengeratkan silaturahim.

Okay, tak payah cerita dekat kampung macam mana. Tak menarik. Drama Spa-Q lagi menarik.

Tadi selepas Maghrib, aku bertolak pulang ke Cyberjaya.

Masuk saja highway Senawang, jalan pun jem. Peh. Macam gampang. Time ni nak pergi trade-in kereta Kancil manual ke Toyota Grandis automatik memang dah terlambat. Sesal dahulu pendapatan. Sesal kemudian kurang pendapatan. Okay, ini bukan majalah pantun.

Semasa mengharungi kesesakan lalulintas dari Senawang bawak ke Nilai, sempat juga aku perhati sorang-sorang dalam kereta lain.

Pelik. Takde sorang pun muka India. Banyak muka Melayu dengan Cina. India takde. Muka Hindu pun takde. Jangan cakap Hindu, muka Amisha Patel pun takde. Padahal Deepavali.


Aku sorang je muka Meksiko. Segan pun ada.

Friday, November 5, 2010

Majid Driving School - Teh

" Tak mengajar memandu harini, Majid? " Rahim Razali tiba-tiba berteriak dari luar pagar sambil menunggang Honda Cub 70 kuasa kuda.


Majid ketika itu sedang sambilewa menyiram pokok bunga orkid dari atas anjung rumah. Dasar pemalas.


" Tak. Hari ni cuti, " sahut Majid.

"Singgah le dulu Rahim! Pekena teh secawan dua! " sambung Majid.


Rahim Razali yang pada mulanya dah lepas dari pintu hadapan, dengan pantas membuat pusingan 'U' tanpa memperdulikan hukum JPJ.

Petang-petang begini molek juga jika dapat minum teh free, fikir Rahim Razali dalam hati. Rahim Razali menghalakan motorsikalnya masuk ke dalam halaman rumah Majid yang penuh dengan daun manggis.

" Dapat kena teh petang-petang ni, lagi elok. Dok merayau tak tentu hala tu kenapa? " kata Majid seloroh.

Rahim Razali tersenyum atas motor.





" Amboi, teh apanya. Pergi la beli teh kat kedai. Jangan cakap teh, dah sebulan gula kat dapur pun takde! " tiba-tiba Marjinah, isteri Majid berteriak pantas membalas ayat suaminya.


Majid senyum tawar. Rahim Razali buat-buat singgah dekat perdu pokok kelapa menggali cacing.

Marjinah yang berada di rumah sebelah bersama segerombolan ahli mesyuarat tingkap kembali berborak dengan not tinggi.

Pembaca blog saya

Link blog aku telah jatuh ke tangan student MMU.

Ini adalah satu perkara yang memeranjatkan. Semasa sedang leka buat smartcard semalam, aku didatangi 2 orang makwe yang tiba-tiba cakap pasal blog aku. Cis.

Aku tak boleh. Dia tanya macam-macam.

Aku kaget.

Panik.

Dan jadi pemalu.


Nak datang jumpa aku bagitau la dulu. I nak mekap dulu noks. Sembab taw muka I.


***

Sebelum beredar, makwe tu cakap,

" Bang, masuk la cerita pasal kitorang kat blog abang ye? "



Ha. Sesiapa yang berkenaan, sila komen di sini. Perkenalkan diri kamu. Siapa entah nama makwe tu semalam. Aku dah lupa. Tipah ke Tijah ke namanya. Yang sorang lagi Rebecca kot namanya. Wau. Macam nama kereta I noks.

Thursday, November 4, 2010

Smartcard blues

Tok..tok...tok...( bunyi orang ketuk pintu)



" Masuk, " kata aku macam dalam drama.

" Erm...Encik Panir Selvam ye? Saya nak buat smartcard, " kata itu budak.



Muka aku macam india ke? Ha?!



Okay. Jangan jawab.

Malaysia Maju

Aku dulu lagi teruk. Masa baru buat Mykad form 2 tak silap, kan ada MEPS kat belakang. Aku terus pergi ATM buat cucuk duit pakai password CIMB.

Bongok. Nasib baik tak kena telan.


Merujuk entry ini.

Muda-mudi saya

November 2004


Sementara memerhatikan Boy(bukan nama penuh) membetulkan lampu pendarflour di satu ruang istirehat luar pejabat, aku berborak-borak kosong. Tapi kadang-kadang ada juga berborak serius seperti nak sambung belajar, David Beckham, pemanasan global dan ingin terlibat dengan Akademi Fantasia.

Kami mengambil upah memasang lampu, mengecat rumah dan memasang perabot pejabat memandangkan masih tiada kerja tetap. Aku pun sedang bercuti panjang daripada kolej. Maka, bagi mengelakkan kami menghisap dadah, kami kerja biasa-biasa untuk menampung perbelanjaan membeli kasut Nike Air Force yang sedang hangat di pasaran.

Pejabat di lokasi Seremban ini berada betul-betul di hadapan jalanraya yang sibuk. Bunyi hon kereta silih berganti. Sesekali, ada juga makwe yang lalu lalang membuat kerja Boy terhenti sejenak.


" Boy, tengok tu. Makwe pakai baju kuning tu..." kata aku merujuk ke seorang makwe yang membelakangi kami.


Dengan gaun singkat, cutting body macam gitar kapok, rambut panjang warna karat, memang sudah cukup untuk menggegar jiwa anak muda yang jahil seperti kami.


" Pehh...putih dia punya peha..." kata Boy dari atas tangga.

" Apa lagi, Boy. Panggil la..." kata aku mencabar.


Boy yang ketika itu sedang memegang mentol lampu di atas tangga memandang tepat ke gadis terbabit.


" Hai cik adik, nak pergi mana tu? " kata Boy lantang ke makwe tersebut.

" Sorang je ke? Nak teman? " sambung Boy lagi.


Makwe itu memberi refleks pantas memaling muka ke arah kami.



Boy senyap.

Aku senyap.


Transeksual.


'Makwe' jeling sambil tersenyum ke Boy.

Boy menyamar jadi lampu limpah.

Tuesday, November 2, 2010

Aku tak tidur pagi ni semata-mata terfikir benda alah ni...

Kau orang pernah tak tengok/dengar/tonton situasi begini?


Ada seorang isteri sedang duduk di ruang tamu yang kita sedia maklum sedang menunggu suaminya pulang dari kerja melalui perbualan telefon mereka sebelum ini. Si isteri menonton televisyen.


Tok, tok, tok...(bunyi orang ketuk pintu)


Si isteri bergegas membuka pintu. Dan di luar adalah si suami yang baru pulang dari pejabat. Sudah semestinya sedang melonggarkan tali leher.



Dan si isteri pun berkata, " Ehh...abang dah balik? "

Si suami, " Ye...abang dah balik. "



***


Aku mintak, kau orang tolong jangan la buat dekat rumah. Tipu sangat bunyinya.

Monday, November 1, 2010

Duplicate duit (Rahsia besar)

Aku haus masa tu. Panas mungkin. Din tiba-tiba bersuara.

" Nak buat eksperimen tak? Duit sekeping seringgit jadi dua ringgit. Tapi tak boleh simpan. Kita beli air Coke dekat mesin air, " kata Din ke aku.

" Macam mana tu? " jawab aku.

" Aku dah pernah try dah semalam. Duit seringgit yang koyak, aku sambung dengan kertas lepas tu pergi cucuk duit kat mesin air. Berhasil, " kata Din lagi.

" Boleh ke? " kata aku.

" Boleh. Dah try dah semalam... " katanya yakin.


Aku tanpa ragu-ragu mengeluarkan sekeping not RM1 dari kocek yang kebetulan aku tak bawa wallet ke tempat kerja. Din pun sama tak bawak wallet. Jenis nak saving. Atau bini pegang wallet mungkin. Mungkin.



" Koyak dua duit tu. Boleh jadi 'dua ringgit'..." kata Din.



Aku tanpa ragu terus mengoyak not RM1 kepada dua bahagian.

Din ambil kedua-dua keping itu dan memulakan eksperimen. Menyambung kepingan duit itu dengan kertas kosong dan dipotong supaya menjadi sama saiz not RM1. Kemudian, salotape.

Aku ralit memandang. Berpeluh-peluh.

Sekeping sudah selesai, lagi sekeping.


Okay. Siap. Sekarang ada 2 keping 'duit seringgit'.


" Jom kita pergi tekan air Coke! " kata Din penuh wawasan.


Aku eksaited.



***



Petang itu, kami minum air paip.

Orang melayu ni bab-bab duit memang cepat kena tipu.


Exam, study dan pakwe

Kepada budak-budak universiti, kolej, matrikulasi dan sewaktu dengannya, khusus untuk yang sedang melalui musim exam, tabahkan hati, study betul-betul dan jangan bergaduh dengan pakwe time-time kritikal begini.

Yang aku kenal sejak dulu, makwe-makwe yang belajar peringkat tinggi begini, 80% akan menangis semasa menjalani exam akibat tekanan. Lebih separuh daripada golongan ini akan telefon aku senyap-senyap malam hari tak kira ada pakwe ke tak dan menangis mengadu tension kepada aku sambil aku pujuk dan beri motivasi lebih kurang.

Damn sweet, baby!

Kah kah kah!!!



Okay. Aku dah jauh merepek.

Saturday, October 30, 2010

Ikan pari, Youtube dan kacip fatimah

Aku selalu jugak kalau tengah kerja, malas nak makan dekat luar. Aku biasa tapau nasik bungkus, dan makan dalam opis. Dah la econ. Ada lagu Ziana Zain. Boleh tonton Youtube. Layan facebook dengan tangan penuh nasik. Peh. Starbuck pun tak buat itu macam.

Okay.

Hari ni, aku pergi tapau nasik bungkus dari asrama perempuan. Maksud aku, kantin asrama perempuan. Nasik kosong, taugeh goreng, masak asam ikan pari dan sedikit paru goreng. Aku bawak pulang ke pejabat. Kira lama jugak aku tak makan masak asam ikan pari ni. Terliur beb. Manjang bedal KFC pun tak seronok jugak.

Din ada pejabat. Dia tengah layan Youtube.



" Makan, Din, " kata aku ajak ayam.

" Sila. Sila. Bismillah, " balas Din.


Lepas basuh tangan lebih kurang, aku buka bungkusan nasik dengan lauk masak asam ikan pari. Baca bismillah dan kasi ada bunyi agama-agama sikit dan terus makan.


Tiba-tiba, Din berkata,


" Ikan pari ni pun ada yang beranak jugak, ye? " katanya merujuk ke satu video ikan pari beranak.



Aku berhenti makan.

Hal-hal beranak, bersalin pramatang, ketuban pecah, patah kaki, monopous, eksiden, bedah-bedah perut, darah hidup, darah mati, dan kambing beranak songsang, sila jangan cakap masa aku nak makan, ye kawan-kawan?


Tekak aku kembang sekarang.

Tekak kembang, kalau minum kacip fatimah, dia boleh kuncup tak?

Friday, October 29, 2010

Nasik lemak sekolah saya



Semalam, Keril ada sebut pasal beliau buat lawatan kerja ke kantin sekolah rendah dalam fesbuk. Memang betul. Cuba kau orang yang dah tua ni, sesekali masuk ke sekolah rendah lama kau orang, pergi kantin, dan nikmati suasana seperti kau orang masa kecik. Spirit yang lama-lama tu mesti menaik punya.

Okay. Aku ingat balik masa aku sekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Tampin. Ketika loceng berbunyi menandakan waktu rehat, maka riuhlah kanak-kanak berlari ke kantin untuk mengejar 'Q' membeli makanan dan minuman dan tak kurang juga nak cop tempat best.

Tempat paling favourite budak-budak lelaki baya aku dulu adalah di luar kantin iaitu di tepi longkang. Giler cool. Macam budak-budak motor lepak tepi longkang. Tempat ni kecil sahaja. Kerap juga budak-budak berkelahi sebab dah cop tempat tu. Siapa cepat dia dapat. Jadi, ia adalah dewa segala tempat makan. Bodoh betul. Kalau anak aku tu, memang dah makan tali pinggang kulit.

Satu yang menarik di kantin sekolah rendah ini adalah, harga makanan. Okay. Imbas kembali. Masa aku darjah 1 hingga 3, wan bagi duit belanja hanya 35 sen. Serius. Zaman itu, 5 sen itu dikira matawang. Tak seperti sekarang. 35 sen boleh makan sampai kenyang. Tak percaya?



Aneka kuih muih berharga 10 sen sehelai.

Air gelas besar 10 sen.

Air gelas kecik 5 sen.

Nasik lemak/mi goreng/bihun goreng berharga 20 sen sepinggan.


See? See? Murah kan?

Dan paling best, sepinggan nasik lemak 20 sen? Wau!

Kalaulah Nora Danish tahu ada nasik lemak lagi murah, pasti dia berkecil hati. Aku harap, jangan sesiapa pembaca kat sini gatal-gatal tangan nak bagi link blog aku ke Nora Danish. Tolonglah.

Hati gajah sama dilapah, hati Nora Danish, siapa yang tahu?



Masa ni hobi aku adalah mengumpul setem dan menangkap labah-labah air. Cita-cita drebar bas. Makanan kegemaran, Rahsia.

Thursday, October 28, 2010

Melayu berdaya saing

Semalam ialah hari cuti aku. Malam sebelumnya, aku ke rumah Rizal. Dan aku tidur di rumahnya tanpa sebarang persiapan tidur. Hanya pakai seluar jeans dan t-shirt lengan panjang.

Pagi semalam, aku tersedar dari tidur. Dia punya nyenyak, sampai tak sedar dah pukul 10 pagi. Orang rumah Rizal dah pergi kerja.

" Beb, jom pegi The Mines..." kata aku.

" Jom. Singgah klinik. Aku nak ambik MC..." jawab Rizal.


Aku geleng kepala dan senyum sinis.


Dalam kereta,


" Kau dah mandi ke belum ni? " tanya Rizal.

" Kehkehkeh... Belum. Malas la. Tak bawak berus gigi. Basuh muka je..." kata aku sambil cari topi di tempat duduk belakang bagi sembunyi rambut cacamarba.

" Owh. Aku pun tak mandi jugak. Kahkahkah! " jawab Rizal yakin.


Muka aku samada mandi atau tak, adalah dua perkara yang sukar untuk dibandingkan. Itu namanya muka kontemporari.

" Perangai macam Bangladesh! " kata aku sengih.



Kami membuktikan bahawa bangsa Melayu juga berdaya saing dengan bangsa-bangsa yang lain seperti Myanmar, Bangla, Vietnam, Kemboja, dan segelintir Thailand.

Pagi ini...

1) Aku abis memancing pukul 1 pagi. Balik rumah dah pukul 1.30 pagi. Mandi mandi lebih kurang. Gosok gigi. Cuci muka. Pakai baju, dan terus set alarm pukul 6 pagi. Tido...

2) Sampai jam 3 pagi, tak dapat tido lagi. Masalah biasa bagi aku. Cukup terseksa sebenarnya imnosia ni sebenarnya ye kawan-kawan. Walaupun tidaklah serius sampai kena jumpa bomoh buang saka.

3) Tau-tau dah terlelap. Plup! Sedar-sedar jam 4 pagi. Shit. Kaki aku dinodai oleh nyamuk. Celaka. Aku alergik nyamuk. Jadi, aku ridsect kan mereka sampai aku puas. Sambung tido. Masa itu pukul 4.40 pagi.

4) Bunyi alarm. Pukul 6 pagi. Aku benci alarm pagi. Walaupun aku set alarm lagu Ziana Zain, tapi tetap tak suka.

5) Bangun. Mandi. Gosok gigi. Menyanyi serba sedikit. Pakai baju, siap-siap untuk kerja. Capai kunci kereta, terus pergi kerja. Waktu itu jam 6.45 pagi. Dia punya sejuk macam kat Kanada. Parking kereta dah la bawah pokok besar gelap. Gila. Ini kalau kena ludah pontianak, memang nahas.

6) Masuk kerja. Dan aku start batuk. Aku batuk sampai anak tekak terkeluar. Aku ambik slow-slow itu anak tekak, dan kasi pulang sama ibu tekak. Tengah menyusu barangkali.

7) Dan, pagi ini sungguh boring. Dia punya boring macam gampang.

8) Dan orang yang pertama kena maki aku adalah Hafizan.

" Woi, Sani...Mancing ke semalam?" katanya dari jauh.

" Cibai! Duit 30 ringgit aku bila nak ganti? P***! " jawab aku menjerit.



Oh, ya. Semalam hari suwey aku. Hari suwey tak bagus untuk budak-budak yang baru nak naik macam aku.

Tuesday, October 26, 2010

Kelkatu

Kenapa ramai orang benci kelkatu?

Kenapa kelkatu tidak disenangi banyak pihak?

Kenapa aku pun tak suka kelkatu?

Kenapa kelkatu dipandang hina?

Kenapa kelkatu mendatangkan kemarahan orang kampung?

Kenapa kelkatu perangai macam gampang?

Kenapa kelkatu tidak ada kes buang anak, tetapi masih kurang disenangi?


Jawapannya ialah:

Aku nak tidur dari pukul 2 pagi tadi, yang kelkatu ni main-main terbang dekat hidung aku apahal? Nak kena lempang?


Oh. Ada juga insan lemah yang tidak mengenali kelkatu? Duduk town mungkin. Sila google dengan kata kunci 'kelkatu'. Aku kalau tengah marah, google pun aku lempang. Aku bagi klue. Kelkatu bukan nama gunung berapi.



p/s : Kelkatu menghantui malam-malamku.

Nama

Aku ada seorang sepupu paling last. 5 tahun tak silap. Anak pakcik. Amat nakal. Suka memakai topi Mickey Mouse dan nakal maksimum. Mempunyai rekod memotong rambut sendiri dengan mesin rambut, pernah mengunyah rokok dan jatuh akibat terpijak tali rafia. Ye. Lembik. Macam agar-agar. Kena angin kipas boleh rebah akibat kurang vitamin dan kadar metabolisma yang rendah. Nama Amirullah. Tapi panggil Amir saja. Aku panggil dia 'Lengkong' sempena nama lain untuk 'agar-agar'.


Kami sedang menonton tv di dapur.


Amir : Along Ayush...(dia panggil aku dengan nama ni...)

Aku : Ape?

Amir : Kita boleh tak tukar nama eh?

Aku : Kenapa?

Amir : Amir ingat, nak tukar nama la. Nak suruh papa tukar nama. Boleh kan?

Aku : Kenapa nak tukar nama? Kan sedap nama Amirullah tu...

Amir : Tak sedap la...

Aku : Habis, nak tukar nama apa?

Amir : Upin dan Ipin...(katanya serius)



Okay. Bapak dia nama Jamal.

Upin dan Ipin Bin Jamal. Amacam?

Kau ingat kakak kat pejabat pendaftaran tu nak layan? Baik dia tengok Sinetron Alisa.

Friday, October 22, 2010

Jam

Aku ada beberapa bijik jam dalam hidup aku. Orang kata, hidup orang yang dikelilingi jam ni boleh memotivasikan diri untuk menghargai waktu. Okay. Kita lihat.

1) Jam tangan nombor 1. Jam tangan ni aku set cepat 10 minit dari jam Buletin Utama. Kenapa Buletin Utama? Kerana makwe cun ramai baca berita. Cakap nama Maria Sharapova tak betul belakang kira.

2) Jam tangan nombor 2. Ada dwifungsi. Jam tradisional dan digital dalam satu jam tangan. Jam ini aku set 5 minit cepat dari jam Buletin Utama.

3) Jam meja berbentuk kotak berwarna kuning pisang. (Kenapa pisang?Sebab bila kuning, aku teringat pisang saja. Tak tahu kenapa...) Jam hadiah ex-girlfriend. Jam ini aku set 10 minit cepat dari jam Buletin utama. Namun, bateri dia kerap habis dalam masa 2-3 bulan ni. Aku syak ada pari-pari kenit curi kuasa bateri dia tiap malam untuk digunakan sebagai cahaya pada kepaknya untuk kembali ke syurga. Okay. Tipu.

4) Jam KFC. Jam paling kecoh. Berbentuk periuk tekanan. Macam unik. Tetapi bangang. Aku dapat jam ni masa beli Nasik Ayam dalam promosi KFC beberapa bulan lepas. Aku cukup tak suka jam ini sebab bila ia berbunyi, ia akan mengeluarkan bunyi ayam berkokok. Aku tak suka. Sebab, ia mengingatkan aku kepada ayam jantan yang aku bela masa kecik. Ayam itu mengalami tragedi ngeri yang aku takkan lupa sampai hari ini. Ayam itu mati sebab aku timbus dia dalam guni dedak. Aku serius bergurau masa tu. Oh, ya. Ayam aku bernama 'Tipah'. Tapi dia jantan.

Okay. Aku dah jauh.

Jam KFC ni aku set 15 minit cepat dari jam Buletin Utama.

5) Jam komputer. Jam dalam komputer peribadi yang aku set 15 minit lebih cepat dari jam Buletin Utama.

6) Jam dinding berwarna hitam yang bertulis, 'I Love You, Teddy! '. Dulu-dulu suka. Sekarang menyampah. Jam ini sengaja aku tak setting dia punya masa sebab dah rosak. Dan aku simpan dalam kotak bawah katil.

7) Jam handset. Aku set 5 minit lebih cepat dari jam Buletin Utama.




Okay. Cerita banyak tak guna. Semalam aku sedar-sedar jam 1 tengahari.

Amacam? Menghargai masa tak? Wan aku ajak pergi pasar langsung kensel.

Tengahari aku makan telur goreng dua bijik.

"Wau...merah nok..."

Hari ini rasa lain macam. Selepas beberapa minggu cuaca panas berdengkang menyelubungi Cyberjaya, hari ini redup semacam. Cuaca pun sejuk. Tak macam semalam. Panas macam kuali roti canai.

Selepas menjalankan kerja opis lebih kurang, aku pergi ke tandas untuk menunaikan jadual urin. Rasa sejuk dia lain macam. Kadang-kadang sampai ke tulang. Kadang-kadang sejuk dia biasa-biasa saja. Kadang-kadang sejuk maksimum dia datang tiba-tiba pulak.


Beberapa ekor gagak yang terbang melintasi cermin opis aku lihat turut memakai baju sejuk.

"Aaakkk...Aaakkk..." kata gagak tersebut. Sejuk mungkin.



Aku masuk ke tandas lalu depan cermin.

Aku terus karate sinki tandas.


Patut la sejuk dia tak konsisten. Zip seluar rosak. Elok je Gua Niah terdedah.





" Wau...merah nok..."

Jawatan kosong

Semalam, mak aku call. Selepas berborak hal-hal duniawi dan jasmani, mak bukak cerita ini.


Mak : Hairus, kat Seremban ada jawatan kosong. Nak pakai cepat. Kerajaan.

Aku : Kerja apa?

Mak : Cikgu. Minat tak?

Aku : Minat. Tapi, cikgu apa?

Mak : Cikgu KAFA.



***

Aku cerita dekat Kak Zai, sampai keluar air mata dia gelak dalam KFC.




Aku bukan apa. Skill nak mengurat ustazah memang aku tak pernah menuntut lagi. Satu hal pulak nak hafal lagu Maher Zain.


Thursday, October 21, 2010

Aku dan kenangan - (1)

Dulu,
masa aku sekolah rendah, aku selalu ikut atuk ke kebun untuk meracun rumput. Tong racun dulu-dulu bukan macam sekarang. Sekarang tong semua buat dari plastik. Ringan. Dulu tong racun semua jenis tembaga. Silap sandang sikit, senget bahu kau.

Dulu,
aku anggap meracun rumput ini satu kerja yang cool. Kerana kau perlu menyandang tong besar di tengah belakang. Sambil pakai topeng Linkin Park. Meracun rumput di lereng-lereng bukit dengan badan steady. Pakai but getah paras keting. Dah habis meracun, dia punya peluh, macam baru main angkat besi. Nak bukak baju pun kompiden semacam. Badan berkilat macam M. Daud Kilau.

Dulu,
aku bukan suka sangat pun meracun rumput ni. Tipu je. Aku racun rumput pun sebab cita-cita aku masa kecil adalah menjadi seekor Gaban.

Dah umur 12 tahun, baru aku tahu Gaban tu pakai kostum getah. Macam setan. Nak menipu pun, jangan la sampai pengaruh budak-budak.


Habis. Kau orang ingat aku main-main tak nak tulis?




>Like< --- >Dislike<

Tuesday, October 19, 2010

Berkali aku yang beralah,
kesabaran tiada pernah aku batasi,
tapi jangan hilangkan rasa percaya,
kesetiaan ku kasih.

Untuk mendakap bahagia,
aku cuba hilangkan resah cemburu hati,
moga kasih akan kekal selamanya,
menyinari hariku...



Kan sedap kalau ada makwe. Boleh ajak balik kampung mandi sungai.
Apa-apa hal, aku tujukan dekat Nora Danish...

Monday, October 18, 2010

Berhenti

Aku rasa nak berhenti tulis blog.


Sebab, roadtax blog aku dah mati...

Celcom oh selkom

Treeett...

(SMS masuk)


" WOW! 742 MMS ke nombor Celcom telah dikreditkan ke akaun anda. MMS Percuma sah untuk tempoh 24 jam sahaja. Tambah nilai RM20 untuk lebih ganjaran! :-* "



Aku pantas reply.

" Kau nak suruh aku MMS gambar apa sampai 742 dalam masa 24 jam tu? Gambar nikah? Kau dah gile ke selkom?"




Sending...

Teett!

Tak sampai.

Babi.

Saturday, October 16, 2010

Kenduri di kampung saya

Wan call pagi tadi. Memberitahu satu maklumat penting.



Wan : Wan dah totap 'an tarikh nak buek kenduri tahlil. 23 haribulan ni. Sabtu ni la kiro eh. Lopeh Meghorib...

Aku : Minggu dopan la?

Wan : Aha. Kau buleh balik tak?

Aku : Buleh. Insyaallah. Nengok la sok nak amik cuti siap-siap. Kok tak dapek cuti, kono la guno parang ko, pisau rambo ko dongan bos.

Wan : Huih...Agak-agak la. Kok ado ikan-ikan siakap ko, bawak la balik. Nak menambah-nambah lauk kenduri.

Aku : Sokarang tongah tak musim ikan siakap.

Wan : Mano kau tau tak musim? Sapo cakap?

Aku : La. Tak tengok Nona minggu lopeh ko? Maya Karin koba 'an.

Wan : Jangan la nak merepet-repet hai...

Aku : Maya Karin kan sejenis spesies ikan.



***


Okay. Kalau aku tak balik Tampin Sabtu ni, siapa pulak nak potong bawang. Ye tak nok?



*Perhatian : Kepada Amirul Haikal Abu Hassan, aku tau kau jenis liat nak angkat telefon. Harapnya, pengumuman ini dapat kau baca. Tahun ini sahaja, lebih kurang 3400 misscall telah aku buat kat kau, dan hanya 2 kau jawab. Itu pun sebab kau mintak topup Maxis. Kalau kau nak balik Tampin minggu ni, sila hubungi aku secepat mungkin. Talian aku dibuka 24 jam. Kerana aku tidak bercinta dengan anak dara orang. Okay? Sesiapa yang mengenali budak Haikal ni jugak digalakkan menyampaikan berita gembira ini. Terima kasih daun keladi. (Beliau adalah sepupu aku...Tapi bersaiz mega...)